Politik Kandang, terjemahan Animal Farm karya novelis tersohor British, George Orwell adalah karya unggul yang bersifat merentas zaman. Dihasilkan pada tahun 1943 – 1944 dan diterbitkan pada tahun 1945, adalah sangat mudah bagi penulis untuk terpengaruh dengan keadaan sosiopolitik dunia pada masa itu yang ditandai peristiwa besar Perang Dunia Kedua dan kelahiran ideologi-ideologi baru yang mengubah dunia. Buku ini menampakkan sisi yang diwakili dan diberikan simpati oleh penulis iaitu golongan kelas pekerja dan sifat anti-establishment yang mereka tunjukkan. Perwakilan ini ditunjukkan dengan cara yang sangat sinis, pada masa yang sama, cerdik, apabila penulis memilih sekawan binatang di Ladang Binatang untuk memainkan watak-watak golongan kelas pekerja yang berjaya mencetuskan revolusi dengan mengusir tuan mereka yang bersifat diktator, Tuan Jones dari ladang mereka.
Pemberontakan para binatang dipimpin sekumpulan babi yang diketuai Snowball dan Napoleon seakan-akan membawa sinar baru harapan kepada Ladang Binatang, apabila kepimpinan bertukar dari Tuan Jones kepada ketua di kalangan mereka sendiri. Namun, tiada siapa di kalangan mereka mengetahui pada satu hari nanti babi-babi ini juga akan jatuh korup dan mengkhianati revolusi yang dicetuskan mereka sendiri. Mereka menggubal undang-undang yang dinamakan Rukun Tujuh sebegai perlembagan tertinggi Ladang Binatang, hanya untuk diubah secara licik di kemudian hari demi memenuhi cita-cita peribadi dan kepuasan sendiri. Apabila para babi mula mendiami rumah ladang, tidur di atas katil, berpakaian seperti manusia dan berjalan dengan dua kaki, itulah saatnya para binatang mula kehilangan harapan yang baru berputik dan ironisnya, mereka disembelih dengan lebih kejam oleh kalangan mereka sendiri berbanding oleh tuan lama mereka.
Bagi negara-negara yang pernah berdepan dengan pengalaman revolusi, situasi sebegini mungkin ada relevannya dengan mereka apabila pencetus revolusi yang berhasil menumbangkan penguasa dan mengambil alih tampuk kepimpinan kemudiannya terjangkit dengan penyakit gila kuasa dan akhirnya menjadi lebih zalim daripada penguasa yang dia sendiri tumbangkan. Di sinilah terletaknya kebijakan Orwell bermain dengan unsur satira, menyindir para politikus di seluruh dunia dengan kelincahan mata penanya betapa perubahan bukanlah perlu dilakukan semata-mata atas nama perubahan kerana tanpa persediaan yang rapi, perubahan yang diharapkan membawa kebaikan itu akan mendatangkan hasil yang sebaliknya.
Jatuh-menjatuh, tikam belakang, merampas jasa orang lain adalah sifat-sifat manusia dalam berpolitik yang dipaparkan dalam novel ini dengan cukup jelas khususnya melalui watak Napoleon dan Snowball. Seekor lagi babi, Squealer adalah watak opportunist, sang penjilat Napoleon khususnya setelah Snowball berjaya disingkirkan dari persaingan merebut pengaruh di Ladang Binatang, selain berperanan mewajarkan segala tindakan Napoleon, walau seteruk mana pun ia. Fitnah, pengemukaan bukti palsu, ancaman kepada bahaya-bahaya yang sebenarnya tidak wujud digunakan Squealer dalam propagandanya dalam meraih kepercayaan para binatang kepada Napoleon. Anak-anak anjing yang dibesarkan Napoleon digunakan sebagai polis apabila mereka besar untuk menakut-nakutkan para binatang dan mengelak sebarang usaha pemberontakan dalaman. Beberapa ekor binatang yang dipercayai berpihak kepada Snowball telah dibunuh kejam demi mengekalkan status quo kepimpinan Napoleon. Malah, pekerja mereka paling setia dan rajin, Boxer, seekor kuda tua yang masih gagah tetap dijatuhkan hukuman dihantar ke rumah sembelihan hanya kerana mempunyai pandangan yang berbeza dengan pemimpin agung mereka itu.
Babak akhir novel ini memaparkan para binatang meninjau dari luar jendela rumah ladang akan permuafakatan yang sedang berlaku antara babi-babi dengan Tuan Pilkington, seteru Tuan Jones, bersama rakan-rakannya yang lain bahawa persengketaan selama ini antara manusia dengan binatang telah pun ditamatkan. Manusia telah mengiktiraf para binatang sebagai mempunyai kedudukan yang setara dengan mereka. Apabila mereka masing-masing meraikan hari tersebut dengan minum ucap selamat sebelum bermain permainan kad, kesemua mereka, para manusia dan babi, dilihat oleh para binatang lain dari luar jendela sebagai sama sahaja sehingga tidak dapat membezakan antara keduanya. Inilah penyataan paling tegas dari Orwell yang diletakkannya pada ayat paling akhir novel ini, satu penyataan yang mengkritik dengan sangat keras pelakuan sebahagian manusia politikus yang saling tidak tumpah seperti haiwan. Maka, tidak salahlah ungkapan haiwan politik yang telah pun dicapkan kepada manusia sejak sekian lama itu dan telah terungkap dengan sangat baik oleh George Orwell dalam novel ini. Sekalung penghargaan kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atas usaha menterjemahkan karya yang hebat ini.
Nota: Ulasan buku ini dibuat sempena Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014.
0 comments:
Post a Comment