Nazmi Yaakub sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
Di atas pentas, matanya berkaca. Seolah-olah menanti
detik, untuk air matanya pecah. Namun, senyumannya melebar. Barangkali rasa
terharu berbaur-baur dengan gembira. Jarang kita dapat saksikan majlis
pelancaran buku sesyahdu ini. Sani Sudin yang sekian lama tampil di pentas
mengalunkan lagu puisi, diraikan atas kelahiran kumpulan puisi yang melalui
keluk dan lekok kepenyairan seniman jalanan.
Saya tidak tahu bila lagi akan menyaksikan acara sesyahdu
Majlis Pelancaran Buku Satu Catatan Sani Sudin Di Dalam Dalam pada petang Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 di Gerai Institut Terjemahan &
Buku Malaysia (ITBM), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu.
Kumpulan puisi, Di Dalam Dalam, karya Sani Sudin, sosok
yang padanya terhimpun diri penyanyi lagu puisi, pengubah lagu, penulis lirik
dan pelakon serta sudah tentu peribadi asalnya, iaitu penyair dan seniman
jalanan, menghimpunkan 81 puisi dalam dua bentuk, iaitu teks dan lebih
istimewa, catatan bertulis tangan bersama lakaran lukisan penulis sendiri.
Setiap puisi dalam himpunan penyair kelahiran Kampung
Baru, Kuala Lumpur, pada 3 Mac 1957 ini, menggunakan judul Dalam bermula Dalam
1 hingga Dalam 81, seolah-olah menjadi pintu yang membawa pembaca meninggalkan
dunia lahiriah dan menyelinap ke dalam dunia batin.
Dalam 14
kita ini
sama saja
tidak bodoh
tidak pandai
tidak punya
apa-apa
dalam pandai
ada bodoh yang
tersembunyi
dalam bodoh
ada pandai yang
tersendiri !
Memahami puisi Dalam 14 ini dengan jiwa yang
bersih, kita pasti tidak akan keluh-kesah untuk mengunyah karya Sani Sudin yang
adakalanya bernada lugu seperti yang ditekankan rakan akrabnya yang juga
Penerima Anugerah Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Rahimidin Zahari pada
kata Pengenalannya.
Dalam 29
ku kocok-kocok
nama mu
dalam rindu
Tidak ada kata-kata besar yang diada-adakan atau
mengada-ngada pada puisi Sani Sudin – menyalin daripada watak peribadinya –
sebaliknya membaca puisinya adakalanya seperti mendengar beliau memulakan
kehadirannya di pentas dengan berkongsi kata-kata yang seringkali tidak sempat
disempurnakan.
Bagaimanapun, tidak seperti ucapan ringkas sebelum
memetik ukulele di pentas yang mungkin tidak sempat kita rakam dalam ingatan,
puisi dalam kumpulan ini membenarkan kita merenung sekilas pandangan
kepenyairannya kerana ia tercatat pada teks dan diperkukuhkan lewat lakaran di
sebelah karya itu.
Renungkan puisinya, Dalam 10, yang secara
bersahaja mengingatkan kita tentang realiti perang yang dipercik dan dimarakkan
manusia:-
biarkan mereka berperang
kerana mereka digaji
untuk menyerang!
Juga Dalam 49 yang membaurkan ingatan zaman
kanak-kanak kita dengan realiti perang yang sangat penuh tipu-muslihat yang
bergaul antara kelucuan dan kepedihan:-
mari kita main perang - perang
aku tembak !
kau mati
kau tembak
aku tak mati !
Bagaimanapun, kita tetap menemukan puisi Sani Sudin yang
sangat menggugah, sekaligus membuka sisi baru pada diri kepenyairannya.
Pengalaman hidup itu terlalu mahal harganya, meskipun di sebalik kerendahan
hati yang ditampilkan dan kesederhanaan puisi yang dihasilkan, ia tetap
membuahkan karya yang menerobos ke alam fikir kita sehingga mengetuk hati untuk
merenung dengan penuh dalam. Dari dalam inilah, kita menemukan diri Sani Sudin
yang bukan semata-mata penyanyi lagu puisi yang kita sedari kehadirannya hanya
ketika untuk kita pinta lagu Kopratasanya, iaitu Permata Untuk Isteri atau
Masihkah Kau Ingat. Sebaliknya, kita menjadi sedar sosok itu sebenarnya
sarat dengan kematangan hidup baik yang dituai daripada pengalaman dirinya atau
pun yang dijaring daripada kehidupan manusia yang lalu-lalang di sekitarnya.
Dalam 31
telah kau simpan
masin di garam
pahit di jadam
manis di madu
aku?
kau berbisik
“engkau diaku!”
Dalam 33
Di balik pintumu
Engkau mengintai
Melihat aku
Resah berperang
Di balik pintumu
Rindu kuasah
Perasap
Resahku tikam
Di depan pintumu
Resah tersungkur
Bila cinta jadi sejadah
Rindu menjadi doa
Hakikatnya, karya Sani Sudin tidak boleh dinilai pada
struktur dan bahasanya saja, tidak juga lapisan makna yang mengandungi falsafah
dan pemikiran, sebaliknya ia juga perlu mengambil kira puisi yang dihasilkannya
menjadi sebahagian sejarah kepenyairan tanah air khususnya seniman jalanan di
ibu kota.
Apatah lagi Sani Sudin sendiri sangat sinonim dengan Baca
Sajak Tiang Lampu seperti yang dikongsi Ladin Nuawi dalam catatannya, Di
Jalan Sejarah Ada Sani Sudin, sehingga tidak hairanlah lakaran manusia,
tiang lampu dan gitar sangat dominan dalam kumpulan puisi ini.
Malah, kita tidak dapat mengelak daripada merasakan watak
manusia itu ialah Sani Sudin sendiri dengan gaya kepala yang sedikit menunduk –
suatu perwatakan lahir yang sering kita saksikan pada sosok Sani Sudin di atas
pentas puisi. Bahkan lakaran itu sendiri menjadi puisi dalam bentuk yang lain
pula.
Ia menjadikan kumpulan puisi ini bukan hanya rakaman
sajak yang melintasi dekad demi dekad seorang penyair, bahkan sebenarnya
merentasi perjalanan seni dan sastera di kota raya Kuala Lumpur yang sehingga
kini masih belum diberikan pengiktirafan selayaknya.
Sudah tentu pengiktirafan terbaik kepada sejarah itu
ialah pembukuan dan pendokumentasian yang tersusun tetapi pada masa sama tidak
menghapuskan semangat yang menghidupkan ranah seni dan sastera itu sendiri.
Kumpulan puisi Di Dalam Dalam ini juga sebenarnya
menyusul selepas ITBM menerbitkan Balada Pyanhabib, iaitu kumpulan puisi
seorang lagi seniman jalanan, Pyanhabib pada tahun 2012; sebenarnya menjadi
landasan yang baik ke arah pendokumentasian sejarah seni dan sastera Kuala
Lumpur.
Rakaman sejarah dalam bentuk puitis berdasarkan sosok
Sani Sudin dan sebelumnya, Pyanhabib, itulah menjadikan kumpulan puisi seperti
ini berbeza dengan karya yang sama genre dengannya yang lain.
Bagaimanapun, rakaman sejarah seni dan sastera kota raya
itu bukan lagi tanggungjawab Sani Sudin. Beliau sudah memberikan suaranya yang
sarat dengan sejarah, justeru sejarawan dan pengkajilah yang perlu menyambung
usaha membukukan sisi penting sebuah kota itu.
Justeru, Di Dalam Dalam bukanlah mengandungi kata-kata
lugu tanpa erti, sebaliknya membentuk satu sejarah yang kita – sasterawan,
pengarang, penulis, pengkritik, pengkaji dan pembaca – adalah bahagiannya juga.
Dan kata-kata itu sendiri, seperti kata-kata Sani Sudin,
ialah dirinya sendiri:-
Kata kata…
Ayat ayat…
yang menyinggung
yang menyinis
menjadi
urat saraf puisi…
0 comments:
Post a Comment