Muhammad Adib Samsudin sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
Karya berjudul MOKHTAR DAHARI Legenda Bola Sepak Malaysia ini adalah hasil penulisan Zinitulniza Abdul Kadir. Ia diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan harga jualan RM180.00 di Semenanjung Malaysia dan RM195.00 di Sabah dan Sarawak. Buku ini dicetak buat pertama kalinya pada tahun 2013 dengan nombor ISBN 978-967-430-370-9.
Tujuan buku ini ditulis pula ialah untuk menonjolkan kembali kisah hidup Mokhtar Dahari. Oleh itu, jelas penulis memilih tema sukan bola sepak sebagai asas penulisan beliau. Lebih khusus lagi, buku ini menampilkan biografi seorang pemain bola sepak yang dianggap legenda bernama Mokhtar Dahari.
Hasrat ini dikesan melalui pendekatan naratif yang dipakai oleh penulis. Kronologi penceritaan mengenai kehidupan Mokhtar Dahari bermula sejak halaman dua lagi sehinggalah halaman 212. Penceritaan ini pula disokong dengan gambar-gambar yang turut disusun mengikut kronologi. Ini ditambah pula dengan peletakan angka tahun bermula dari tahun 1972 hingga 1988. Angka ini jelas dilihat berada di sebelah atas di halaman kanan buku.
Saya berpendapat, saudari Zinitulniza Abdul Kadir mempersembahkan sebuah karya yang wajar dibaca oleh para peminat sukan terutamanya bola sepak. Sesiapa yang belum pernah mengenali Mokhtar Dahari sebelum ini akan terus kenal Mokhtar dan boleh ‘jatuh cinta’ kepada pemain legenda ini. Ini kerana penulisannya mudah difahami. Tambahan pula, penulis menggarap latar belakang kehidupan dan kerjaya Mokhtar melalui penulisan Mokhtar sendiri yang dipetik daripada pelbagai sumber. Saya boleh bersetuju dengan penulis yang mengatakan ia adalah lebih ‘jujur’ untuk memperkenalkan Mokhtar berbanding penceritaan yang dibuat oleh pihak ketiga.
Namun demikian, penulisan seperti ini hanya menambah satu lagi karya tentang biografi Mokhtar Dahari. Ia tidak jauh beza dengan karya-karya lain dalam topik dan genre yang sama. Misalnya Supermokh Legenda Bola Sepak Tanah Air karya Zabidin Haji Ismail, Mokhtar Dahari Lebih Satu Dekad Bergelumang Dengan Bolasepak yang ditulis oleh Joe Marcose et. al, dan Mokhtar Dahari Jaguh Bola Sepak Negara hasil karya Abdullah Fahim. Bahkan jika dilihat dari segi judul sahaja, karya Zinitulniza hanya menukar beberapa perkataan.
Namun demikian, tidak dapat dinafikan ia mempunyai tarikan tersendiri berbanding karya-karya di atas. Saiznya lebih besar. Saiz buku memainkan peranan penting dalam sesebuah penulisan biografi. Ini kerana ia perlu memuatkan gambar dan ilustrasi. Pembaca akan berasa lebih puas membaca buku yang besar berbanding saiz buku 6x9 inci. Begitu juga dengan buku Mokhtar Dahari Legenda Bola Sepak Malaysia ini. Kepuasan itu begitu terasa. Impak daripada saiz buku yang besar juga ialah saiz font juga lebih besar. Proses membaca menjadi lebih mudah dan menyeronokkan. Saya sendiri mengambil masa tidak sampai dua jam untuk menghabiskan keseluruhan buku ini.
Selain itu, pendekatan Zinitulniza ‘membiarkan’ sahaja Mokhtar bercerita mengenai diri beliau menyebabkan beberapa kriteria penting tentang beliau yang perlu kepada analisis pihak ketiga menjadi terabai. Misalnya gaya tersendiri Mokhtar di padang. Karektor khusus yang menjadi ikon kepada peminat-peminat Mokhtar seperti mengangkat tangan sambil menggengam penumbuk setelah berjaya menjaringkan gol tidak dimuatkan dalam buku ini. Pada pandangan saya, ia antara ciri penting tentang Mokhtar yang akan sentiasa diingati oleh para peminatnya. Mungkin saya tersilap tetapi tiada juga sekeping gambar pun yang menunjukkan situasi ini.
Begitu juga penulis terlepas pandang banyak perkara melalui kaedah penulisan seperti ini. Karya ini tidak berpeluang mendengar ulasan daripada Persatuan Bola Sepak Selangor kini secara khusus terutamanya usaha yang mungkin boleh dilakukan untuk melahirkan lebih ramai lagi Mokhtar. Saya juga ingin mengetahui langkah yang boleh dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah 23 tahun kematian beliau. Korea Selatan yang begitu gerun kepada Malaysia ketika Mokhtar masih berbisa sekarang ini kelihatan bergaya sekali pada pertandingan Piala Dunia. Bahkan ada pemain negara itu yang bermain dengan kelab ternama di Liga Inggeris.
Bercakap mengenai penulisnya pula, Zinitulniza Abdul Kadir seorang bekas wartawan. Sebagai seorang bekas wartawan beliau terdedah kepada perolehan maklumat dan mengolah maklumat tersebut kepada khalayak. Justeru, beliau mempunyai kredibiliti untuk menghasilkan karya seperti ini. Saya percaya ini merupakan karya asli beliau yang pertama. Pun begitu, bahasanya amat mudah untuk difahami. Semangat menulis buku ini diperoleh melalui arwah bapa beliau yang merupakan peminat bola sepak tegar.
Selain itu, reka bentuk buku ini juga menarik. Warna hitam sebagai latar belakang kulit buku dengan tulisan berwarna hijau agak selesa dipandang. Saiz font juga bersesuaian sama ada pada kulit atau dalam teks. Susunan teks dan peletakan gambar dalam buku ini juga dibuat dengan berhati-hati sekali. Begitu juga, banyak gambar yang menjadi nostalgia Mokhtar Dahari yang dimuatkan di sini tidak terdapat dalam karya-karya lain yang menyentuh isu yang sama.
Sebelum ulasan saya berakhir, izinkan saya meluahkan rasa terkilan saya – walaupun saya bukan peminat pasukan bola sepak Selangor – simbol utama pasukan Selangor yang menjadi pasukan hidup mati Mokhtar tidak ditonjolkan. Jolokan ‘Red Giants’ adalah kerana jersi Selangor berwarna merah dan kuning. Namun demikian, gambar Mokhtar dan tulisan pada judul buku tidak menggambarkan ciri utama yang menjadi kebanggaan peminat bola sepak Selangor. Kalaupun ada, ia terletak pada halaman 94. Itu pun gambar majalah Dunia Sukan. Sepatutnya ‘layout’ buku ini menonjolkan warna yang menjadi darah daging Mokhtar sehingga akhir hayatnya.
Akhirnya, isi kandungan buku ini benar-benar menggambarkan kehidupan Mokhtar sebagai seorang legenda bola sepak Malaysia. Penulis berjaya memperkenalkan kembali kepada para pembaca buku ini dengan gaya yang bersahaja tokoh dan wira bola sepak bernama Mokhtar Dahari. Saya mencadangkan buku ini dimiliki oleh peminat bola sepak terutamanya peminat Mokhtar Dahari.
0 comments:
Post a Comment