Wednesday, September 24, 2014

Ulasan Buku ITBM 2014: D.U.B.L.I.N.

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Pija Zangi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. 

Blurb buku ini mempunyai pesonanya tersendiri yang menyebabkan minda saya selaku pembaca serta-merta bekerja mencari maknanya. Tidak dinafikan tarikan karya ini terserlah apabila karya ini telah diangkat sebagai Hadiah Tempat Pertama bagi Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH bagi kategori kumpulan novel.

Sejujurnya, saya sebagai pembaca masih lagi dalam usaha menghadam karya ini. Metafora yang digunakan oleh penulis Wan Nor Azriq bagi saya terlalu mendalam maksudnya sehinggakan saya perlu membaca sesetengah bahagian berulang-ulang kali. Watak utama yang dikenali sebagai Encik H seorang yang sangat misteri dan kadang kala mahu sahaja saya melabel Encik H sebagai seorang yang kurang waras berjaya membuatkan neuron minda saya bekerja dengan lebih keras untuk memahami makna di sebalik tingkah laku beliau. Muncul pula watak Anita, pembantu penyelidik Encik H sekaligus menjadi editor bagi karya Encik H yang sedang dalam pembikinan. Watak Anita dan suaminya (kadang kala saya sangsi tentang hubungan suami isteri ini) bukan hadir untuk merungkaikan watak Encik H malah menambahkan lagi konflik dalam novel ini.

Metafora kambing biri-biri yang muncul di penghujung jalan cerita ini sungguh membuatkan saya semakin berfikir apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Tanpa perlu menyangkal bakat penulis dalam menghasilkan karya di luar kotak pemikiran, saya berpendapat karya ini harus dibedah siasat dengan lebih terperinci. Malah, jika ada satu program untuk diadakan bedah siasat bagi novel ini, saya merupakan pembaca pertama yang sudi menghadirinya.

Novel ini juga istimewa kerana penulis meletakkan kata-kata beberapa tokoh (saya perlu mencari nama tokoh-tokoh ini di Google). Tidak seperti novel biasa yang sering mendedikasikan novel karya mereka kepada insan-insan tertentu. Banyak juga nama-nama asing yang dipetik oleh penulis dalam usaha mengetengahkan tradisi berjalan kaki sebagai suatu seni penulisan. Ini sekaligus memberi gambaran kepada saya bahawa penulis merupakan seorang pembaca tegar dan universal. Saya sekali lagi perlu membuat rujukan di Google untuk mengenali tokoh-tokoh yang dinyatakan.

Karya ini sangat merupakan karya yang penuh dengan misteri dan menggunakan kemahiran bersastera yang tinggi untuk dihasilkan. Bukan calang-calang pembaca yang boleh menghadam karya ini. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa karya ini sememangnya layak untuk diangkat menjadi pemenang Hadiah Tempat Pertama dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH. Tahniah kepada penulis Wan Nor Azriq! Semoga dapat menghasilkan banyak lagi karya yang mencabar minda pada masa akan datang.

0 comments:

Post a Comment