Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Mohd Ridzuan Harun sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. Buat pertama kalinya mengunjungi booth atau gerai Institut Terjemahan dan Bahasa Melayu (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC).
DUNIA kanak-kanak adalah dunia paling indah dan serba mungkin. Justeru kerana ketika alam ini, fikiran kanak-kanak sangat bersih, jernih, mudah dibentuk, dan penuh warna tentunya. Lantaran semuanya bersih, jernih, mudah dibentuk, dan penuh warna, maka satu aspek yang dapat membantu membina keperibadian dan sahsiah yang baik dalam kalangan kanak-kanak ialah melalui bahan pembacaan yang baik.
Dunia buku kanak-kanak amnya, dan sastera kanak-kanak khususnya adalah alam lautan biru yang luas dan belum dijelajahi sepenuhnya. Lebih dari itu, sastera kanak-kanak tidak sekadar lautan biru, bahkan juga rimba raya yang subur menghijau; yang membentangkan cabaran dan keseronokan yang belum diteroka secara meluas. Justeru, di tengah lautan yang membiru dan rimba raya yang menghijau, ada ruang dan kelompongan yang belum terisi dan minta untuk diisi dalam dunia buku kanak-kanak.
Buku cerita kanak-kanak berbeza dengan buku sastera kanak-kanak walaupun fungsinya untuk menyampaikan cerita kepada kanak-kanak. Buku cerita kanak-kanak menyampaikan cerita yang menyebabkan kanak-kanak suka dan seronok apabila membacanya. Buku sastera kanak-kanak pula tidak sekadar hanya menyampaikan cerita-cerita yang mengagumkan indera kanak-kanak, tetapi juga membantu membentuk dan membina makna-makna baru bagi kanak-kanak yang membacanya.
Bahkan, ada waktunya ia juga mencabar indera dan akal orang dewasa yang turut membacanya. Fungsi yang dimainkan oleh sastera kanak-kanak tidak serupa dengan buku cerita kanak-kanak. Buku-buku cerita kanak-kanak berfungsi untuk menghibur sahaja atau memberi maklumat; ataupun mungkin kedua-duanya sekali, tetapi tidak memberikan makna. Fungsi memberi makna hanya dapat dilakukan oleh sastera. Perkembangan kesusasteraan kanak-kanak dianggap selaras dengan proses tumbesaran kanak-kanak kerana terdapatnya hubungan yang mesra dan sebati antara sastera dengan kanak-kanak.
Rahimidin Zahari tidaklah dikenal sebagai seorang penulis cerita kanak-kanak. Kilau dan sinarnya menyerlah dalam ranah penciptaan puisi; seperti lazim yang disebut pembaca dan pengkaji sastera. Sejauh ini yang dapat dikesan, Rahimidin hanya menerbitkan sebuah buku cerita kanak-kanak, iaitu Wira Sekolah yang diterbitkan pada tahun 1994 oleh Penerbit Yakin. Selain itu, cerita kanak-kanaknya turut termuat dalam buku kanak-kanak berjudul Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia selenggaraan Othman Puteh dan Aripin Said terbitan Utusan Publications & Distributors pada tahun 1995, yang beberapa kali sudah diulangcetak. Sesekali, terkesan kehadiran tulisan cerita kanak-kanaknya dalam majalah Dewan Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Selebih daripada itu, Rahimidin terus hidup dengan puisinya; sesekali menghadirkan naskhah dan esei tentang drama pentas.
2014 ini, Rahimidin hadir dengan sebuah lagi buku kanak-kanak, Biring Sikunani terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Biring Sikunani, sebuah cerita yang diangkat dan dipermudah daripada tradisi sastera rakyat tempatan dengan diberi sedikit suntikan baru oleh Rahimidin. Kenapa Rahimidin memilih dan menyaring bahan daripada tradisi sastera rakyat Melayu yang luas itu? Perkembangan awal kesusasteraan kanak-kanak dalam masyarakat Melayu seperti sastera kanak-kanak untuk masyarakat lain juga, dapat dikesan daripada tradisi sastera lisan. Sastera lisan atau lebih dikenal sebagai sastera rakyat walaupun lebih khusus untuk golongan dewasa, namun telah tersebar luas dan turut diminati oleh kanak-kanak. Masa dan perubahan corak hidup masyarakat telah menghakis tradisi sastera lisan dalam masyarakat serta menukarkan bentuk dan sifat hubungan antara sastera dengan kanak-kanak. Hari ini, tempat sastera lisan atau sastera rakyat ini telah diambilalih oleh sastera tulisan, yang juga disebut sebagai sastera persuratan.
Biring Sikunani diambil daripada galur cerita jenaka dalam tradisi sastera rakyat. Ceritanya tentang Pak Kadok, yang mempunyai seekor ayam sabung bernama Biring Sikunani. Suatu hari, Pak Kadok membawa Biring Sikunani ke Istana Raja Alang untuk menyabung ayamnya dengan ayam Raja Alang, bernama Jalak Putih Mata. Demi terpandangkan kehebatan Biring Sikunani, Raja Alang membuat helah untuk menukar ayamnya dengan ayam Pak Kadok. Pak Kadok bersetuju. Tidak cukup dengan pertukaran itu, Pak Kadok membuat perjanjian dengan raja, jika ayamnya kalah sabung, tanah kampung dan rumahnya akan menjadi kepunyaan raja. Di akhir perlawanan Jalak Putih Mata yang menjadi ayam Pak Kadok telah tewas kepada Biring Sikunani. Kerana terlalu gembira Biring Sikunani menang, Pak Kadok bersorak kesukaan hinggakan baju kertas yang dipakainya telah terkoyak. Apabila disedarkan oleh Raja Alang, tahulah kini ayam Jalak Putih Mata yang menjadi miliknya telah kalah. Setelah menyerahkan kampung dan rumahnya kepada raja seperti yang dipertaruhkan, Pak Kadok dan isterinya berpindah ke hulu negeri. Di istana, Biring Sikunani mengamuk hinggakan tidak dapat dijinakkan oleh seorang pun penjaga ayam. Raja Alang kemudiannya menitahkan Pak Kadok dibawa ke istana. Hiduplah Pak Kadok di istana sebagai penjaga ayam raja. Dan tidak lama kemudiannya, raja menitahkan semua rakyat jelatanya berhenti daripada menyabung ayam.
Pak Kadok, cerita jenaka yang terkenal di dalam sastera rakyat. Cerita Pak Kadok ini mengandungi unsur humor atau lucu. Hampir keseluruhan cerita jenaka menggambarkan “kebodohan” watak utama. Sifat bodoh akibat daripada membuat sesuatu tafsiran yang salah menyebabkan watak jenaka itu melakukan aksi-aksi yang menimbulkan kelucuan. Cerita jenaka berkisar pada watak dalam kalangan rakyat bawahan. Nama watak melambangkan sifat-sifat watak berkenaan, seperti watak Pak Kadok sendiri. Kelucuan cerita jenaka dilahirkan dari sifat dan tindakan yang dilakukan oleh watak tersebut. Cerita jenaka pada dasarnya berfungsi sebagai hiburan dan juga sebagai alat kritikan sosial.
Biring Sikunani menepati cita rasa sebagai sebuah buku kanak-kanak dalam lingkungan usia sembilan tahun ke bawah. Konsepnya membaca dan dibaca. Ia sesuai dibaca sendiri oleh kanak-kanak, dan sesuai juga dibaca oleh orang dewasa atau ibu bapa kepada kanak-kanak. Plot cerita ini bersifat sederhana, mudah, lurus, kronologi dan tidak berbelit-belit. Cerita atau peristiwa lebih tertumpu kepada watak utama sahaja. Dalam cerita jenaka ini Rahimidin menyelitkan episod-episod kecil untuk menguatkan cerita. Binaan ayatnya mudah, selari dengan cerita yang hendak disampaikan. Ada mesej yang baik cuba disampaikan Rahimidin kepada kanak-kanak yang membacanya.
Sesuai dengan sifat dan sikap seorang pengarang yang baik, Rahimidin dilihat dengan serius cuba mengawal bahasa dan jalan ceritanya untuk tidak menampakkan tulisannya menampilkan ayat-ayat yang terlalu menasihati, berleter, mengajar atau “memperbodohkan” kanak-kanak. Semua itu dapat dihindar dengan baik oleh Rahimidin sebagai seorang pengarang. Mesej atau pengajaran dalam cerita boleh saja terhantar dalam pelbagai bentuk dan teknik. Rahimidin memilih untuk menghantar dengan cara yang bersahaja dan tidak perlu untuk terlalu “mengemak-emak” (di dalam pasaran kerap ditemui buku cerita kanak-kanak yang terlalu bersikap “mengemak-emak” dalam menasihati kanak-kanak yang membacanya).
Memang secara psikologinya sebuah cerita kanak-kanak memerlukan susunan plot yang kemas dan menarik, binaan plot yang tidak statik serta mampu memberi pancingan kepada emosi anak-anak. Namun, tidak salah jika cerita yang dipersembahkan plotnya tidak menggugah, tidak mencabar emosi atau psikologi kanak-kanak. Ia tergantung kepada konteks dan sasaran audiens pembacanya. Plot atau teknik yang agak kompleks mungkin lebih sesuai untuk kanak-kanak pada peringkat umur yang sedikit tinggi, sembilan tahun ke atas misalnya. Seperti usia orang dewasa yang pelbagai peringkat, tingkat dan tahap umur kanak-kanak juga pasti menjadikan sebuah buku kanak-kanak berbeza sasaran penulisannya. Justeru, Biring Sikunani sesuai untuk bacaan kanak-kanak pada usia sembilan tahun ke bawah. Apatah lagi dengan ilustrasi oleh Emila Yusof yang menarik akan lebih memudahkan mereka memahami isi cerita yang hendak disampaikan. Ilustrasi yang cantik adalah suatu bonus kepada sebuah buku kanak-kanak yang baik.
Cerita rakyat kita kebanyakannya mengapungkan imej-imej negatif yang menunjukkan kebodohan, ketololan dan nasib malang rakyat bawahan. Namun, Rahimidin berjaya memurnikan kisah Pak Kadok menjadi sebuah cerita yang berimej baru. Rahimidin tidak menamatkan ceritanya dengan “ayamnya menang kampung tergadai” seperti yang kerap kita dengar dalam cerita-cerita lisan sejak zaman-berzaman. Rahimidin membawa Pak Kadok kembali ke kampung halamannya dan menjadi penjaga ayam raja di istana. Kemudian selepas dari itu, raja juga telah menitahkan aktiviti menyabung ayam dalam kalangan rakyatnya dihentikan. Menyabung ayam menyiksa binatang, sementara pertaruhan perlawanan adalah suatu bentuk perjudian. Rahimidin memilih untuk tidak mengoceh memberitahu pembaca tindakan menyabung ayam dan bertaruh itu adalah menjadi satu kesalahan. Imej negatif ini dipadamkan secara senyap dan halus oleh pengarang.
Tidak ditemui perkataan atau ayat yang berbau negatif, yang boleh mencemari kemurnian fikiran dan emosi kanak-kanak. Bahkan ketika membacanya sebagai seorang pembaca dewasa, kita mungkin akan terlupa dengan dendang Seloka Pak Kadok, yang melagukan nasib malang Pak Kadok seperti di dalam cerita lisan. Kanak-kanak terdiri daripada pelbagai peringkat kelompok usia. Maka itu, hanya hal-hal tertentu yang boleh diceritakan kepada mereka. Ada sejumlah “pantangan” yang tidak boleh diceritakan kepada mereka. Biasanya teras “pantangan” ini berkait dengan tema atau gagasan cerita. Tidak semua tema yang sesuai untuk bacaan dewasa dapat disajikan kepada kanak-kanak. Bagaimanapun, pertimbangan untuk menentukan tema yang bagaimana sesuai untuk kanak-kanak dan yang mana pula menjadi “pantangan” adalah berdasarkan kehalusan cita rasa dan pertimbangan akal budi penulisnya sendiri. Dan Rahimidin memilih untuk memadamkan rasa dan tanggapan negatif kepada Pak Kadok dengan memberikan pengakhiran yang positif, membina dan menggembirakan.
Rahimidin membina suatu pengalaman sastera kanak-kanak yang baru, dengan menyusupkan secara halus dan perlahan soal psikologi dan rangsangan emosi yang jernih kepada kanak-kanak. Terkesan adanya sedikit ciri teoretis, iaitu bagaimana cerita kanak-kanak dihasilkan oleh orang dewasa berdasarkan pengamatan dan cita rasa yang difikirkan sesuai untuk kanak-kanak. Pun begitu, ia tidaklah sampai menghilangkan fungsi utama bacaan kanak-kanak, iaitu untuk memberi hiburan dan sekali gus menyenangkan kanak-kanak. Membaca untuk hiburan dan keseronokan sesuai dengan sifat semula jadi sebagai seorang kanak-kanak.
Penulis yang berjaya menghasilkan karya untuk khalayak pembaca dewasa jarang dapat menghasilkan cerita yang menarik bagi kanak-kanak. Pendekatannya berbeza kerana khalayaknya juga berbeza. Biring Sikunani di tangan Rahimidin Zahari berjaya menyuguhkan sebuah cerita yang sesuai dan wajar bagi kanak-kanak pada peringkat umur bawahan. Biring Sikunani secara seluruhnya tidaklah berdiri sebagai sebuah buku cerita kanak-kanak biasa, dan tidak secara seluruhnya juga menegak sebagai sebuah buku sastera kanak-kanak. Biring Sikunani seakan-akan berdiri di tengah-tengah antara buku cerita kanak-kanak yang biasa dan buku cerita yang sarat dengan intipati sebuah buku sastera kanak-kanak. Ia menawarkan pendekatan yang sederhana, dengan adunan kandungan yang terkawal antara cerita dan nilai murni. Dalam pada masa yang sama, Biring Sikunani juga menganjurkan keselarian antara didaktisisme dengan fungsi cerita sebagai sebuah hiburan melalui plot dan bahasa yang mudah, ringan, menarik serta menepati sebagai sebuah karya yang sesuai untuk bacaan kanak-kanak.
*~ Ulasan ini ditulis untuk menyertai Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014
The Casino at Harrah's Resort Reno - JTA Hub
ReplyDeleteDiscover the newest 광명 출장샵 & best slots and table games 군산 출장마사지 at Harrah's Resort Reno! Find 제주 출장마사지 all the latest and greatest slots and 이천 출장샵 table games at 계룡 출장마사지 Harrah's Resort Reno!