Buat pertama kalinya mengunjungi booth atau gerai Institut Terjemahan dan Bahasa Melayu (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC).Memang minat saya membaca buku yang berkenaan autobiografi atau biografi ulama-ulama islam atau tokoh-tokoh terkemuka di seantero dunia.Apabila terpandang karya Mohammad Abdullah Enan yang bertajuk Ibnu Khaldun Riwayat Hidup & Karyanya saya terus membeli bersama beberapa buku lain.
Penulis yang bernama Muhammad Abdullah Enan memang terkenal dalam bidang sejarah di dunia Arab.Banyak buku-buku yang ditulis beliau seperti Qadaya al-Tarikh al-Kubra ,Tarikh al-Jami’iyat al-Siriyyah dan banyak lagi berkenaan sejarah.Umat Islam terutamanya harus berterima kasih terhadap beliau kerana telah mengarang buku mengenai Ibnu Khaldun yang saya rasa tidak banyak yang ditulis dan dikaji oleh umat Islam meskipun Ibnu Khaldun merupakan ilmuwan Islam terkenal.
Beliau membahagikan 2 bahagian besar iaitu kehidupan Ibnu Khaldun dan kecendekiawan dan warisan sosial Ibnu Khaldun.Pada pendapat saya,susunan tajuk oleh Mohammad Abdullah Enan amat tepat dan memudahkan pembaca untuk memahami dan mengambil pengajaran.Pada bahagian pertama, Mohammad Abdullah Enan menceritakan sejarah hidup Ibnu Khaldun di Afrika Utara dan Andalusia.Penulis menerangkan dan memperincikan perjalanan hidup Ibnu Khadun di Afrika Utara dan Andalusia sehinggalah Ibnu Khaldun berasa sudah muak dengan politik dan ingin mendalami kajiannya.Tindakan ini dimulakan dengan melarikan diri ke Mesir dengan alasan ingin menunaikan ibadat Haji.
Kehidupan di tempat orang amatlah berbeza atau berlainan dengan tempat asal.Tambahan pula,berjauhan dengan orang tersayang.Walaupun kehidupan Ibnu Khaldun di Mesir tidaklah susah seperti yang disangka.Mohammad Abdullah Enan menceritakan kisah kehidupan Ibnu Khaldun di Mesir dengan cara yang sama penulis menceritakan kehidupan Ibnu Khaldun di Afrika Utara dan Andalusia iaitu menerangkan dan memperincikan.Tetapi di akhir bab pertama,Mohammad Abdullah Enan merumuskan satu bab mengenai hubungan Ibnu Khaldun dan Pemikiran Mesir.Penulis menceritakan perbezaan pendapat dengan Imam Ibnu Hajar,Ibnu ‘Arafah,Al-Bishbishi dan Al-Riqraqi.Tidak kurang pula ilmuwan yang memuji dan mengagumi Ibnu Khaldun seperti Al-Maqrizi dan Abu al-Mahasin ibni Taghri Birdi.Selain itu, Mohammad Abdullah Enan merumuskan perbezaan kehidupan Ibnu Khaldun di Afrika Utara dengan Mesir.Pada pendapat saya,kesimpulan yang dibuat penulis merupakan penutup yang kemas mengenai kehidupan Ibnu Khaldun di Afrika Utara dan Mesir.
Pada permulaan bahagian kedua, Mohammad Abdullah Enan menjelaskan ilmu Sosiologi yang diterangkan oleh Ibnu Khaldun dalam Prolegomena dan ada pendapat saya,Mohammad Abdullah Enan menjelaskan ilmu sosiologi,sejarah dan ekonomi yang diasaskan oleh Ibnu Khaldun secara ringkas dan mudah difahami oleh pembaca. Mohammad Abdullah Enan juga telah membuat kajian adakah ilmu yang diasaskan Ibnu Khaldun ini benar-benar diilhamkan olehnya atau Ibnu Khaldun hanyalah mengambil dari ilmuwan-ilmuwan yang terdahulu seperti Ibnu Qutaybah al-Dinawari,Abu Nasr al-Farabi,Abu al-Hasan al-Mawardi dan banyak lagi.Hasil kajian menunjukkan bahawa Ibn Khaldun memang merupakan pengasas dalam bidangnya iaitu sosiologi,falasafah sejarah dan ekonomi.
Saya amat tertarik dengan cara Mohammad Abdullah Enan menerangkan mengenai Kitab al-‘Ibar dan Al-Ta’rif karangan Ibnu Khaldun.Buku yang membicara tentang teori sejarah dan sosiologi.Cara Mohammad Abdullah Enan menerangkan kepada pembaca dengan jelas dan padat termasuk mengulas pendapat-pendapat Ibnu Khaldun yang bersifat berat sebelah dalam bahagian yang membincangkan sejarah orang Berber.Mohammad Abdullah Enan juga menerangkan secara umum kitab Al-Ta’rif yang merupakan autobiografi Ibnu Khaldun.Buku yang menceritakan latar belakang Ibnu Khaldun seperti keturunannya,peringkat pengajian,buku yang dibaca dan sains yang dikajinya dan banyak lagi.Sedih apabila Mohammad Abdullah Enan memberitahu ada karya Ibnu Khaldun yang sampai kepada kita.
Bab yang paling menarik dalam buku ini ialah mengenai Ibnu Khaldun dan kritikan moden. Mohammad Abdullah Enan menceritakan kritikan-kritikan daripada orientalis barat kepada Ibnu Khaldun.Amat menyedihkan apabila karya Ibnu Khaldun diabaikan beberapa abad sehinggalah pada 1697 apabila D’Herbelot mengarang buku Bibliotheque Orientale mengenai biografi Ibnu Khaldun walaupun mengandungi banyak kesilapan.Apa yang menarik bagi saya,para orientalis barat amat berminat dengan karya Ibnu Khaldun terutamanya mengenai falsafah sejarah,sosiologi dan ekonomi.Mereka seperti Baron Von Kremer,Profesor Nathaniel Schmidt,De Boer,Profesor Ludwig Gumplowicz dan ramai lagi.Walaupun mereka tidak beragama Islam,tetapi mereka amat meminati dan mengakui Ibnu Khaldun adalah pengasas ilmu sosiologi,falsafah sejarah dan ekonomi berbanding daripada kaum atau ‘geng’ mereka seperti Marchiavelli,Vico,Montesquieu,Adam Smith dan Auguste Comte.Bahkan Profesor Gumplowicz berkata “Saya mahu tunjukkan bahawa lama sebelum itu bukan sahaja Auguste Comte,tetapi juga Vico,yang orang Itali bersungguh-sungguh mahu dinobatkan sabagai ahli sosiologi Eropah pertama,seorang Islam yang warak tekah pun mengkaji dengan penuh kebijaksanaan fenomena sosial,dan telah mengungkapkan pandangan yang mendalam tentang subjek ini.Apa yang ditulisnya ialah apa yang kita istilahkan hari ini sebagai ‘Sosiologi’”.
Mohammad Abdullah Enan juga membezakan falsafah sejarah dan sosiologi yang dibawa oleh Marchiavelli dengan Ibnu Khaldun dengan membandingkan buku The Prince yang ditulis Marchiavelli dengan Prolegomena karangan Ibnu Khaldun.Walaubagaimanapun,pendapat Ibnu Khaldun lebih kaya dari segi bahan dan lebih luas dari segi pandangan seperti pendapat Ibnu Khaldun lebih jauh dalam aspek sosial.Teori politik yang ditulis oleh Marchiavelli berasaskan dengan kekerasan,kekejaman dan kejahatan.Namun begitu,wujud persamaan di antara mereka berdua seperti kesan kezaliman,sifat putera dan lain-lain lagi.Diakhir bab ini, Mohammad Abdullah Enan membuat teori sama ada Marchiavelli tahu mengenai karya-karya Ibnu Khaldun yang tidak jauh dengan zamannya.
Oleh itu,amat rugilah umat Islam tidak mengambil manfaat dari karya-karya Ibn Khaldun yang dipandang tinggi oleh para orientalis barat.Hampir 1000 tahun dari zaman Ibnu Khaldun,namun umat Islam masih kurang mengambil ilmu yang diasaskan oleh beliau.Di akhir buku ini, Mohammad Abdullah Enan memberitahu karya-karya Ibnu Khaldun telah diterjemah kepada pelbagai bahasa dunia seperti Perancis,Turki,Jerman dan Itali.Saya tidak pasti adakah manuskrip karya-karya Ibnu Khaldun diterjemahkan dalam Bahasa Melayu.Buku karya Mohammad Abdullah Enan ini amatlah perlu kita ambil pengajaran dan nilai-nilai murni terutama umat Islam.
0 comments:
Post a Comment