Ulasan oleh Djazlam Zainal di Ulasan Buku Kreatif Institut Terjemahan dan Buku Negara Malaysia pada 6 Mac 2014.
Puteri sulung penyair mapan tanah air, Dato Dr. Zurinah Hassan, Raihani Mohd Saaid sedang menyiapkan diri sebaris dengan generasi pelapis sasterawan tanah air. Sebaris namanya dengan Zean Kasturi, S.M. Zakir, Rahimidin Zahari, Shamsuddin Othman, Faisal Tehrani, Mawar Shafie, Nisah Harun atau pun Siti Jasmina Ibrahim, Raihani mempunyai gaya pengucapannya yang tersendiri. Menulis puisi, cerpen, novel dan skrip drama pentas, Raihani kelihatannya telah terlepas daripada bayangan ibunya sendiri. Sekurang-kurangnya " Sidang Kultus " ( ITBM, 2013 ) kumpulan puisi keduanya ini, jauh berbeda dari " Sesayup Jalan " dan " Di Sini Tiada Perhentian " Zurinah Hassan.
Lihatlah bagaimana kedua-dua menempuh zaman awal melalui kata pengantarnya. Raihani menuliskan, sajak-sajak dalam kumpulan ini merupakan satu kerahan akal dan percubaan meninggalkan gaya persajakan saya sebelum ini. Saya tidak tahu percubaan ini berjaya atau tidak... ( 2013: ix ) Bandingkan pula dengan pengantar ibunya Zurinah Hassan, dapatkah anda bayangkan betapa perasaan saya sebagai insan kerdil, baru 17 hari menjadi mahasiswa dan baru mencuba di alam sastera, telah dijemput oleh seorang tuan Naib Censelor untuk beramah tamah dengannya. Kata-kata itu bukan hanya bualan kosong semata-mata, kerana kemudiannya beliau telah memberitahu saya hasratnya untuk membukukan sajak-sajak saya ( 1974: 1 ) Dari kedua-dua kata pengantar ini, dapatlah kita bayangkan bahawa kedua penyair bertalian keluarga ini mempunyai jalan yang berbeda.
Sidang Kultus mengandungi 36 buah sajak. Sajak-sajaknya dikatakan sebagai percikan api anak muda dan pergolakan siasah tanah air. Vokal suara Raihani lebih lantang dan perhatiannya tertumpu pada sudut-sudut gelap sekitarnya. Sudut gelap ini kelihatan dengan sajak Noir, satu hingga lima. Noir ada tribut Raihani terhadap almarhum Dr. Anuar Nor Arai, tokoh drama pentas dan filem noir yang ulung di negara kita. Noir adalah sisi gelap masyarakat yang pernah ditonjolkan oleh Anuar dalam drama-dramanya seperti Si pemacak, Vakuum dan Tok Selampit. Untuk itu, Raihani menuliskan,
johnny yang tak sempat kumesrai
sedang nama memercikkan berahi
ke saraf ingin tahu
ingin kukenalimu, johnny
buat menambah khazanah nahu
ingin kuselami laut watakmu johnny
yang merentang layar melawan angin
....
katamu, apa yang kurang pada bangsumu
ialah ilmu mencintai bangsanya sendiri
bangsa yang mudah terbakar
tapi banjir dalam jiwa
bangsa yang mudah meratakan rasa
ketika bujuk luar memuncak
johnny, namamu
tersisih, mendung dan sendu
( Noir, hal. 28 )
Anuar mencipta sejarah dalam dunia perfileman tanah air kerana mengarahkan filem dengan durasi terpanjang iaitu selama lima jam berjudul Johnny Bikin Filem. Bagaimanapun filem pertama dan terakhirnya itu yang diterbitkan oleh Universiti Malaya ( UM ) pada 1995 tidak pernah ditayangkan kepada umum. Filem Johnny Bikin Filem yang berdurasi selama lima jam merupakan filem pertama dan terakhir arahannya. Walaupun karyanya tidak pernah dipertontonkan kepada orang ramai, namun sudah pasti satu kejayaan bermakna buatnya apabila Johnny Bikin Filem mencipta rekod sebagai filem tempatan paling lama disiapkan layak untuk disenaraikan dalam pelbagai kategori di Festival Filem Malaysia ke-21 ( FFM21 ) pada 2008.
Johnny Bikin Filem memaparkan kisah Johnny, seorang anak muda dari kampung yang menjadi ketua gangster berpengaruh di Singapura dalam tahun 1950-an. Ketika itu dunia filem Melayu dikuasai kapitalis Cina dari Hong Kong, dan gangsterisme menjadi sebahagian daripada pelengkap sosial zaman itu. Johnny dengan kekayaan dan pengaruhnya berhasrat membeli studio filem di Singapura setelah menjalinkan hubungan cinta dengan salah seorang primadona filem Melayu.
Beliau yang nama sebenarnya Anuar Mohd. Nor @ Arai adalah anak Malaysia pertama yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah ( PhD ) dalam bidang perfileman dari Universiti California Los Angeles, Amerika Syarikat dan bertugas lebih 20 tahun sebagai pensyarah bidang perfileman di UM. Selain itu, beliau pernah bertugas di Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) Shah Alam dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan ( Aswara ) dengan jawatan terakhir yang disandangnya ialah Timbalan Rektor Aswara.
Anuar juga pernah mengarah beberapa teater termasuk teater terakhirnya berjudul, Ronggeng Rokiah yang dipentaskan di Istana Budaya. Walaupun Allahyarham lebih terkenal dalam bidang akademik, namun namanya bukanlah asing dalam genre drama pentas. Naskah ' Tok Selampit ' karya beliau adalah antara naskah drama yang sering dikaji selain drama Vakuum dan Si Pemacak yang sering pula dijadikan drama untuk latihan oleh pelajar-pelajarnya. Bagi Raihani, namun sayangnya, skrip-skrip cerdik itu terkubur begitu saja bersama pemergian beliau ke alam baqa. Tanpa Raihani menonjolkannya dalam sajak-sajak Noir, siapa pun tidak akan mengingati Anuar Nor Arai sebagai tokoh perfileman noir yang ulung di negara kita.
Raihani, sekali lagi saya mengatakan Raihani adalah pendobrak ketenangan nuansa bangsanya. Sidang Kultus banyak menampilkan sajak-sajak dedikasi untuk insan istimewa yang mencerahkan akal budi bangsa, yang telah berkorban meninggalkan ruang selesa untuk meluruskan urat perjuangan, ilmuan dan seniman tersisih yang cintakan negara dan mengasihi generasi hari muka. Kini Raihani menekuni P. Ramlee di peringkat Sarjana di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. P. Ramlee juga seniman Melayu yang menjadi mangsa Run Run Shaw. Sejarah Run Run Shaw dan P. Ramlee juga harus Raihani dedahkan dari sisi gelap noir filem Melayu era sutradara dari India.
Run Run Shaw dan adiknya Run Me Shaw adalah pemilik asal Shaw Organisation tahun 1924 yang mengedarkan filem bagi Asia Tenggara. Pada tahun 1930 telah menubuhkan South Sea Film yang kemudian dinamakan Shaw Brothers Studio yang bermukim di Jalan Ampas, Singapura. Berpandukan sistem perfileman Hollywood, Jalan Ampas mengumpulkan beratus-ratus pelakon filem dan sutradara. Pelakon ini diambil dari kalangan pelakon bangsawan sementara sutradara diambil dari India antaranya L. Krishnan, S. Ramanathan, K.M. Basher, B.N. Rao, V. Girimaji, K.R.S. Shastry, Phani Majundar, Kidar Sharma, Dhiresh Ghost dan lain-lain yang merencahkan filem Melayu seperti filem Tamil dari India.
Seawal tahun 1933, filem Melayu pertama arahan K.R.S. Chisty, Laila Majnun diterbitkan dan mendapat sambutan ramai. Ini diikuti oleh filem Mutiara, Bermadu, Hancur Hati, Topeng Syaitan,Ibu Tiri, Terang Bulan di Malaya, Tiga kekasih dan Mata Hantu. Memandangkan lombong emas telah dicipta, selepas Perang Dunia Kedua, beliau membena empayar Malay Film Production di No. 8, Jalan Ampas off Balestier Road, Singapura, yang kemudiannya melahirkan sutradara dan pelakon handalan seperti P. Ramlee, S. Roomai Noor melalui filem Penarik Beca ( 1955 ) Seniman Bujang Lapok yang meraih anugerah tertinggi perfileman Asia. Ketika kita mengenang 40 tahun pemergian seniman agong P. Ramlee ( meninggal pada 29 Mei 1973 ) dengan segala titik bengik kemelaratan ekonominya, Run Run Shaw meninggal dunia pada 7 Januari 2014 dalam usia 106 tahun dengan meninggalkan jutaan ringgit royalti dari kemegahan filem-filem Melayu lakonan dan arahan P. Ramlee.
Saya percaya Raihani mempunyai semua bukti ini untuk menyelak noir P. Ramlee sebagaimana Anuar Nor Arai. Dan ini Raihani lontarkan dalam sajaknya Dadu Terakhir ( hal. 12 )
bersedialah untuk lemparan dadu terakhir
usah terpedaya isyarat musuh
keraguan adalah permulaan luka
curiga adalah racun di hujung senjata
Raihani banyak bertamsil. Banyak juga bersifir. Seperti katanya,
sepotong kek
manis dan gebu
sepotong hati
gelisah dan pilu
( Sepotong Kek di Negeri Hati, hal. 13 )
Sudah tentu melihat sajak-sajak Raihani, penekanan utamanya juga harus kepada bahasanya. Menurut Anang Santoso, bahasa perempuan juga dapat dipandang sebagai situs pertarungan sosial ( social struggle ) Bahasa perempuan sebagai realitas hidup yang konkrit. Pelbagai nuansa dan kontasi kata-kata, misalnya, adalah refleksi dari aspek-aspek sosial-budayanya ( 2009: 16 )
Saya pulangkan renungan ini kepada pembaca setianya...
0 comments:
Post a Comment