Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Wan Nor Zadilah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
Karya ini menjadi buku terawal yang berjaya saya terokai pengembaraannya berbanding santapan minda yang lain rentetan hasil carian di PBAKL 2014 baru-baru ini. Sebelum menjejak di PBAKL lagi sudah saya nekadkan untuk ke booth ITBM. Mahu merebut ini. Apatah lagi, tulisan ini diangkat berada di takhta pertama dalam penganjuran Sayembara Penulisan ITBM-Pena-BH yang julung-julung kali dilancarkan sebelum ini. Keterujaan itu sangat kuat. Menyelongkar tulisan terbaik dalam yang terbaik, siapa yang tidak mahu!
Puas, 10 cerita pendek yang digarap penulis membangkitkan kepelbagaian elemen emosi. Penulis tidak gagal dalam merangka dan membina emosi seperti sedih, saspens, marah, rindu dan pelbagai lagi dalam watak dan jalan cerita yang tersendiri. Saya berasakan sesiapa yang membaca akan lena dalam setiap watak yang dicipta.
Pertamanya, melihat judul; Melawan yang Mustahil sudah menawan konsentrasi dan membuatkan saya tiada agak-agak untuk memiliki naskah yang baik ini. Judulnya seolah-olah secara terang-terangan mengkhbarkan bahawa kumpulan cerpen ini punya unsur spiritual dan motivasi. Terbukti, tekaan saya benar kerana pembawaan 10 cerpen yang dihasilkan memang berdiri dengan pelbagai mesej dan moral, meski dengan helaian yang cuma 132 muka.
Berjaya membuka selera pembaca dengan inti pati cerita berunsur kesetiaan dan pengorbanan, begitulah kisah Pak Aji dalam Pencari Kotak. Pencari Kotak membongkar kepayahan dan kesulitan lelaki tua itu ketika pernah berdepan saat getir membutuhkan wang bagi merawat isteri tercinta. Sejarah pilu lama bertandang dan mengheret dirinya kembali ke masa lalu saat berjumpa wang di tempat pembuangan sampah. Konflik pun berlaku. Benarlah, mendidik hati untuk tidak mengambil hak yang lain saat diri membutuhkan, itulah perjuangan melumpuhkan hawa nafsu. Namun, prinsipnya, seratus lima puluh ribu ringgit yang ditemu itu bukan pengganti isterinya yang sudah pergi.
Ketika berasa seolah-olah tiada lagi harapan, ternyata hal yang sebaliknya berlaku. Kuasa dan keajaiban Maha Pencipta tiada siapa yang mampu menduga. Hujan Sudah Berhenti, layak dikatakan sebagai sebuah cerpen resah dan debar seorang isteri. Si isteri menanti dengan menggunung doa ketika khabaran kepulangan suami tercinta ibaratnya tidak mahu berbisik langsung. Resah wanita itu diwarna-warnikan pula dengan rindu si anak yang bersungguh bertanya saban hari. Padahal dirinya juga mati bicara-entah bernyawa lagi atau tidak suaminya. Momen hujan yang membasah bumi seirama butir tangis yang menitik dari matanya. Plot cerita resah terlerai dengan babak si ayah yang pulang juga akhirnya. Seolah berkongsi rasa sama seperti isteri yang menanti, tiba-tiba saya sendiri terucap, “Alhamdulillah!” saat menyudahkan bacaan Hujan Sudah Berhenti.
Asal punya kuasa dan duit, semua disapu bersih. Sudah kering rasa simpati apatah lagi empati. Beza yang di atas dan di bawah. Berjumpa Sabar semasa memutuskan membuat langkahan lari akibat persengketaan antara anak dengan ayah yang kerjanya dalam organisasi yang sama menjadikan “aku” berjumpa sesuatu yang tidak pernah ditemu sebelum ini. Meski sudah sibuk dengan kesenangan.
Bertimbun-timbun moral yang dikutip “aku” walau cuma berbual dengan orang kebiasaan (pemandu teksi-namanya Sabar) dalam kehidupannya sebagai pemandu teksi. “Aku” tersentak dengan warna-warna kebaikan yang ada pada insan biasa seperti Sabar. Pertemuan Singkat Dengan Sabar menggarap halus nilai-nilai murni yang sepatutnya ada dalam setiap insan. Cerpen ini menarik dengan penggunaan dialog yang jujur dicetus penulis.
Sebelum Terbit Matahari muncul dengan plot masyarakat yang sedikit berbeza. Menghidupkan kisah melalui jalan cerita masyarakat lama, cerpen ini selesa dengan latar masyarakat yang kuat berpegang pada nilai maruah bahkan sanggup berbuat apa sahaja untuk memperjuang maruah, meski jelas salah di sisi agama. Akibat ketelanjuran cinta antara Dara dengan Teruna, dendam dan benci bersahutan. Cerpen ini membuka mata pembaca untuk meletakkannya dengan realiti masyarakat hari ini. Adakah kita menjadi pembenci dan pendendam seperti Markasan? Meski hidupnya sudah di atas katil hospital namun dirinya berlagu dendam!
Kukuh nilai agama dalam cerpen Kejutan Buat Zaleha Pada Perlawanan Akhir. Latar masyarakat beragama ditonjol sebaiknya, seperti ketegasan Zaleha ketika menyuruh anak mendahulukan solat tarawih berbanding menonton perlawanan olimpik, juga bicara Hamidun soal tolenrasi atau giliran pulang berhari raya. Tema tanggungjawab, kesungguhan menunaikan tanggungjawab dan kasih sayang dipadu sebaiknya oleh Hamidun. Dia bukanlah seperti yang disangka sang isteri; Zaleha. Itulah, kadang-kadang yang membuatkan kita resah dan kalah itu bukan cabaran yang ada di depan, tapi apa yang sudah ada di fikiran. Keraguan Zaleha terbuang jauh saat sang suami menceritakan kesungguhannya tentang hal itu. Dan hal itu bukan seperti yang Zaleha fikirkan.
Mantan Jaguh Pecut dan Tukang Kasut-kadang-kadang kehidupan kita ini untuk menggembirkan orang lain. Kita berperanan untuk orang lain. Nazaruddin yang mampu menjadi juara, mengundurkan langkah demi meraih gelaran pemenang nombor 7. Cita-citanya untuk kembali bergelar atlet boleh sahaja dicapai, namun mendakap nombor 7 itu lebih menjadi keutamaannya ketika itu. Dia mendahulukan ibu dan isterinya. Watak pelik tukang kasut atau Busu benar-benar akan mengikat pembaca untuk terus setia membelek kesudahan cerpen ini. Ternyata kasut “hutang” yang diberi Busu memberi segaris senyuman buat Nazaruddin; bekas jaguh larian.
Ya, jika Rahman mengelak 378 hari yang lalu pada hari Selasa, bulan Mei, dia tidak akan menjadi bahan berita negara. Cerpen Kerana Tokek bermain konflik apabila seorang rakan yang menganggap rakan lama yang juga pernah belajar agama tidak akan menipu dirinya. Namun perkara sebaliknya berlaku. Jadi boleh berlaku sahaja, kawan makan kawan. Kehidupan perlu sentiasa berhati-hati. Pengajaran yang terlalu banyak saya kutip dalam cerpen ini. Antaranya-“Tiada rezeki yang datang bergolek,”itu antara pesanan Rahman ketika ditanya pemedia.
Cerpen Putera Sabit Tidak Jadi Mengamuk Di Padang Jaya sangat rumit. Saya memerlukan penelitian yang lebih ketika memahami setiap satu aksara cerita ini. Mudah diberitahu, moral cerpen ini-jangan mudah menjadi pak turut!
Bibit-bibit dalam Melawan Yang Mustahil, pada saya bermain dengan emosi cinta. Cinta dan kasih sayang yang cuba baru dibina lewat perkenalan. Pertemuan itu mungkin berlaku secara kebetulan. Dua watak utama; Rafizah dan Nitikorn merealisasikan kata “tiada yang mustahil.” Mereka berjaya menewaskan perkara yang tidak mungkin, menjadi mungkin.Tidak digambarkan secara jelas bagaimana pengakhiran pertemuan pemuda dan gadis ini, pada hemat saya mungkin penulis sengaja mahu pembaca bebas mencipta peleraian kisah mereka sendiri.
Skandal Sungai vs Sabun Beras Ajaib membuatkan saya belajar mengenal watak-watak yang memonopoli cerpen ini. Memang ini sebuah cerpen yang menarik. Sesuai juga disusun menjadi santapan terakhir sebelum buku ini ditutup. Ada dalam kalangan kita melabelkan karier wartawan itu sebagai penyibuk, namun penghujung kisah membuktikan Lady Gagap-wartawan rela berbuat apa sahaja. Misteri sabun beras ajaib, misteri kematian Minah Tembam dan anak bongsu Intan Payung juga kekacauan lain yang berlaku menggambarkan cerpen terakhir dalam buku ini penuh unsur konflik dan saspen.
Watak lucu Siti Bedak Muka yang penuh muslihat juga menarik untuk direnung. Pada kiraan saya, bukan sedikit mesej yang mahu diberitahu penulis melalui cerpen yang menggunakan latar kehidupan masyarakat penduduk kampung ini. Biarpun mungkin hanya rekaan penulis, namun pada saya rekaan cerpen ini berjaya.
Tahniah kepada penulis; Cikpuan Ruhani Matdarin dan juga penerbit; ITBM atas usaha pembukuan karya ini. Tiada yang mampu saya bicara, melainkan kata puas dan seronok mengutip pengalaman dan pengajaran yang diolah penulis melalui 10 judul tulisan ini. Semoga sedikit sebanyak menjentik diri kita untuk menjadi lebih baik. Semoga saya mampu berkarya seperti ini kelak.
Penghasilan karya ini juga jelas membuktikan peranan dakwah itu bukan terletak pada bahu para asatizah, tapi juga penulis dalam lapangan dunia sastera dan kreatif. Sungguh, meski penulisan kreatif bermain dengan bahasa, namun kedudukan dan nilainya sebagai wasilah kebaikan sangat luar biasa. Terlalu banyak kebaikan dan pesanan yang boleh disuarakan, meski dengan catatan cerita.
Suka saya memetik kata-kata guru saya iaitu, Ustaz Fauwaz Fadzil Noor. "Bahasa yang cantik menyihirkan pemikiran."-Itu yang saya pegang juga.
Tahniah, sekali lagi.
Sekian, terima kasih.
0 comments:
Post a Comment