Thursday, September 11, 2014

LAUT TUJUH GELOMBANG BUIH, DASARNYA SOSIOBUDAYA

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh
 Mohd Haniff Mohd Yusoff sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.

Laut Tujuh Gelombang Buih merupakan sebuah himpunan puisi yang dikarang indah penuh falsafah oleh Rahimidin Zahari. Kumpulan puisi ini sebenarnya telah diangkat sebagai pemenang tempat kedua bagi kategori puisi sempena Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BERITA HARIAN. Sesudah naskhah ini dipilih untuk berada dalam kelompok yang terbaik, nescaya naskhah ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri memandangkan menghakimi karya-karya kreatif seperti ini merupakan sesuatu yang sangat subjektif.
            Konsep dan reka bentuk kulit naskhah Laut Tujuh Gelombang Buih cukup menarik dan sedikit sebanyak menterjemahkan isi kandungan yang terdapat di dalam naskhah ini. Rahimidin Zahari sendiri menjadi watak pada kulit naskhah ini sambil memegang patung wayang kulit dan dilatari saujana samudera. Kreativiti pencetus idea dan pereka kulit perlu juga diberikan kredit.
Patung wayang kulit yang terdapat pada kulit naskhah ini sudah terang lagi bersuluh mentafsir tentang sosiobudaya. Sosiobudaya merupakan elemen yang penting dalam mencerminkan keindahan sesuatu budaya yang ditunjangi. Kajian oleh Intan Safinaz Zainudin (2001) yang berjudul Unsur Sosio-budaya dalam Terjemahan Novel Inggeris-Melayu cuba mengenal pasti unsur sosio-budaya yang wujud dan dikategorikan pula mengikut jenis dan ciri yang berbeza. Berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan, terdapat lapan unsur sosio-budaya yang telah dikenalpasti iaitu, ekologi, bahan-bahan artifak, budaya sosial, organisasi dan budaya, perlakuan dan gerak laku, lawak jenaka, mainan kata dan frasa idiomatik.  Menurut Khairuddin Mohamad, Ghazali Ismail dan Mastura Mohamed Berawi (2014: 279), salah satu masalah serius yang perlu diharungi oleh penterjemah ialah menterjemah kata atau ungkapan yang mengandungi unsur sosial budaya yang sememangnya khas pada budaya bahasa sumber. Jelasnya setiap kelompok masyarakat atau bangsa mempunyai identiti yang tersendiri dan ini dapat dibuktikan melalui sosiobudaya yang berbeza-beza.
            Secara keseluruhannya, penulis banyak menyentuh tentang watak-watak yang terlibat dalam wayang kulit dan juga persekitarannya. Rahimidin Zahari yang sememangnya begitu sinonim dengan wayang kulit menjadikan naskhah puisinya ini begitu dekat dengan dirinya. Suatu ketika dahulu, wayang kulit begitu masyhur dalam kalangan masyarakat kerana menjadi salah satu medium hiburan. Rahimidin Zahari jelas sekali banyak mengabadikan watak ‘Rawana’ dalam kumpulan puisinya ini. ‘Rawana’ merupakan watak utama dalam epik Ramayana yang dipersembahkan dalam persembahan wayang kulit. Perhatikan puisi di bawah.
DARAH  RAWANA
Merah sudah lantai panggung itu
oleh percik darah Rawana
yang menetes di atas batang pisang
tadi malam. Apakah ia dari
tusukan panah seri rama
atau tiada lebih kerana sumpahan
kakak mbak saudara tua mas
manis gerga jiwa
si tua bangka itu
sita pula entah di pelosok gua atau
di negeri kayangan yang mana-
membawa kewanitaannya yang hamil
oleh benih pemusuhan
kelir kelihatan baying tatkala
lampu itu dipadam.  Dalang tua yang
terlupa mengesat darah Rawana
turun seketika dari panggung dan
bertanya “angkara siapakah itu?”


(halaman 1)
            Rahimidin juga mengabadikan nama watak ‘Rawana’ dalam rangkaian puisi ‘Sihir Rawana’. Walau bagaimanapun, Rahimidin menggunakan kemahiran berpuisinya untuk mengangkat tema yang lebih besar dan bukan berkisahkan ‘Rawana’ semata-mata.
SIHIR RAWANA (III)
Sihir apakah yang engkau kirimkan lewat desir angin dan
Hempas gelombang menusuk dan merobek sukma batini
Guncuran darah anak-anak palestina bertompok di langit
-malam tanpa bintang dan siang…
(halaman 40)
                Sememangnya wayang kulit tidak dapat dipisahkan dengan Rahimidin apabila turut mengabadikan ‘Wak Long’ dan ‘Pak Dogol’ (watak dalam persembahan wayang kulit) dalam puisi-puisinya. Beberapa puisi dalam naskhah Laut Tujuh Gelombang Buih ini menjelmakan keakraban antara mereka seperti puisi-puisi berikut:


KURINDUKAN
Kurindukan wayang bertabuh
di tanah padi tugal
setelah musim menuai

Kurindukan kekehan
Wak Long dan Pak Dogol
membuat kelakar cerita

Kurindukan rebab makyung
jamu kenduri ramai menderu
di anjung setana.
(halaman 7)

WAK LONG
Meski hanya watak wayang yang hodoh
Lagi hitam
yang kononnya dikumpul dari daki Pak Dogol
dikepal-kepal lalu menjadi seorang Wak Long

Wak Long hanya dari kulit belulang yang dikeringkan
Tereka dari imaginasi…
(halaman 22)

Puisi-puisi di dalam naskhah ini dikuatkan lagi dengan gaya bahasa indah Rahimidin yang tidak melampau-lampau atau keterlaluan. Puisi-puisinya juga bersifat ekonomis. Tuntasnya, Kumpulan Puisi Laut Tujuh Gelombang Buih adalah interpretasi idea Rahimidin Zahari yang disalurkan dengan menarik melalui wayang kulit yang begitu dekat dengannya. Wayang Kulit menjadi lambang sosiobudaya masyarakat di sebelah pantai timur khususnya dan pastinya merupakan sesuatu yang berharga yang perlu didekatkan dengan generasi masa kini. 


0 comments:

Post a Comment