Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Shamsudin Othman sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
LELAKI 6P (Penyair, Penyanyi, Pengubah lagu, Penulis lirik, Pelukis dan Pelakon) ini mendapat pendidikan sepenuhnnya di universiti alamiah, Malaysia. Sejak dilahirkan di Kuala Lumpur, lelaki ini tegar melengkapkan diri sebagai seniman dengan belajar mematangkan diri daripada perenungan dan pemerhatian alam di kaki lima kedai mahupun pusat beli belah terkenal di kota-kota besar di Malaysia. Dari kota ke kota,lelaki ini membawa dan menjaja bakat alamiahnya demi sesuap nasi dan seteguk air buat mengalas nafsu seni yang membara di dalam gelodak rasanya. Dialah Sani Sudin, lelaki yang biasa-biasa, istilah sombong tiada di dalam kamus mesranya dan sering memahami kesetiaan seorang sahabat.
Kumpulan puisi berjudul 'Di Dalam Dalam'nya menghadirkan satu bentuk baru dalam sejarah buku puisi di Malaysia. Saiznya yang luar biasa, iaitu berukuran 14cm X 30cm dengan lakaran kartun benar-benar mengundang kelainan sifat fizikalnya.
Tanpa ingin memuji kerana buku ini dimulakan dengan prakata oleh Mohd Khair Ngadiron (Pengarah Urusan ITBM), diikuti bahagian Pengenalan oleh penyair sufi tanah air Syeikh Rahimidin Zahari, seterusnya catatan ikhlas seregunya Ladin Nuawi berjudul ‘Di Jalan Sejarah Ada Sani Sudin’, maka amat memadai kita mengenali sosoknya. Ketiga-tiga tulisan itu pula sudah cukup menjadi latar pengkisahan hidup Sani Sudin. Apatah lagi Sani Sudin bukanlah manusia yang makan dek puji atau tidak luak dek herdik juga maki. Sani Sudin adalah manusia biasa yang punya kudrat dan fitrah merenung tetapi renungannya kadang menjadi luar biasa kerana dia boleh memukau khalayak di depannya ketika dirinya adalah jargon di pentas sama ada sebagai pelakon atau penyanyi.
Kumpulan puisi ini menghadirkan 81 buah puisi yang dijudulkan dengan “Dalam 1” hinggalah “Dalam 81”. Judul puisi yang ringkas dengan sihir lakaran berselang-seli antara lelaki yang setia dengan gitar atau lelaki berbaju belang. Lakaran ini adalah citra kepada imej banduan (tahanan) penjara cinta yang mendendami rindu seni. Justeru kerana ‘keterpenjaraan’ itu maka sajak-sajak yang hadir dalam buku ini terdiri daripada bait-bait yang pendek dalam rangkap yang kecil tetapi memukau isi fikirnya. Dalam sajak berjudul ‘Dalam 8’, Sani Sudin melukis imej seorang lelaki berpakaian jalur (hlm,18) - banduan yang berdiri sambil menundukkan kepala. Pada bahagian dada banduan ini tertulis perkataan ‘aku’ (berhuruf kecil) dan di sisi kaki kirinya tertulis perkataan ‘AKU’ (berhuruf besar). Penggunaan perkataan ‘aku’ dengan dua bentuk yang berbeza ini memperlihatkan bagaimana seorang manusia yang kerdil mampu keluar daripada suratan ketentuan takdir. Perkataan yang terbit daripada rasa keinsafan ini jujur mengalir seperti yang boleh difahamkan dalam keseluruhan puisi yang tertera pada halaman sebelahnya (hlm. 19), iaitu ditulisnya;
Kau datangkan aku
Untuk mencarimu
Yang berselindung
Di sebalik aku
Sani Sudin adalah watak seorang manusia yang resah tetapi ingin menakhluki impian. Lakaran banduan yang duduk di kerusi (hlm. 5) dan kerusi itu pula berada di atas kelarai-kelarai mimpi membuktikan bahawa dirinya adalah manusia bebas pemburu cita-cita. Sama ada Sani Sudin suka atau tidak, bait-bait ‘duduk di sini/ duduk di sana/ berdiri di sini/ berdiri di sana/ berlari tak kejar apa-apa’ jelas memperlihatkan bahawa dirinya manusia ‘rare’ yang unik penampilannya ketika mencari rezeki di lorong takdir.
Merenung permainan garis, titik dan kata-kata Sani Sudin, pembaca sebenarnya bukan sahaja dapat memahami gerak gelodak rasa yang terbit daripada akalnya tetapi lebih daripada itu adalah pembaca dapat memiliki lakaran-lakaran halusnya yang mencecah nilai ribuan ringgit Malaysia dalam pasaran dunia seni lukis Malaysia. Inilah harga senaskah lakaran Sani Sudin - daripada tiada apa-apa kepada ada apa-apa sentuhannya.
Demikianlah 'Di Dalam Dalam' sebuah kumpulan puisi Sani Sudin yang hadir dengan penuh makam bias sinis. Sani Sudin adalah sang narapidana yang terhukum oleh kata-kata tetapi tidak sesat di dalam garis dan titik. Lelaki berbaju belang, menari di pentas kaki lima, mengendong gitar sambil bernyanyi di bawah tiang lampu adalah imej-imej yang amat sukar ditemui kini.
Pantang anak Melayu dimakan sanjung, maka Sani Sudin adalah sebahagian daripada watak-watak pascamerdeka luar biasa yang difitrahkan dengan bakat alami tetapi masih bersahaja di mana-mana seperti kata;
Aku masih
Anu menganu di tepi
di tengah melihat saja …
Para badut hilang …
terhilang cerita
pentas pun terkedu
di dalam persembahan
berjudul, “Ke arah Mana…?”
(‘Sajak 81’, hlm: 166)
Demikianlah 'Di Dalam Dalam' - tanpa teori dan agenda tetapi 'Di Dalam Dalam' adalah pengalaman jujur yang penuh apa-apa.
SHAMSUDIN OTHMAN
1 Syaaban 1435H
0 comments:
Post a Comment