Tuesday, September 23, 2014

Ceritera Cinta Pemimpi Mawar Syurga

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Ainurrahmah Abdullah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. Buat pertama kalinya mengunjungi booth atau gerai Institut Terjemahan dan Bahasa Melayu (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC).

Sumber: Koleksi peribadi DanauKalbu


Menguliti kisah hidup Mariam umpama sedang menonton sebuah ceritera cinta seorang wanita yang tidak berpenghujung. Penulis membawakan pembaca untuk bersama-sama menyelami hasrat wanita dalam sesebuah kehidupan bermula seawal pengajian sehingga memiliki keluarga sendiri. Kecekalan Mariam dalam menongkah badai yang berulang menghempas hidupnya menyuntik semangat luar biasa kepada sesiapa sahaja khususnya wanita yang membaca novel ini untuk bangkit memperjuangkan kehidupan berlandaskan agama.

Novel “Mawar Syurga” karya Fatimah Saidin memaparkan kelincahan seorang gadis yang bergelar “The Best Planner” dalam setiap cabaran dan ujian yang ditempuh. Namun, setiap perjalanan yang terlakar tidak akan selalunya dilalui dengan mudah. Fatimah Saidin memaparkan nilai tidak putus asa sepanjang pengkisahan hidup seorang Mariam ini. Perwatakan Mariam yang tidak pernah berpatah arang diteruskan dengan episod baru dalam hidupnya yang beralih daripada seorang gadis kepada seorang wanita yang mengakhiri zaman gadisnya dengan seorang lelaki yang menghidapi inferiority complex dan mempunyai ciri-ciri Oppositional Defiant Disorder.

Pelbagai ilmu bantu berkaitan bidang psikologi yang digarapkan oleh penulis benar-benar memberi kesan kerana membawa pembaca menggali maklumat tambahan mengenai setiap ilmu bantu yang diketengahkan. Hal ini menjadikan novel “Mawar Syurga” sebagai sebuah bahan bacaan yang berbeza berbanding novel lain kerana mencetuskan pembaca mengenai satu kesedaran tentang pahit maung yang harus dihadapi bagi mencapai kemanisan dalam kehidupan berumah tangga bagi seorang wanita. Penulis dilihat lari daripada anggapan tabu bahawa “hidup tidak seindah cerita novel” apabila memaparkan satu demi satu ujian yang dihadapi Mariam.

Bunga mawar menjadi simbol kepada perjalanan dan penghujung yang ingin dicapai sepanjang alam berumah tangga yang ditempuh Mariam. Simboliknya bunga mawar bagi seorang wanita ialah cantik dan mekarnya sekuntum mawar itu, sukar untuk dipetik kerana mempunyai duri-duri yang menghalangnya. Begitulah juga tamsilan yang dikisahkan menerusi Mariam yang mengimpikan sebuah rumah tangga umpawa mawar syurga. “Mawar Syurga” menjentik minda pembaca agar berfikir bahawa, bagaimana sukarnya untuk menjadi dan mendapatkan sekuntum mawar, begitulah juga sukarnya untuk menjadikan mawar itu sebagai mawar syurga. Sebuah simbolik yang menarik hati kecil wanita untuk terus mengimpikan bingkisan hidup seindah mawar syurga.

DanauKalbu: Ulasan tertera di atas adalah cubaan menulis ulasan buku bersempena Peraduan Ulas Buku ITBM 2014.  :)

0 comments:

Post a Comment