Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Xiao Hong Syidah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
Sekalung tahniah kepada penulis, Isa Kamari. Tahniah juga kepada penerbit, ITBM dan seluruh tenaga kerja sehingga novel ini sampai ke tangan pembaca. Ini bukan sekadar bacaan untuk pelepas lelah. Ada ilmu yang boleh dikutip bersamanya. Penulis menggunakan teknik imbas muka dan imbas kembali, menjadikan jalan ceritanya, begitu menarik.
Bermula dengan pertemuannya yang memekarkan bibit cinta dengan gadis tempatan bernama, Dewi. Ilham hadir di Bali atas tawaran pembinaan hotel oleh Pak Lempad, yang kemudiannya disusuli syarat. Syarat yang meletakkan dirinya di dalam dilema antara untung dan rugi dalam perniagaan yang diusahakannya. Rentetan daripada itu, pembaca dibawa menyelusuri sisa gelap hidupnya yang berpaksikan duniawi. Pembaca diperkenalkan dengan watak antagonis novel ini, Jennifer selaku pengurus perniagaan, Simon merupakan pekerja Ilham Architects dan Zaman pula adalah pesaing sejak dari universiti dan pemilik Zaman Architects, yang tanpa Ilham sedari bersekongkol untuk menjatuhkannya. Usaha mereka hampir mengorbankan nyawa Syamsiah dan mengakbitkan Ilham kehilangan kontrak projek pembinaan hotel di Ungasan.
Kehadiran Ilham di Bali juga tidak disenangi oleh Ketut Riharja. Cuba memenangi hati Dewi tetapi gagal. Ketut Riharja bukan sahaja cuba menodai Dewi tetapi juga telah mengenakan ilmu hitam ke atas ayah Dewi, Pak Riwayat. Salah faham telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan Ilham dan Pak Riwayat kerana menyangka Ilham merupakan punca sakit kaki yang dideritainya. Sementelah kuatnya pengaruh dukun bagi penganut agama Hindu di Bali. Atas dasar itu juga, penulis memperlihatkan sikap berhati-hati masyarakat Bali dengan menghadkan ruang di dalam rumah yang boleh dikunjungi tetamu.
Konflik hubungan keluarga Ilham juga berpunca daripada salah faham menyebabkan ikatan keluarga yang longgar, sehingga Ilham tidak mengetahui hubungan baik antara ayahnya, Pak Sadikin dengan Pak Lempad. Rahsia dan konflik keluarga juga semakin rumit, apabila pembaca didedahkan hubungan Pak Lempad dengan Zaman. Ada apa dengan arkitek muda ini?
Sekiranya anda penggemar sastera sejarah, novel ini mesti anda baca. Penulis menyelongkar bukan hanya sejarah pura di Gunung Kawi, Pura Bekaseh, Pura Luhur Uluwatu tetapi juga sejarah agama awal yang bertapak di Bali. Bagaimana berbezanya anutan agama Hindu di Bali dengan anutan agama Hindu di India? Tidak ketinggalan sejarah kedatangan Islam di Bali. Sejarah asal penduduk di pulau Bali. Penulis banyak menggunakan bahasa asal penduduk Bali dalam menerangkan tentang sesuatu adat dan kepercayaan yang diamalkan oleh orang Hindu di Bali. Pembaca dibekalkan dengan glosari bagi memahaminya.
Selain sejarah. Politik adalah aspek yang memang selalu jadi persoalan pilihan penulis. Cuma kali ini bukan keutamaan pada sejarah dan politik Singapura. Isu penggunaan kalimah Allah, penglibatan segelitir umat Islam dalam siri serangan bom, umat Islam dilabel sebagai pengganas, antara yang diutarakan. Penulis cuba memberi jawapan yang bukan sahaja asbab yang masih kabur malah di kalangan umat Islam sendiri. Mengapa ada keganasan kerana Islam tidak pernah menganjurkan keganasan? Penulis menggunakan rujukan Allah's Torch tulisan Tracy Dahlby untuk menjawab persoalan itu. (Rujuk halaman 214). Keganasan tidak dianjurkan dalam Islam. Keganasan juga tidak dianjurkan agama-agama lain tetapi tetap ada yang terlibat dalam keganasan. Penulis menggambarkannya dalam tragedi pengeboman yang berlaku untuk kali ketiga di Bali. Bersandarkan tidak ada agama yang menggalakkan permusuhan, penulis memperlihatakan kerjasama boleh terjalin antara pelbagai penganut agama dengan pembinaan yayasan anak-anak yatim.
Saranan saya juga pada pencinta budaya, jangan abaikan novel ini. Sebagai seorang arkitek, penulis tidak lari dari berkongsi pengalaman serta perincian seni bina di Pulau Bali. Pemerhatian dan pengalamannya banyak dituangkan di dalam novel ini seperti bagaimana pengukir di Bali menurutkan ilmu itu kepada bangsa mereka. (Rujuk halaman 106)
Menerima kekurangan pasangan dan melengkapi adalah cinta ideal yang diimpikan setiap pasangan. Itu yang dilakukan Dewi. Ilustrasi muka depan, sekuntum bunga mekar mencerminkan Dewi, putih warnanya menggambarkan kemurnian hati dan selendang mewakili kelembutan keperibadiannya. Dewi tidak menyeret Ilham yang longgar pegangan agamanya untuk menganuti kepercayaan agama Hindu. Sedangkan Dewi adalah penganut tegar agama Hindu. Dewi berpendapat mereka perlu memahami agama masing-masing untuk mendekatkan lagi hubungan mereka. Ilham terpukul oleh rasa malu, mula lebih mendalami Islam. Lebih menarik, penulis meletakkan teka-teki kepada pembaca, apakah Dewi kemudiaannya memeluk agama Islam berdasarkan tudung yang dikenakannya di pengakhiran cerita? Sekalipun bukan, adalah tidak keterlaluan dikatakan bahawa penulis sendiri meletakkan harapan dengan tidak mematikan watak Dewi. Supaya Dewi lebih mendalami.
Penamat cerita yang sedih pada zahirnya dengan kematian Ilham. Cinta Ilham dan Dewi tidak bersatu di pelaminan. Namun lebih besar daripada itu, Ilham kembali ke rahmatullah di atas jalan yang benar dan menemukan ketenangan jiwa yang didambakan sekian lama. Penyudah yang lebih manis.
0 comments:
Post a Comment