Tuesday, September 23, 2014

Di Sofa Kata: Cakna Anak Muda Dalam Usaha Melestarikan Bahasa Dan Sastera Melayu

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Mohd Haniff Mohammad Yusof sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. Buat pertama kalinya mengunjungi booth atau gerai Institut Terjemahan dan Bahasa Melayu (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC).



NASKHAH tulisan Nur Fatiha Fadila ini merupakan himpunan rencana tulisan beliau yang pernah disiarkan dalam majalah-majalah tempatan dan dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama diberi judul ‘Wacana Bahasa Melayu’dan bahagian kedua diberi judul ‘Esei dan Kritikan Sastera’. Penulis muda ini begitu cakna memerihalkan isu bahasa dan sastera Melayu dalam tulisan-tulisannya. Mengangkat bahasa ibunda dan sastera Melayu dalam penulisannya merupakan usaha murni dalam mendidik serta menyedarkan para pembaca akan keunggulan bahasa ibunda dan betapa signifikannya memelihara sastera Melayu.

Bahasa Melayu mempunyai susur galur perkembangannya yang tersendiri, malah perkembangannya juga turut dikaitkan dengan agama Islam. Nur Fatiha Fadila tidak terlepas daripada mengisahkan sejarah bahasa Melayu melalui eseinya yang berjudul ‘Bahasa dan Bangsa Melayu: Satu Penelitian Sejarah’.

Nur Fatiha Fadila merupakan penuntut program sarjana Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia memerihalkan keupayaan bahasa Melayu yang tidak boleh dipandang enteng. Sebagai warga yang menutur bahasa Melayu, kita sewajarnya menaruh rasa percaya dan bangga akan bahasa Melayu. Menerusi esei yang berjudul ‘Bahasa Tunjang Ketamadunan Negara dan Bangsa’, penulis menerangkan bahasa Melayu melalui zaman kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dan melalui zaman cabaran ketika zaman penjajahan. Walau bagaimanapun, keperihatinan para pemimpin dalam membentuk dasar selepas mencapai kemerdekaan memberikan kehidupan semula kepada bahasa Melayu seperti kewujudan Dasar Pendidikan Negara. Selain itu, ketamadunan negara dan bangsa dilangsungkan dengan usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sesebuah tamadun memerlukan bahasa sebagai imejan kepada peradaban dan negaranya. Begitulah juga dengan Malaysia. Walaupun diduduki oleh rakyat pelbagai kaum dan etnik dengan bangsa Melayu, Cina dan India sebagai kelompok terbesar, Malaysia tetap memerlukan satu bahasa sebagai identiti negara dan tamadunnya.” (halaman 25-26)
Penulis masih menekankan tentang kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam esei yang berjudul ‘Bahasa Tempatan Citra Jenama Tempatan’. Secara jujur penulis mengkritik sikap masyarakat kita yang tidak berbangga menggunakan bahasa Melayu sebagai label atau jenama sesuatu produk. Penulis turut membandingkan sikap rakyat di negara ini dengan rakyat negara lain seperti masyarakat Korea yang begitu berbangga dengan produk atau jenama keluaran mereka.

Isu bahasa dalam sektor pendidikan di Malaysia turut diberi perhatian oleh penulis. Kebelakangan ini, pelbagai isu yang diperdebatkan membabitkan bahasa dalam bidang pendidikan negara. Esei ‘Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Malaysia’ membawa pembaca menyoroti pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Tulisan yang diberi judul ‘Peranan Guru dalam Pelestarian Bahasa Melayu’ ada menyatakan bahawa peranan guru bukan sekadar memperkenalkan para pelajar dengan ilmu linguistik semata-mata tetapi harus juga memberi pendedahan terhadap aspek-aspek bahasa yang lain seperti kesantunan berbahasa dan keindahan bahasa.

Kecaknaan penulis turut dibuktikan dengan penulisannya yang berjudul ‘Perlestarian Bahasa Melalui Pembaharuan dan Pengembangan Nahu’.Melalui penulisan ini, penulis menjadikan naskhah Nahu Melayu Mutakhirsebagai rujukan utama. Penulisan ini pastinya akan lebih menarik jika dilakukan perbandingan terhadap naskhah-naskhah tatabahasa Melayu sedia ada. Perbezaan yang dilakukan mampu mencerminkan pendirian dan idea setiap ahli bahasa yang berbeza dalam mengemukakan rumus ataupun formula nahu bahasa Melayu.

Bahasa dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana bahasa menjadi medium yang penting dalam menjayakan sesebuah komunikasi.Esei ‘Bahasa Perbualan Baharu dalam Masyarakat’ secara keseluruhannya menggambarkan situasi semasa masyarakat yang ‘mencipta’ bahasa baharu dengan mewujudkan bahasa slanga, percampuran kod, penukaran kod dan bahasa singkatan. Situasi ini sewajarnya diberikan perhatian agar bahasa Melayu tidak mudah diperalatkan. Kesantunan berbahasa juga perlu diamalkan dalam komunikasi seharian agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan masyarakat di samping menyumbang kepada komunikasi atau interaksi yang berkesan.

Penulis juga mengaitkan bahasa Melayu dengan keindahan bahasa Melayu itu sendiri yang tiada tolok bandingnya. Fakta ini boleh dirujuk melalui esei yang bertajuk ‘Bahasa dalam Filem Melayu: Antara Dua Zaman’ dan ‘Manipulasi Kuasa Bahasa Kreatif’. Esei yang berjudul ‘Stilistik: Medium Penghasilan Karya Kreatif Imaginatif’ pula memberi pendedahan kepada pembaca tentang penulisan yang berkesan.

Melalui bahagian kedua, Nur Fatiha Fadila begitu tekun mengakrabi stilistik, bahasa dalam sastera serta pemikiran beberapa tokoh sastera dalam karya-karya yang dipilih untuk dikaji. Penulis yang mempunyai latar belakang sebagai pemegang Ijazah Sarjana Penulisan (Penulisan Kreatif) mengaplikasikan segala ilmu yang ada untuk menghasilkan penulisannya. Secara tidak langsung, penulisannya menjadi hidup dengan disokong beberapa rujukan yang berkaitan.

Penulisannya juga tampak kritis apabila mengaplikasikan beberapa teori di dalam penulisannya seperti Teori Psikoanalisis Lacan dalam esei ‘Konflik Kejiwaan Hikayat Qaziq dari Sudut Psikoanalisis Lacan’ dan mengaplikasikan Teori Hegemoni dalam esei yang berjudul ‘Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering”. Tuntasnya, teori-teori ini menjadi tunjang untuk dijadikan analisis dalam teks sastera yang dipilihnya.

Bukan mudah untuk melahirkan sebuah tulisan yang berbentuk akademik seperti yang dilakukan oleh Nur Fatiha Fadila. Pastinya rujukan yang sewajarnya perlu dilakukan agar fakta yang diperolehi tepat dan tidak menyimpang. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga segar dan teratur sekaligus mencerminkan penulisnya seorang yang cermat dan santun dalam berbahasa. Kumpulan Esei Bahasa & Sastera Di Sofa Kata ini sesuai untuk dijadikan bahan bacaan tanpa had peringkat umur memandangkan bahasa dan sastera Melayu adalah milik kita sebagai penutur aslinya!

0 comments:

Post a Comment