Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh
Umi Saidatul Arryennah Binti Madsah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
Dalam tempoh empat puluh
lapan jam, saya dapat menamatkan bacaan sebuah buku travelog wanita Melayu solo
ini. Sepanjang membacanya, saya cuba meletakkan diri di tempat penulis dengan
membayangkan saya mempunyai tiga orang anak dan seorang suami yang ingin
melanjutkan pengajian kewartawanan di peringkat yang lebih tinggi. Sungguh saya
bangga dengan buku ini yang cuba menunjukkan kekuatannya dengan menggunakan
pelbagai kaedah penyampaian kepada pembaca.
Selain dapat menelusuri perjalanan
yang dilalui oleh penulis, saya juga dapat mengikuti setiap perubahan emosi
yang diinterpretasikan penulis. Jujur saya katakan, beliau seorang yang berani
berkorban sesuatu yang besar untuk sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan.
Membacanya seolah-olah saya mengikuti penulis dalam perjalanan yang bermula
daripada terataknya ke pelabuhan Singapura sehingga ke London. Saya seolah-olah
berada pada zaman tersebut dan duduk bersama-sama beliau dalam sebuah kapal
laut kerana apabila membaca buku ini, saya terasa akan semangat yang ada dalam
diri penulis untuk berkongsi.
Di samping itu, buku ini
berjaya mempamerkan kesungguhan dan kecekalan seorang wanita dalam menempuh dan
menerima setiap perubahan dari satu tempat ke tempat yang lain dan dari satu
masa ke masa yang lain. Bagaimana seorang wanita yang bergelar isteri serta ibu
kepada anak-anaknya menetapkan pendirian dalam melihat pelbagai situasi dari
kaca mata seorang wanita Melayu. Setiap yang membaca buku ini pasti dapat
melihat perbezaan ketara antara setiap tempat yang disinggah dari pelbagai
aspek dan cabang sebagai contoh bahasa, budaya, keistemewaan, makanan popular,
tarian dan lain-lain lagi.
Apa yang saya lihat,
tempat-tempat yang disinggah sebelum tiba ke London itu hanyalah sebagai suatu
yang sampingan yang cuba dibawakan oleh penulis untuk mengisi ruang kosong
sebelum sampai ke tujuan yang sebenar. Namun, biarpun ia suatu yang hanya
berperanan sebagai ‘pelengkap’ kepada catatan beliau, tetapi beliau
memanfaatkannya dengan penuh bermakna lalu mengangkat buku ini sebagai satu
perkongsian yang amat bermaklumat dan berguna.
Buku ini sesuai dibaca
dalam semua peringkat umur tanpa mengira apa sekalipun kerana saya berani untuk
katakan bahawa terdapat pelbagai mesej yang dapat menyedarkan semua golongan
masyarakat. Segala iktibar, pengajaran, konsep pemikiran yang kritikal dibawa
oleh penulis tanpa bersikap prejudis. Walaupun penulis dikelilingi oleh
pelbagai latar belakang masyakarat mahupun rakan sebilik sewaktu berada di atas
kapal, namun penulis memperlihatkan kematangannya dalam mengkritik dan berhujah
untuk menyatakan pandangan peribadi yang sebenarnya amat relevan dengan budaya
ketimuran.
Selain itu, buku ini dapat
membuka perspektif baharu apabila berjaya menyusun cerita dengan penuh kronologi
yang memudahkan pembaca menghayatinya di samping memperlihatkan perbezaan corak
sosial dan politik yang dimainkan oleh masyarakat-masyarakat Eropah dengan yang
terdapat di Timur ini. Contohnya dari segi makanan di mana masyarakat Eropah
lebih mementingkan zat makanan berbanding rasa manakala masyarakat Timur sudah
menjadikan rasa sebagai satu yang penting berbanding zat.
Buku ini berjaya membuka
pandangan atau kaca mata individu yang membaca kerana seorang wanita yang
melihat setiap perilaku manusia yang bermacam ragam sepanjang perjalanannya.
Melaluinya, pembaca akan dapat menilai tabiat yang diutarakan itu patut
dicontohi atau dicegah. Saya mendapat satu kesimpulan berdasarkan penelitian
terhadap perbezaan yang dirungkai penulis ini bahawa bangsa kita Malaysia,
bukanlah bangsa jauh ketinggalan dari sudut apa sekalipun kerana bangsa kita
masih kaya dengan adat budaya yang dilatih dengan norma-norma masyarakat.
Dalam membangunkan modal
insan kelas pertama sudah semestinya memerlukan kegigihan dan kecekalan setiap
orang dan bukannya kerajaan sahaja seperti yang dibuktikan dalam buku ini yang
mana bangsa Eropah sentiasa memajukan diri membantu Negara membangunkan
ekonomi. Ilmu pengetahuan yang baharu dapat digabungjalinkan oleh penulis
apabila buku ini berjaya mempersembahkan pelbagai macam aspek pengurusan sosial
terutama budaya atau rutin sama ada yang wujud pada zaman tersebut dan yang
kekal sehingga kini. Terdapat budaya yang mana dapat dilihat sudah tidak wujud
pada zaman ini namun dapat diketahui apabila penulis tidak lokek untuk
berkongsi dan sentiasa menganggapnya suatu yang penting bagi generasi sekarang
yang tidak hidup sezaman penulis.
Buku ini juga seringkali
memuatkan dialog-dialog lisan daripada segenap dimensi masyarakat yang boleh saya
anggap sebagai sejarah lisan. Pada pandangan saya, ungkapan lisan ini
sememangnya penting untuk dicatat kerana ada kalanya tidak tercatat dalam
buku-buku Sejarah. Buku-buku Sejarah yang ada cuma menulis dari sudut mereka
yang berkepentingan seperti tokoh, pemimpin, raja/sultan namun agak jarang
Sejarah ditulis dari sudut golongan marhaen yang tidak dianggap penting. Oleh
itu, penulis telah menerapkan unsur sejarah lisan yang penting dipelihara
kerana walaupun tidak secara bertulis tetapi ia suatu yang amat berharga kerana
dilalui sendiri oleh pelakunya.
Sebuah realtiti yang mampu
membangkitkan jiwa-jiwa di perantauan yang jauh dari keluarga untuk teguh
pendirian dalam menuntut ilmu Tuhan.
0 comments:
Post a Comment