sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
Melewati karya seperti ‘A Beautiful Mind’ dan Rumus Di Hatinya,
juga beberapa drama bersiri seperti ‘Numb3rs’ dan ‘Touch’, nombor bukanlah
suatu topik yang mudah untuk dikupas. Pembaca mudah ketinggalan sekiranya
perhatian lebih tidak diberi kepada setiap rumus yang dibentangkan penulis. Ia
berdiri di atas satu garis nipis; samada menjadi sebuah karya yang
mengkagumkan, ataupun hanya sebuah karya syok sendiri kerana mesej yang hendak
disampaikan tidak berjaya difahami khalayak.
Kata kuncinya apabila kita membaca karya sebegini ialah cabaran.
Cabaran bermula jauh sebelum penulis merancang kerangka jalan cerita,
seterusnya sewaktu beliau mulai menterjemah rumus yang telah dipilih, dan
seterusnya untuk meyakinkan pembaca bahawa penyelesaian rumus itu benar-benar
relevan. Cabaran tidak berakhir di situ. Sebaik sahaja pembaca menyelak halaman
pertama, cabaran beralih kepada pembaca untuk mengaktifkan sel otak bagi
memahami segala jalan kerja yang dibentangkan penulis.
Rumus Di Hatinya menyelami kisah seorang profesor matematik yang
mempunyai masalah kerosakan otak akibat kemalangan. Ingatannya bagaikan pita
rakaman yang hanya merakam memori selama 80 minit dan akan merakam semula di
atas pita rakaman yang sama apabila genap tempoh itu. Oleh itu bukanlah suatu
perkara yang mudah apabila suatu hari seorang wanita muda ditugaskan menjadi
pembantu di rumah kecil yang didiami profesor.
Hubungan tegang antara profesor dan pembantu rumah menjadi dinamik
dengan kehadiran ‘Root’, anak pembantu rumah yang berusia 10 tahun. Di sinilah
plot cerita berkembang menjadi lebih menarik. Lazimnya profesor lebih
selesa dengan nombor berbanding manusia. Ini berbeza sama sekali apabila
kehadiran 'Root' dilihat begitu disenangi profesor. Sifat dingin, cuai, dan
memencilkan diri profesor berubah 360 darjah sebaik sahaja mendengar suara
‘Root’ pulang dari sekolah.
Tajuk asal novel ini dalam Bahasa Jepun ialah Hakase No Aishita Sushiki dengan
terjemahan secara langsung ke dalam Bahasa Inggeris iaitu “The Professor's
Beloved Equoation”. Ia berformat seperti sebuah memoir yang terlekat dalam
ingatan si pembantu rumah. Agak menghiburkan apabila pembantu rumah saban hari
bakal dihujani dengan soalan yang sama apabila profesor tidak melihat dia
melebihi 80 minit sehinggalah dia berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
“Berapa saiz kasut kamu?”
“Apa nombor telefon kamu?”
“Berapa berat kamu ketika dilahirkan?”
Pernahkah terlintas di kepala, saiz kasut adalah sesuatu yang
unik dan ada sebab tersendiri apabila kita memiliki saiz kasut tersebut? Soalan
profesor kepada pembantu rumah buat saya tertanya-tanya sendirian. Saiz kasut
saya adalah 6 dan ia adalah nombor sempurna kerana jumlah pembahagi bagi 6,
ialah 6.
6 = 1 + 2 + 3.
Ini sangat menarik.
Ini sangat menarik.
Saya sendiri baru sahaja menyedari kesempurnaan nombor 6 apabila
diperkenalkan dengan keindahan nombor menerusi kacamata Profesor Hakase. Bagi
beliau, nombor dan rumus umpama huruf dan tatabahasa dalam Bahasa Matematik.
Rosak penggunaan rumus, rosaklah bahasa itu yang telah sedia wujud sebelum
kejadian manusia lagi. Oleh itu beliau amat sopan menghargai keberadaan setiap
nombor dan seringkali cuba menyelesaikan masalah matematik yang dibentangkan
dihadapannya.
Watak utama dalam novel ini ialah Profesor Hakase dan kita hanya
berkesempatan mengenali beliau menerusi sudut pandang dan rasa hati pembantu
rumah yang bertindak sebagai narator keseluruhan cerita. Pembentukan watak
Profesor Hakase adalah berdasarkan watak sebenar iaitu Paul Erdos, seorang
pakar matematik ulung dari Hungary. Sebagaimana Paul Erdos, profesor sangat
mahir melontarkan nombor sehingga 3 digit dan menganggap itu umpama irama yang
terlahir dari lagu di hati.
“1 – 1 = 0. Indah bukan?” – Profesor Hakase.
Pembantu rumah memandang kebolehan profesor sebagai sesuatu yang
luar biasa. Dia kagum dengan keperibadian profesor yang tidak mementingkan
kebendaan. Bagi saya, orang yang patut diraikan di sini ialah pembantu rumah
kerana sikap survival yang ditunjukkan. Dia tidak pernah berhenti berharap,
malahan, otaknya tidak pernah berhenti mencari cara untuk memulihkan penyakit
profesor. Sikap tabah pembantu rumah semasa membesarkan anaknya juga wajar
diberi pujian.
Keghairahan pembantu rumah kadangkala diimbangkan dengan ‘Root’ si kecil yang
matang lebih dari usianya. Walaupun pembantu rumah berasa kasihan melihat
profesor kesepian, jauh di sudut hatinya pembantu rumah juga terasa sepi.
Sambil dia cuba menjadi kawan terbaik kepada profesor, dia juga sebenarnya
sedang mencari sahabat. Tindakannya memakan diri kerana dia melampaui batas
antara majikan dan pekerja.
Novel ini menganjurkan idea
bahawa Sains dan Matematik itu adalah simbol kekuasaan Tuhan. Kemampuan manusia
adalah terbatas dan Tuhan Maha Tahu mengapa sesuatu ilmu belum ditemui. Adalah
mengejutkan apabila tema ketuhanan diterapkan dalam karya Jepun. Kajian pada
2001 mendapati 65% dari masyarakat Jepun tidak mempercayai Tuhan. Bahkan hampir
80% orang yang mengambil bahagian dalam pelbagai kajian yang lain seringkali
memilih untuk tidak mengaitkan diri mereka kepada mana-mana agama. Ini buat
saya terfikir bahawa novel ini adalah suatu bentuk dakwah yang cuba disampaikan
oleh penulis.
Sejujurnya, terasa seperti perkembangan setiap watak seakan-akan
pegun. Jalinan plot yang berbolak-balik antara imbasan babak lalu dan babak
kini tidak memberi ruang secukupnya untuk watak berkembang dengan baik, ini
kerana watak telah diadun sempurna menjadi diri mereka sejak awal cerita. Ini
mengehadkan evolusi watak walaupun berlaku pertambahan pengalaman dan usia.
Oleh itu kadangkala terasa bagai kekurangan sesuatu yang menambahkan perisa
kepada novel ini.
Rasa
itu diimbangkan dengan beberapa rumus Matematik yang juga turut diwarnakan
dengan karakter. Antaranya nombor ratu, nombor sempurna, nombor karib, nombor
lebih, nombor kurang, dan banyak lagi rumus lain yang mampu buat hati ini
terusik. Boleh juga disiapkan kalkulator di sebelah untuk menguji kesahihan
rumus yang dipaparkan. Setakat ini, saya hanya mampu memahami 60% dari konsep
matematik dan penyelesaian sahaja. Nampaknya saya perlu mengulang bacaan
untuk kefahaman yang lebih jelas.
Identiti Euler
Ayuh kita renung bersama Identiti Euler atau kadangkala dikenali
dengan Rumus Euler yang cukup dekat di hati Profesor Hakase. Sedikit info
mengenai Identiti Euler, ia merupakan rumus yang diperkenalkan Leonhard Euler
pada abad ke-18. Rumus ini indah sekali bagi para pakar matematik kerana dalam
satu rumus sahaja, Euler berjaya menggabungkan 3 operasi asas Aritmatik iaitu
penambahan, penggandaan dan nombor indeks dengan 5 pekali tetap Matematik iaitu
0, 1, Š» , e, dan i. Lantas, ia dinobatkan sebagai Rumus Terbaik Dalam
Matematik.
Identiti Euler seolah-olah sebuah metafora kitaran kehidupan
Manusia (M) yang lengkap. Bermula dari kelahiran, kita menempuhi satu persatu
Kejadian (K) . Kejadian di sini dianggap seperti operasi asas; usia
bertambah, rakan dan ahli keluarga berganda, dan sudahnya kita akhir sekali
akan menjadi jasad yang Kosong (0) tanpa nyawa setelah meninggal dunia. Hidup
ini akan diiringi dengan Pengalaman (P) iaitu pekali tetap yang pasti akan
berlaku; kegagalan dalam percintaan , akademik, pengkhianatan, pengembaraan,
penjelajahan, kejayaan, kerjaya dan kebahagiaan dalam mengecapi cinta
Ilahi.
MP + K = 0
M= Manusia, P = Pengalaman, K= Kejadian, 0 = Kosong/Kematian
Novel Rumus Di Hatinya sesuai dijadikan bacaan santai di
waktu lapang. Satu perkara yang amat disenangi apabila membaca novel ini,
ialah perincian yang dihidangkan oleh Yoko Ogawa. Kredit harus diberi kepada
penterjemah kerana berjaya mengekalkan ciri-ciri unik ini. Sambil melayari
helaian mukasurat, kita mudah membayangkan visual si pembantu rumah muda
tentang situasi yang sedang berlaku. Ini menimbulkan keselesaan dan kesenangan
bagi meneruskan pembacaan seolah-olah berada di tepi pantai sambil minum air
kelapa dingin. Air kelapa yang penuh khasiat dan kebaikan tetapi juga sungguh
enak dinikmati tekak yang dahaga. Ibarat air kelapa, novel ini tuntas dan penuh
isi.
“Hukum matematik ini sungguh indah kerana tiada sebarang
kepentingan dalam kehidupan seharian kita”- Profesor Hakase.
Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment