Selamat Datang ke Malaywood ( Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2012, 319 hal ) karya Roslan Jomel menghimpunkan 18 buah cerpen yang penuh dengan magis-magis kritikan budaya, sosial dan politik. Semua cerpennya menghapuskan sempadan antara fiksyen dan realiti, tergelincir daripada hukum logik, menjungkarbalikkan plot dan persoalan, malah bebas daripada ikatan ruang serta waktu. Ini semacam langgam penulis muda Roslan Jomel ini. Katanya, " saya sama sekali tidak melihat saya sebagai penulis nasional. Saya tidak mempercayai nasionalisme dalam kesusasteraan. Khususnya sekarang, saya fikir sastera cerminan peristiwa internasional, " Beliau memetik ungkapan Carlos Fuentes menakrifkan gambaran besar definisi kesusasteraan kontemparari. Roslan juga terpesona oleh kata-kata SN Muhammad Haji Salleh, " membaca karya hebat ialah suatu pendekatan untuk memajukan diri, "
Bagi Roslan, beliau memulakan penulisan dengan melebihkan pembacaan. Saya percaya setiap karya baik akan menyumbangkan manfaat dan kelangsungan kepada kesusasteraan itu sendiri ( Roslan, 2012, hal. vii ) Bayangkan, hanya pada darjah empat barulah saya berkemampuan membaca kemudian karya fiksyenlah menjadi peneman kembara imajinasi peribadi. Dalam karya sastera tiada sempadan atau perbezaan tentang persoalan-persoalan kemanusiaannya. Hitam putih dan kelabu dunia memerlukan para seniman untuk menggambarkan landskap kehidupan melalui penulisan.
Roslan mengkagumi Gabriel Marquez, Etgar Keret, dan Haruki Murakami. Katanya, mereka sering meniupkan ilham imajinasi seandainya naratif fiksyen yang ditulis tersadai di jalan mati. Baginya, tiada penulis yang berkeupayaan menghasilkan sebarang karya tanpa bantuan ilmu.
Cerpen pertamanya, "Selamat Datang ke Malaywood" (hal. 1) ada pertanyaan penulis, di manakah negara yang dikenal sebagai Malaywood itu. Dijawabnya sendiri, ia tidak jauh dari hujung hidung saudara sendiri. Sungguh (hal. 12) Apakah kita sedang dipermainkan oleh Roslan dengan teknik Ernest Playfulnya (kesungguhan main-main) Roslan meneruskan dengan mengatakan, apabila saya menggunakan frasa kiasan demikian, maknanya, negara Malaywood sungguh dekat dalam hati saudara. Barangkali letaknya yang terlalu dekat, maka jarang dalam kalangan saudara ambil tahu atau perasan akan kewujudan (hal. 12) Aneh? Penduduk-penduduknya, tanpa mengambil kira yang asal atau tidak, bergabung mewujudkan kemakmuran dan kemegahan negara ini, negara Malaywood tercinta. Diikat dengan slogan nasional yang dicipta oleh para pemimpin. Dari zaman kanak-kanak sehingga membesar, saya kurang mengerti untuk apakah kesemua slogan itu dicipta, ini disebabkan saya sekadar sebatang pen atau sebuah radio transistor.
Membaca karya Roslan, bukan cerita yang disuguhkan. Saya pun berasa keliru akan hubungannya cerpen dengan anekdot atau artikal yang berbentuk cerpen ini. Memilih membaca cerpen-cerpen Roslan adalah memikir untuk membaca dan menafsir kesukaran dan kerumitan fikiran. Kerana sebelum membaca keseluruhan cerpen Roslan, harus juga anda semak judul yang tertera. Antara judul 18 cerpennya ialah;
- Selamat Datang ke Malaywood
- Kata Barbie, Dia Bukan Boneka
- Delirium
- Petang Sentimental Tuan Banana
- Saya Ingin Mengucup Bibirnya Sekali Saja
- Lelaki Yang Menetak Anaknya
- Incognito
- Timbus Bayi
- Mengapa Dunia Tidak Memerlukan Adiwara?
- Sisipus di Labirin
- Menyebabkan Encik Televisyen Dilanda Paranoid
- Rosidah yang Hidup Hanya Sehari
- Romantika di Tandas
- Sebilah Parang untuk Menyayat Malam
- Mesej
- Kekeliruan Bawang Merah
- Tidak Dibenarkan Menulis Cerita Buruk
- Semenanjung Borneo
Kalau melihat judulnya, memang Roslan lari dari klise yang sewajarnya ada dalam sebuah cerpen. Ada judul yang kontradiks dan berbau karya indie seperti Romantika di Tandas, (hal. 227) dan Semenanjung Borneo (hal. 311) ada yang sadis seperti Timbus Bayi (hal. 131) dan Lelaki yang Menetak Anaknya (hal. 65) unjuran filosofis seperti Sisipus di Labirin (hal. 169) dan Sebilah Parang untuk Menyayat Malam (hal. 241) dan judul-judul aneh lainnya. Judul-judul kumpulan cerpennya yang pernah diterbitkan juga aneh. Bermula dengan Namaku Epal Kuning (DBP, 2010), Selamat Datang ke Malaywood (ITBM, 2012) Serangga Dalam Kepala (ITBM, 2013), Di Dalam Mulutnya Ada Kota (ITBM, 2014), Roslan akan berlegar di sekitar itu yang akhirnya akan menjemu dan memualkan pembacaan pembacanya. Kerana penulis yang baik adalah beredar dari semasa ke semasa sepertimana Anwar Ridhwan dengan Parasit (1976), Sesudah Perang (1977), Sangkar (1984), dan Satu Tiga Sifar Lima (2010). Lihatlah tempoh masa penghasilan dikira yang wajar lamanya bagi menunjukkan sesuatu yang dikerjakannya adalah cukup matang. Penulis muda harus juga mempelajari ilmu dari penulis matang seperti mana yang diujarkan oleh Roslan sendiri, belajarlah dari pembacaan dan filosofi.. dan bukannya ruang dan peluang yang diberikan..
"Petang Sentimental Tuan Banana" (hal. 39) mengisahkan Tuan Banana yang hanya merupakan seorang pembuat sangkar burung.
"Benar. Tuan Banana hanya pembuat sangkar. Sangkar burung. Percayalah ( hal. 41 ) Beberapa orang wartawan diberi peluang mengambil gambar sangkar ciptaan Tuan Banana dari pelbagai sudut luar dan dalam. Inilah segmen paling menjengkelkan hati. Mereka terpaksa menggunakan kapal terbang, feri raksasa dilengkapi hotel berkelas lima bintang, helikopter, kapal selam, kereta api, bas ekspres malahan roket untuk menentukan imejnya dari jarak setelit. Masa penggambaran dari siang ke malam, berlangsung lebih daripada setahun dan cukup meletihkan. Hasilnya? Tiada sesiapa yang tahu saiz sebenar sangkar tersebut. Setelah berputus asa dan kehabisan peruntukan modal, proses penggambaran memakan masa dan mencabar, ketamadunan itu terpaksa dihentikan... " Inilah bentuk cerpen Roslan. Untuk mencari dunia realiasme, rencah dan nihil sekali di tangan Roslan.
Roslan Jomel lahir di Kucing dan kini menetap di Kuala Lumpur. Saleeh Rahamat ( Dewan Sastera, Oktober 2013: 9 ) dalam tulisannya, menyatakan; penulis-penulis Sarawak pada peringkat nasional ini, mereka telah mencipta legasi tersendiri dan menjejeri barisan pengarang penting Malaysia. Oleh itu, pengarang lelaki Sarawak diakui telah mendominasi jagat sastera, bukan saja di Sarawak malah juga di peringkat nasional. Bagi umpulan cerpen ' Selamat Datang ke Malaywood ' ini sendiri, ia merupakan pemenang Hadiah Sastera Malaysia bagi tahun 2012. Penulis Sarawak bermula dari Ahmad Rakawi Yusuf, yang kemudian diikuti oleh Adi Badiozaman Tuah, Awangku Merali Pg. Mohamad, Jong Chian Lai, Jaya Ramba, Dahiri Saini, Abizai, Poul Nanggang, Saiee Dris, Abdillah SM, Hazimi Jahari, Zaini Ozea, Ramlee Awang Murshid dan mutakhir Roslan Jomel. Di kalangan penulis wanitanya adalah Sarimah Alit ( almarhumah ) Beb Sabariah, Radzemah Bolhassan ( hanya menyebut beberapa nama ) antara pengarang yang telah memberi wajah kepengarangan wanitanya. Dalam keghairahan inilah muncul penulis prolifik Roslan Jomel di celah-celahnya.
Kalau ingin terus menikmati karya jungkir-balik Roslan Jomel, ' Selamat Datang ke Malaywood ' antara pilihan yang tepat untuk anda nikmati.
0 comments:
Post a Comment