Wednesday, August 6, 2014

Ulasan buku: Ibu Melayu Mengelilingi Dunia

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Aida Firdaus sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.



Ini antara buku yang saya sangat suka, dan dibeli baru-baru ini di KLIBF. 4 bintang untuk penulisan yang mendahului zamannya.

Saya memang mencari salinan buku ini apabila membaca reviu penulis, kak Nisah Haron. Bukan mudah untuk berjumpa dengan buku ini, kerana salinan asal hanya ada di 2 tempat: 1. Perpustakaan Universiti Malaya, Malaysia dan 2. British Library, London.

Terima kasih kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kerana mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku ini semula.

Alhamdulillah, dalam masa 6 jam, saya selesai membaca buku autobiografi Ibu Melayu ini. Saya bersetuju dengan kak Nisah Haron yang menyatakan buku ini dinobatkan sebagai buku autobiografi pertama oleh seorang wanita Melayu.

Buku yang ditulis pada era 1950-an ini masih mempunyai banyak buah fikiran yang sehingga kini relevan. Tan Sri Dr. Hajah Aishah Ghani menulis dengan ringkas tetapi padat. Isinya terus ke mata hati. Penulisannya kritis dan tajam.

Dan saya kagum dengan seorang Ibu Melayu yang ingin mengejar cita-citanya untuk menyambung pelajaran, pada umur 30-an. Antara keluarga dan cita-cita, kental semangatnya. Begitu juga kasih seorang suami kepadanya, yang memahami cita-citanya dah menjaga anak mereka selama 3 tahun.

Ibu Melayu ini banyak berpandangan jauh ke hadapan melampaui zamannya. Malahan melontarkan beberapa ide dan pendapat mengenai hak keistimewaan seorang wanita di Britain tika itu. Pada zaman 50-an, hanya England telah memberikan hak mengundi untuk wanita, tetapi Switzerland masih belum meluluskan rang undang-undang mengenai hak mengundi untuk wanita.

Dalam masa sama, walaupun beliau memuji beberapa hak di Britain, tetapi beliau juga tidak ragu mencela pergaulan bebas tanpa batas anak muda mudi di sana.

Dan harapannya untuk Tanah Melayu. Ya, anda harus ingat, beliau ke England pada ketika itu ketika Tanah Melayu masih dijajah oleh British.

Tan Sri Aishah juga sempat melawat Kolej Malaya: Kirkby College dan Brinsford Lodge College, kedua-dua kolej perguruan untuk guru-guru dari Tanah Melayu. Pada masa yang sama beliau melontarkan, bahawa ruginya ekonomi Tanah Melayu apabila wang mengalir keluar, walhal guru-guru ini yang 100% dari Tanah Melayu boleh sahaja dididik di Kirkby College cawangan Tanah Melayu.

Begitu juga kita melihat kritis pemikiran seorang ibu muda. Apabila beliau menyatakan betapa sastera di Tanah Melayu masih dipandang rendah. Dan nilainya semakin hilang.

Walau bagaimanapun, buku ini seperti tergantung dan saya kira tidak akan ada sambungan lagi apabila penulis baru sahaja meninggal dunia.

Saya lebih suka sekiranya penulisan ini dikekalkan dalam bahasa Melayu lama dengan ejaan lama, nampak keindahan bahasa Malaysia yang berubah mengikut aliran zaman. Umpama buku-buku tulisan Shakespeare atau JRR Tolkein, masih dikekalkan penulisan menggunakan bahasa lama Inggeris untuk mengekalkan rasa aslinya.

0 comments:

Post a Comment