Tuesday, September 23, 2014

Makna Taman Maknawi Bagi Shamsudin Othman




Taman Maknawi merupakan kumpulan puisi ketiga yang diterbitkan. Sebelum ini Shamsudin telah menerbitkan Taman Percakapan ( 2006 ) Taman Nurani ( 2010 ) dan yang terbaru, Taman Maknawi ( 2013 ) Cuma bedanya, Taman Maknawi diterbitkan hasil daripada sebuah sayembara. Taman Maknawi dinobatkan sebagai pemenang ketiga di belakang Negeri Kunang-Kunang ( Ridzuan Harun ) dan Laut Tujuh Gelombang Buih ( Rahimidin Zahari )

Taman Maknawi meneruskan kronologi ' Taman '. Ini mengingatkan saya kepada kronologi ' Esok ' oleh Jins Shamsudin, yaitu Tiada Hari Esok, Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa. Apakah ' Esok ' dan ' Taman ' ini semacam satu trademark dalam takwim pengkaryaan dua tokoh bernama Shamsudin ini? Apa pun, kita tunggu perkembangan selanjutnya nanti.

Taman Maknawi merupakan kumpulan puisi bernafaskan Islam. Ada yang menamakan sebagai puisi religius, puisi sufi, puisi madrasah dan sebagainya untuk menunjukkan puisi itu menjurus kepada pengucapan Islam. Melihat keseluruhan puisi yang terkandung dalam Taman Maknawi ini, Shamsudin menjelaskan, sesebuah puisi boleh saja ditanggapi sebagai segugus kata-kata maknawi yang di dalamnya terangkum perasaan yang menggugah dan membijaksanaan. Atau puisi harus dilihat sebagai satu kesatuan makna dan tanggungjawab, antara jati diri dan marga bahasa yang berilmu serta antara kebenaran dan naratif alami. Puisi tidak boleh dihukum sebagai jelmaan igauan atau khayalan, sebaliknya puisi adalah juzuk nurani yang di dalamnya mengalir rasa pengabdian yang perlu diyakini mempunyai hubungan vartikal dan horizontal. Justeru, puisi adalah suara batiniah yang sarat dengan taqwa, rasa cinta, rasa rindu, rasa syukur, rasa taubat dan rasa simpati seseorang insan yang tidak boleh dipisahkan daripada pengertian keseluruhan dalam kesewaktuan ( 2013: xi )

Tentang puisi, Tantawi Jauhari menegaskan, ' seni sastera adalah cahaya daripada Allah, ada pun sajak, keindahan, hikmah dan segala anugerah yang serupa itu, kalau digunakan untuk kepentingan umum adalah baik, dan kalau digunakan untuk kepentingan khas adalah jahat ' ( Hasymi, 1980 ) Akan lahir dalam Islam satu generasi yang belum pernah kami memimpikannya sebagai umat terbaik yang pernah Allah tampilkan untuk manusia. Maksud kataku ini ialah bahwa Allah mengecualikan para sasterawan Muslim yang salih, di mana Allah berfirman, ' kecuali orang-orang beriman dan beramal saleh, sentiasa mengenang Allah dan memang setelah ditindas, mereka itu menjadikan sajak sebagai ubat menghilang penyakit. Ertinya bahawa mereka tidak menjadikan profesi sastera sebagai ladang usaha ' ( ibid ) 

Bagi Mohd Shahrizal Nasir, sastera Islam bukan sastera yang sia-sia dan tidak mungkin ia bersifat sedemikian. Hal ini berbalik kepada tujuan penciptaan manusia ke dunia yang bukan untuk tujuan sia-sia, kesemuanya mempunyai tujuan dan bermatlamat. Namun keadaan ini tidak menolak wujudnya keseronokan yang bersifat sementara dalam kehidupan manusia yang sebenarnya bertujuan menguji mereka serta memberi peluang yang secukupnya untuk melakukan amalan. Segalanya kembali kepada akidah manusia itu sendiri yang memilih untuk memperbanyakkan amalan kebaikan ataupun keburukan.

Ia juga bukan satu sistem atau pendekatan yang sempit dan jumud, yang hanya menceritakan kehidupan dan realitinya, bukan juga merupakan ucapan nasihat yang dipenuhi ayat-ayat al-Qur’an dan hadith serta hukum-hukum agama semata-mata, tetapi ia merupakan satu bentuk atau gambaran yang indah dan sentiasa berkembang. Sastera Islam merupakan sastera rasa hati yang hidup dan sihat sejahtera, sastera yang memberi gambaran yang tepat, juga imaginasi yang berpaksikan kebenaran. Seterusnya, sastera Islam adalah sastera yang jelas dan bukan bermain-main dengan kekaburan yang menyesatkan ataupun kegelapan yang membunuh. Dan tidak mungkin sastera Islam mampu untuk dihasilkan kecuali oleh mereka yang memiliki keyakinan dan berlapang dada serta didasari oleh landasan yang ditetapkan Allah. Ini kerana hanya dengan asas akidah yang sebenar, sastera yang bercirikan kebenaran mampu dihasilkan. Sudah tentu dengan gambaran tersebut, sastera Islam bukan satu omongan bagi menyedapkan hati seseorang.

Dalam Taman Maknawi, Shamsudin menuliskannya seperti ini;

masuklah ke tamanku

akan kau temui

ribuan bening

yang ranum mengharum

daripada fitrah

kun faya kun Rabb

hijau merimbun

dalam kalbu syafaat

kekasihku Muhammad

Saya teringat tentang kumpulan puisi Ali Haji Ahmad, Jalan ke Taman ( Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983 ) Jalan ke Taman antara kumpulan puisi Islamik yang bermutu. Malah, Ali Haji Ahmad diakui sebagai penyair sufi terbaik selain Kemala, Bukhari Lubis ( Rizi SS ), Shafie Abu Bakar, mahupun Nahmar Jamil. Melalui puisi di atas, Shamsudin mengajak pembacanya, masuk ke taman yang rimbun dengan haruman fitrah dan syafaat kekasihnya, Muhammad Rasullullah. Cuba bandingkan dengan Zikrullah, puisi dari Ali Haji Ahmad.

peleburan tanah

di ladang rasa

semaian benih

di bendang hati

siraman air

di batas taqwa

penampungan harap

di bijana kasih

pengulangan jenguk

benih berjambang

pemindahan tanam

di sepanjang terekat

menghitung ganjaran

di hujung jalan

mengenal maknawi

sesuci nama-Mu

allahurabbi

( Jalan ke Taman, hal. 29 )

Cara Ali Haji Ahmad menyusun rentak polanya seperti sebuah mantera. Rentaknya tingkah meningkah, dengan pilihan kata yang sufistik seperti tanah, rasa, bening, hati, takwa, bijana, kasih, terekat, maknawi dan Allahurabbi. Ali ditanggapi oleh beberapa kritikus sebagai penyair Islamik yang terbaik. Lihat pula Shamsudin dalam Wujud ( hal. 3 )

aku hamba dalam kudrat-Mu

wujud dari roh

gersang dan hapak tanah

keruh dan likat air

angin yang mengering

dan api yang membahang

menyatu menjadi jasad

Penyair Islamik selalu melihat ke dalam diri. Ali Shariati ( 1984: 84 ) menghuraikan hubungan tauhid dengan alam sebagai satu manifestasi tanda kebesaran Allah;

In the world-view of the tauhid, nature, the manifest world, is composed of series of signs and norms. The use of the word ' sign ' to designate a natural phenominon bears profound meaning. The oceans and trees, night and day, earth and the sun, earthquake and death, illness, vicissitude, law, and even man himself - all these are ' signs ' and ' God ' do not represent two separate and discordant hypostases, essences, realms, or poles.

Shamsudin mahu menyorot ke dalam dirinya melalui sajak Tahmid ( hal. 24 )

setiap kali aku

membaca diriku

ada cahaya yang berkaca

dan membias di muka

kucari makna sham

dalam nur matahari tuhanku

kucari makna din

dalam nur bulan muhammadku

seperti aku yang hilang

dalam bayang-bayang

akuku merintih

di atma jiwa

shamsudin

di manakah akuku

saat tahmid mengutus munajat

dalam jasad dan roh

berkampung di kebun maknawi?

Cakap-cakap Puisi AGI-SA




Kita kenal lama dengan Abdul Ghafar Ibrahim ( AGI ). Menurut Mana Sikana dalam catatan pengantarnya, AGI merupakan penyair kelahiran tahun-tahun 1960-1970 an, di mana tahun yang menampakkan kesinambungan zaman komited dan iltizam penyair Malaysia dalam subjek sosiologisme dan kenegaraan. Pada dekad-dekad inilah, muncul bakat-bakat penulis seperti Kassim Ahmad, Anis Sabirin, Kemala, Zurinah Hassan, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, A. Latif Mohidin, A. Wahab Ali dan Zam Ismail. Muncul teks-teks serius yang menunjukkan pengarangnya memerlukan bakat yang padu, pemikiran yang rasional dan disiplin yang kemas ( hal. x )

AGI dibayangkan oleh Mana Sikana sebagai kemunculan watak lain sebagai penyair. Penyair ini mempelopori konsep TRI-V, iaitu bahasa tidak semestinya ditulis dan diucapkan. Walaupun konsep abstrak ini telah dimulakan oleh Suhaimi Haji Muhammad, namun AGI telah memasukkan ke dalamnya teks unrealisme. AGI tidak terlihat sebagai penyair surealis atau eksistensialisme, sebaliknya memasuki alam abstrak, yang terarah kepada sifat visual dan improvisasi. Puisi yang sinonim dengan subjektiviti dirinya ialah Gak-Gak-Gak;

gak 
gak 
gak 
gak 
gak 
gak
gak

gagak-gagak bukan mahu berlagak
gagak jiwa mereka menggelegak
hidupkan api
api kehidupan segar
nikmati sepi
sepi yang tidak mati-mati

gak 
gak 
gak 
gak 
gak

Sebuah lagi sajak AGI ialah Tak Tun;

Tak Tun
Taktak Tak Tun Taktak Tak Tun Taktak Tun
Taktak tak Tun Taktak Tak Tun Taktak Tak Tun
Tak
Tun Tak Tun
Taktak Tak Tun
Taktak Tak Tun
tak 
tun
taktak tuntun 

TAK?
TAK 
Tun?? Tak
Tun Tak??
Tun Tak 
Taktak
Taktak 
Takkk taktunnn
takk
tunnn takkkk tun
tun
t
a
k
k
k
taktuntaktuntaktuntaktuntaktuntaktuntaktun
taktuntaktuntaktuntaktun
taktuntaktuntaktun TTTKKK
ttUUUuuuNNNnnn
tak tak tak tak tak tun tak-tak-tak-tak tun tak tak-tak tak-tak tu
ttttTTTTaaaAAAKkKkKkkk

tuntak tuntak
TaTTtttUUUuuuUuuuNNnnnn
tuntak tuntak
tuntuntuntuntun

TAK!TAK!TAK!TAK!
TUN!!TAK!!
tak-tak-tak-tak-tak
tun-tuntuntuntun
tak-taktaktaktak
tun-tuntuntun-tun
TAK
TUN
TAK/tun
TUN
TAK 
TAK TUN

Sudah empat dekad AGI menggauli puisi abstrak. Beliau tidak pernah undur ke belakang memperjuangkan cara puisi yang diyakininya itu. Ketrampilannya itu diulangi sekali lagi apabila AGI bersama anak didiknya Syarifah Hanura Ezwa Syed Akhbar Ali yang dikenali sebagai Shahanaz Akhbar ( SA ) Kaliborasi AGI-SA dalam menetaskan idea membukukan Cakap-Cakap Puisi ( Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2014; 199 halaman ) sekali lagi menunjukkan intuisi AGI tidak pernah berakhir dalam pencariannya sebagai seorang pemikir dan penyair abstrak.

Buku Cakap-Cakap Puisi adalah sebuah buku pendidikan akademik mengenai dunia puisi, terutama yang digauli oleh AGI sendiri. Buku ini dikira menggunakan trend semasa yang tidak membosankan pembacanya. Pendekatan hengky-pingky ini menunjukkan bahawa AGI tahu selera pembaca masa kini. Cara pengajarannya sesuai seperti sedang mengikuti kuliah. 

Kupasn idea dan penyampaian ulasan terhadap kajian puisi dibuat dengan jelas dan tepat. Pemilihan SA sebagai lawan bicara AGI bagi mewakili generasi muda, dikira tepat. SA bukan saja sedang menceburi dunia penulisan puisi tetapi juga seorang akademia yang lahir dari tangan sifunya ini. Satu sajak yang dicipta oleh SA iaitu sajak ' Buat AGI yang Keghafar-Ghafaran " ( halaman 41 ) telah mencipratkan nuansa AGI ke dalam inspirasi SA. Lihat sajak binaan SA tersebut;

Kegagak-gagakan
Berterbang-terbangan
Sinonim dengan
Keagi-agian
Yang memberi pengajian
Dalam ke hadapan
Yang terus menulis penyajakan
Melahirkan penulisan
Yang dapat berterbang-terbangan
Isi dan pengajarannya
Yang berkongsi-kongsian
Kegagak-gagakan
Bebas-sebebasnya
Memberi idea yang penulisan
Inspirasi idea dari
Keghafar-ghafaran
Keguru-guruan dunia penulisanku

AGI menanggapi puisi SA yang ditulis di Melbourne pada 22 Oktober 2012 ini merupakan idea intertektual daripada sajak-sajak AGI yang telah banyak memparasit mindanya seperti diksi gagak, terbang, AGI dan Ghafar. Sajak ini semestinya tulen milik SA namun AGI memperelokkannya.

Kegagak-gagakan
Berterbang-terbangan
Keghafar-ghafaran
Keguru-guruan
Berkongsi-kongsian

Kejayaan buku ini saya rasakan juga ada kaitan di mana Institut Terjemahan dan Buku Malaysia ( ITBM ) sebagai penerbitnya. Cara pembukuan yang berkualiti, memenuhi skima intelektualisme membantu mesej bahawa buku yang dihulurkan secara popular ini juga kelihatan mewah dan intelektual kalau kena gaya dan olahannya. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya cara pembukuan ini jatuh ke tangan penerbitan yang kurang profesional dan lebih menekankan imej popular yang remah. Banyak penerbitan yang tidak melihat ciri intelektual dalam membutuhi selera pembacanya.

Dalam mempelbagaikan bentuk penulisan, AGI membagikan kepada beberapa ciri. Ciri penulisan ilmiah seperti dalam Bab 1, Tanggungjawab. Dalam bab ini, cara penulisan AGI sepertimana penulisan ilmiah yang lain dengan menerapkan intro, isi dan penutupnya. Namun corak ini berubah dalam bab berikutnya seperti dalam bab, Batu dan Besi, Intertekstual Ibu ditulis seperti bentuk drama yang mengandungi dialog pertuturan antara AGI dengan SA. AGI terus mempelbagaikan bentuk di celah-celahnya dengan fone dan bentuk tulisan yang pelbagai. Dalam bab, Puisi Ialah Karya Yang Selesai ( halaman 127 ) puisi-puisi abstrak AGi diperturunkan. Jadilah halaman itu satu halaman penuh seni yang luarbiasa. Puisi-puisi IPU, 26122004, Tak Tun, Dundun Cakcak sangat mengujakan pembacanya.

Pembelajaran secara dialog juga satu pembaharuan yang dibawa oleh AGI dalam buku ini. Penerangan terhadap fungsi imaginasi seperti imaginasi visual, imaginasi auditori, imaginasi olfaktori, imaginasi gustatori serta imaginasi tactile diterangkan dengan contoh-contohnya sekali. Dengan ini, saya merasakan bahawa buku Cakap-Cakap Puisi ini adalah gabungan penulisan kreatif dan ilmiah dalam bentuk yang dicipta oleh AGI. Sepertimana AGI telah mendobrak dunia puisi dengan TRI-V nya, kini sekali lagi dunia pembelajaran ilmiah sedang diobrak-abrikkan sekali lagi. Seperti yang dikatakan oleh Mana Sikana, pendekatan yang digunakan tidak membosankan pembaca, meski sarat dengan ilmu puisi yang termuat di dalamnya. Sifatnya ialah akademik tetapi penggunaan bahasa dan penyampaiannya yang bersahaja dan sekali sekala berfalsafah menjadikan buku ini istimewa. Kerana buka ini bukan buku puisi dan bukan buku ilmiah per se, saya belum dapat kategorikan sebagai kelas apa ini sepertimana dunia akademik belum menemukan kategori ' Naratif Ogonshoto ' sebagai novel atau kumpulan cerpen. Manusia genius seperti AGI dan Anwar Ridhwan seringkali menyuguhkan kehebatannya kepada kita yang tidak didaktik dan statik sifatnya.

AGI menyatakan, kembara mencari identiti sendiri memakan masa, ruang dan pengalaman. Memerlukan pengisian peribadi yang kukuh, tahan uji dan keberanian yang utuh dan tidak jemu-jemu mencuba yang baharu. Kerja berpuisi bukannya kerja melepaskan batok di tangga. Bukan kerja untuk mengisi masa lapang. Penyair bukan lagi kepunyaan dirinya sendiri. Puisi penyair apabila dicetak bukan lagi kepunyaan dirinya sahaja., tetapi menjadi hak dan kepunyaan masyarakat, negara dan dunia. Puisi itu menjadi warisan yang diturunkan dari zaman ke zaman ( hal. 170 )

May Swenson, penyair wanita Amerika dalam menanggapi susun letak visual sesebuah puisi hanya dapat dilihat selepas, " the whole language structure and behavior of the poem have been completed. What the poems say or show, their way of doing it with language, it the main thing. " Nyatalah bahawa antara nilai unggul yang ketara dalam puisi termasuklah corak visualnya yang dibina dengan kata-kata turut berkomunikasi penuh makna kepada audiensnya melalui mata dan minda. Ini dapat dibuktikan melalaui sajaknya " Women " yang jelas memperlihatkan figura wanita. Jelaslah di sini, AGI bukan sahaja pakar menulis puisi tetapi ampuh juga dengan ilmunya yang tiada tolok bandingnya sebagai seorang akademia yang unggul. Itulah tubuh seorang AGI dan terus kukuh dengan pegangan TRI-V nya hingga saat ini.

Melihat Indonesia Dalam Keroncong Pulau Kelapa

MELIHAT INDONESIA DALAM KERONCONG PULAU KELAPA
pada 14hb Januari 2014 pukul 4.09 ptg

Photo: MELIHAT INDONESIA DALAM KERONCONG PULAU KELAPA
pada 14hb Januari 2014 pukul 4.09 ptg

Marzuki Ali, satu nama yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan Malaysia. Lahir di Terengganu pada tahun 1945 dan pernah bermastautin di Sabah. Kemudian beliau melanglangbuana ke seluruh Indonesia bagi mengisi kebutuhan kendirinya sebagai seorang seniman. Beliau adalah dramawan, penyair, tokoh seni dan budaya yang berada dalam jalurnya sendiri.

Kumpulan puisi ' Keroncong Pulau Kelapa ' ( ITBM, 2013, 188 halaman ) adalah puisi langlangbuananya ke Indonesia. Seratus buah puisi digarap di dalamnya, mencipratkan wajah Indonesia melalui kota, budaya dan manusianya. Seratus puisi yang dipecah dalam 4 sigmen iaitu Gurindam Mamanda ( hal. 1-40 ) Baris Jaipongan ( hal. 41-78 ) Ya, Ambon Manise! ( hal. 75-114 ) Krondjong Toegoe ( 117-177 ) Dari sigmen tersebut, nyatalah Marzuki telah merekam keseluruhan pengalamannya di Indonesia. Marzuki dalam pengantarnya membuka dengan ' Khayalan Penyair ' puisi dan lagu yang dinyanyikan oleh S. Effendi,

mengapa kau berhayal

khayal menggoda hati

kerna aku haus pada keindahan

bagai musafir haus di tengah padang pasir

berhajat akan minum seteguk air

begitulah dahaga jiwa penyair

Jauh berjalan bagi Marzuki banyak yang dapat diresami apa pahit, manis, masam, tawar, masin dan kelat dalam masa kembaraannya. Melihat bagaimana penjarah memeras dan memperbudak sekian rakyat ratusan tahun lamanya. Semua tercatat dalam Krontjong Toegoe,

tugu namamu keroncong lama

di hembusan angin laut jawa melana

nadi jiwa para pelaut labuhan sunda kelapa

pakaian gurindam jiwa kita di lambungan

setia gelombang di ruang redupan cahaya

...

yang mengingatkan kita lautan jauh

semerah cakerawala

Lautnya yang dapat dilihat dengan kanta telanjang dapat mengalungkan pelbagai mutiara ke leher yang mulus para ayuan di atas pentas ragam rias dunia.

jalan-jalan di sepanjang a.y. patty berbelanja

beta lihat kain ikat, kulit kerang dan mutiara

bawa beta ingat mata nona yang mesra

beta pun tidak sabar untuk malam minggu dansa

( Ya, Ambon Manise! hal. 99  )

Marzuki bukan mengenal Nusantara dari perjalanannya tetapi jauh dari itu telah disenandungkan dengan lagu-lagu asli dan langgam Melayu dari corong radio yang dinyanyikan oleh S. Effendi, Sam Saimun, Tuti Daulay atau Hasnah Taha. Lalu melalui ' Kota Bengkulu ' Marzuki menulis,

bahwa suatu bangsa besar dan megah

seharusnya menanam kebahagiaan moyang

walau alah dan menjadi hamba tebusan

di hatinya adalah keharuman sejati

yang tercium di nubari bangsa

yang punya harga diri

Marzuki melanglangbuana bukan saja dengan Boeng Garuda, tapi juga dengan kapal laut KM Dobonsolo atau bis Damri apabila berjalan dari kota ke kota. Untuk lebih enak tentu saja menaiki taksi Blue Bird atau taksi 4848. Tapi harus membayarnya lebih mahal. Atau kalau ke kampung enak kalau pakai bemo, bajaj atau terkadang membonceng dengan speda motor atau ojek saja.

Lumrah kalau di Kota Metropolitan Jakarta, kita akan iseng-iseng menaiki becak saja dan dapat berkenalan akrab dengan abang becak yang selalu sedia melayani kerenah kita. Misalnya, bersesak-sesak di Menteng Raya, di Kramat Raya, di Grogol atau di Blok M akan kita temui berbagai wajah insan yang pelbagai latar belakangnya. Lalu di sinilah ditemui tentang globalisasi yang melanda dunia. Kalau dulu di tepi-tepi tratoar pejalan kaki lima jeraya, akan kita dapati segala jajan pisang goreng, singkong goreng, tempe goreng, taugu goreng atau bakso, kini mulai doyan dengan coca-cola float, pepsi cola float dan segala macamnya menghilangkan es kelapa, es avokad atau es teler! Inilah yang ditemui oleh Marzuki dalam gelandangannya selama beberapa tahun ke belakangan ini. Hingga akhirnya kedengaran mendayu-dayu Tuti Daulay dengan Orkes Sjaiful Bahri mendendangkan ' Semalam di Malaya '

..

kekasih hatiku telah pula hilang

hilang tiada pesan aduhai nasib

apakan daya

cinta hampa hati melara

mana dia

inilah kisahku semalam di malaya

diri saya sunyi aduhai nasib

adakah daya

aku hanya seorang pengembara

yang hina

Begitulah Marzuki menutup nostalgianya. Sebagai kembara, Marzuki menetapi apa yang dituliskan di blurd muka belakang bukunya. Ditulisya, detik-detik yang dilalui oleh Marzuki dalam setiap kembaranya tidak dibiarkannya berlalu sia-sia. Segala-galanya dicatat lewat satu genre yang beliau gemari - puisi. Sepanjang 20 tahun beliau melanglang buana ke merata kepulauan Indonesia, dari Banda Aceh ( Kota Radja ) di bagian Barat sampai ke Jaya Pura ( Irian Jaya ) di bagian Timur, segala-galanya dicakup dalam 100 buah puisinya.

Jakarta memang kota kurang ajar dan selalu kaya dengan rencananya. Dalam Jalan Sabang Suatu Malam, Marzuki menuliskan,

...

jakarta kembali di kelangkang berahinya

sambil mengusapkan warna pagi

yang selalu disentuhnya kala dini hari

jakarta setia kembali menjadi permaisurinya

yang bakal dijaipongkan kala lewat malam

di lantai mengkilat di bayangan neon alahai!

Penyair akan selalu meneropong Jakarta yang selalu olah dengan caranya. Kalau Moammar Emka dengan Jakarta Under Cover, Marzuki dengan puisinya. Bagi pembaca Malaysia, ternyata Marzuki berjaya membuka rahasia di sebalik ruang suram Jakarta dan seluruh Indonesia dalam jejalan puisi. Namun sebagai warga dan pembaca Indonesia, saya serahkan kepada anda untuk menilainya.

Siapa Marzuki Ali?

Marzuki dilahirkan di Kampung Kuala Kemaman, Terengganu pada tanggal 20 Oktober 1945. Pendidikannya di Sekolah Sultan Ismail sehingga habis menengah atas. Beliau menjadi guru sandaran dan bertugas di Sekolah Kebangsaan Batu Rakit, Kuala Terengganu sebelum menjawat sebagai kerani di Pejabat Kastam dan Eksais Diraja, Dungun hingga tahun 1973. Kemudian berpindah ke Jabatan Setiausaha Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu.

Di Sabah, beliau aktif membangun aktivitas kesenian dan budaya dan mendirikan Group Teater Asyik. Mulai tahun 1978, Marzuki melanjutkan pelajarannya ke Institut Kesenian Jakarta selama 4 tahun dengan memperoleh kelulusan dalam bidang teater. Sekembalinya dari Jakarta, Marzuki pulang ke Kuala Terengganu dan membangun Group Teater Asyik Terengganu Kehadirannya di tanah tumpah darahnya, Marzuki dijuluki Umbu Landu Peranggi kerana miris lakon teater dan bicaranya. Sehingga kini, sejumlah kumpulan puisinya telah terbit antaranya Desir Angin Pantai Timur ( 1984 ) Mantera ( 1991 ) Jeritan Satwa Luka ( 2000 ) Sebagai seorang tokoh teater, Marzuki Ali adalah the lagend...

Marzuki Ali, satu nama yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan Malaysia. Lahir di Terengganu pada tahun 1945 dan pernah bermastautin di Sabah. Kemudian beliau melanglangbuana ke seluruh Indonesia bagi mengisi kebutuhan kendirinya sebagai seorang seniman. Beliau adalah dramawan, penyair, tokoh seni dan budaya yang berada dalam jalurnya sendiri.

Kumpulan puisi ' Keroncong Pulau Kelapa ' ( ITBM, 2013, 188 halaman ) adalah puisi langlangbuananya ke Indonesia. Seratus buah puisi digarap di dalamnya, mencipratkan wajah Indonesia melalui kota, budaya dan manusianya. Seratus puisi yang dipecah dalam 4 sigmen iaitu Gurindam Mamanda ( hal. 1-40 ) Baris Jaipongan ( hal. 41-78 ) Ya, Ambon Manise! ( hal. 75-114 ) Krondjong Toegoe ( 117-177 ) Dari sigmen tersebut, nyatalah Marzuki telah merekam keseluruhan pengalamannya di Indonesia. Marzuki dalam pengantarnya membuka dengan ' Khayalan Penyair ' puisi dan lagu yang dinyanyikan oleh S. Effendi,

mengapa kau berhayal

khayal menggoda hati

kerna aku haus pada keindahan

bagai musafir haus di tengah padang pasir

berhajat akan minum seteguk air

begitulah dahaga jiwa penyair

Jauh berjalan bagi Marzuki banyak yang dapat diresami apa pahit, manis, masam, tawar, masin dan kelat dalam masa kembaraannya. Melihat bagaimana penjarah memeras dan memperbudak sekian rakyat ratusan tahun lamanya. Semua tercatat dalam Krontjong Toegoe,

tugu namamu keroncong lama

di hembusan angin laut jawa melana

nadi jiwa para pelaut labuhan sunda kelapa

pakaian gurindam jiwa kita di lambungan

setia gelombang di ruang redupan cahaya

...

yang mengingatkan kita lautan jauh

semerah cakerawala

Lautnya yang dapat dilihat dengan kanta telanjang dapat mengalungkan pelbagai mutiara ke leher yang mulus para ayuan di atas pentas ragam rias dunia.

jalan-jalan di sepanjang a.y. patty berbelanja

beta lihat kain ikat, kulit kerang dan mutiara

bawa beta ingat mata nona yang mesra

beta pun tidak sabar untuk malam minggu dansa

( Ya, Ambon Manise! hal. 99 )

Marzuki bukan mengenal Nusantara dari perjalanannya tetapi jauh dari itu telah disenandungkan dengan lagu-lagu asli dan langgam Melayu dari corong radio yang dinyanyikan oleh S. Effendi, Sam Saimun, Tuti Daulay atau Hasnah Taha. Lalu melalui ' Kota Bengkulu ' Marzuki menulis,

bahwa suatu bangsa besar dan megah

seharusnya menanam kebahagiaan moyang

walau alah dan menjadi hamba tebusan

di hatinya adalah keharuman sejati

yang tercium di nubari bangsa

yang punya harga diri

Marzuki melanglangbuana bukan saja dengan Boeng Garuda, tapi juga dengan kapal laut KM Dobonsolo atau bis Damri apabila berjalan dari kota ke kota. Untuk lebih enak tentu saja menaiki taksi Blue Bird atau taksi 4848. Tapi harus membayarnya lebih mahal. Atau kalau ke kampung enak kalau pakai bemo, bajaj atau terkadang membonceng dengan speda motor atau ojek saja.

Lumrah kalau di Kota Metropolitan Jakarta, kita akan iseng-iseng menaiki becak saja dan dapat berkenalan akrab dengan abang becak yang selalu sedia melayani kerenah kita. Misalnya, bersesak-sesak di Menteng Raya, di Kramat Raya, di Grogol atau di Blok M akan kita temui berbagai wajah insan yang pelbagai latar belakangnya. Lalu di sinilah ditemui tentang globalisasi yang melanda dunia. Kalau dulu di tepi-tepi tratoar pejalan kaki lima jeraya, akan kita dapati segala jajan pisang goreng, singkong goreng, tempe goreng, taugu goreng atau bakso, kini mulai doyan dengan coca-cola float, pepsi cola float dan segala macamnya menghilangkan es kelapa, es avokad atau es teler! Inilah yang ditemui oleh Marzuki dalam gelandangannya selama beberapa tahun ke belakangan ini. Hingga akhirnya kedengaran mendayu-dayu Tuti Daulay dengan Orkes Sjaiful Bahri mendendangkan ' Semalam di Malaya '

..

kekasih hatiku telah pula hilang

hilang tiada pesan aduhai nasib

apakan daya

cinta hampa hati melara

mana dia

inilah kisahku semalam di malaya

diri saya sunyi aduhai nasib

adakah daya

aku hanya seorang pengembara

yang hina

Begitulah Marzuki menutup nostalgianya. Sebagai kembara, Marzuki menetapi apa yang dituliskan di blurd muka belakang bukunya. Ditulisya, detik-detik yang dilalui oleh Marzuki dalam setiap kembaranya tidak dibiarkannya berlalu sia-sia. Segala-galanya dicatat lewat satu genre yang beliau gemari - puisi. Sepanjang 20 tahun beliau melanglang buana ke merata kepulauan Indonesia, dari Banda Aceh ( Kota Radja ) di bagian Barat sampai ke Jaya Pura ( Irian Jaya ) di bagian Timur, segala-galanya dicakup dalam 100 buah puisinya.

Jakarta memang kota kurang ajar dan selalu kaya dengan rencananya. Dalam Jalan Sabang Suatu Malam, Marzuki menuliskan,

...

jakarta kembali di kelangkang berahinya

sambil mengusapkan warna pagi

yang selalu disentuhnya kala dini hari

jakarta setia kembali menjadi permaisurinya

yang bakal dijaipongkan kala lewat malam

di lantai mengkilat di bayangan neon alahai!

Penyair akan selalu meneropong Jakarta yang selalu olah dengan caranya. Kalau Moammar Emka dengan Jakarta Under Cover, Marzuki dengan puisinya. Bagi pembaca Malaysia, ternyata Marzuki berjaya membuka rahasia di sebalik ruang suram Jakarta dan seluruh Indonesia dalam jejalan puisi. Namun sebagai warga dan pembaca Indonesia, saya serahkan kepada anda untuk menilainya.

Siapa Marzuki Ali?

Marzuki dilahirkan di Kampung Kuala Kemaman, Terengganu pada tanggal 20 Oktober 1945. Pendidikannya di Sekolah Sultan Ismail sehingga habis menengah atas. Beliau menjadi guru sandaran dan bertugas di Sekolah Kebangsaan Batu Rakit, Kuala Terengganu sebelum menjawat sebagai kerani di Pejabat Kastam dan Eksais Diraja, Dungun hingga tahun 1973. Kemudian berpindah ke Jabatan Setiausaha Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu.

Di Sabah, beliau aktif membangun aktivitas kesenian dan budaya dan mendirikan Group Teater Asyik. Mulai tahun 1978, Marzuki melanjutkan pelajarannya ke Institut Kesenian Jakarta selama 4 tahun dengan memperoleh kelulusan dalam bidang teater. Sekembalinya dari Jakarta, Marzuki pulang ke Kuala Terengganu dan membangun Group Teater Asyik Terengganu Kehadirannya di tanah tumpah darahnya, Marzuki dijuluki Umbu Landu Peranggi kerana miris lakon teater dan bicaranya. Sehingga kini, sejumlah kumpulan puisinya telah terbit antaranya Desir Angin Pantai Timur ( 1984 ) Mantera ( 1991 ) Jeritan Satwa Luka ( 2000 ) Sebagai seorang tokoh teater, Marzuki Ali adalah the lagend...

Ceritera Cinta Pemimpi Mawar Syurga

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Ainurrahmah Abdullah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. Buat pertama kalinya mengunjungi booth atau gerai Institut Terjemahan dan Bahasa Melayu (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC).

Sumber: Koleksi peribadi DanauKalbu


Menguliti kisah hidup Mariam umpama sedang menonton sebuah ceritera cinta seorang wanita yang tidak berpenghujung. Penulis membawakan pembaca untuk bersama-sama menyelami hasrat wanita dalam sesebuah kehidupan bermula seawal pengajian sehingga memiliki keluarga sendiri. Kecekalan Mariam dalam menongkah badai yang berulang menghempas hidupnya menyuntik semangat luar biasa kepada sesiapa sahaja khususnya wanita yang membaca novel ini untuk bangkit memperjuangkan kehidupan berlandaskan agama.

Novel “Mawar Syurga” karya Fatimah Saidin memaparkan kelincahan seorang gadis yang bergelar “The Best Planner” dalam setiap cabaran dan ujian yang ditempuh. Namun, setiap perjalanan yang terlakar tidak akan selalunya dilalui dengan mudah. Fatimah Saidin memaparkan nilai tidak putus asa sepanjang pengkisahan hidup seorang Mariam ini. Perwatakan Mariam yang tidak pernah berpatah arang diteruskan dengan episod baru dalam hidupnya yang beralih daripada seorang gadis kepada seorang wanita yang mengakhiri zaman gadisnya dengan seorang lelaki yang menghidapi inferiority complex dan mempunyai ciri-ciri Oppositional Defiant Disorder.

Pelbagai ilmu bantu berkaitan bidang psikologi yang digarapkan oleh penulis benar-benar memberi kesan kerana membawa pembaca menggali maklumat tambahan mengenai setiap ilmu bantu yang diketengahkan. Hal ini menjadikan novel “Mawar Syurga” sebagai sebuah bahan bacaan yang berbeza berbanding novel lain kerana mencetuskan pembaca mengenai satu kesedaran tentang pahit maung yang harus dihadapi bagi mencapai kemanisan dalam kehidupan berumah tangga bagi seorang wanita. Penulis dilihat lari daripada anggapan tabu bahawa “hidup tidak seindah cerita novel” apabila memaparkan satu demi satu ujian yang dihadapi Mariam.

Bunga mawar menjadi simbol kepada perjalanan dan penghujung yang ingin dicapai sepanjang alam berumah tangga yang ditempuh Mariam. Simboliknya bunga mawar bagi seorang wanita ialah cantik dan mekarnya sekuntum mawar itu, sukar untuk dipetik kerana mempunyai duri-duri yang menghalangnya. Begitulah juga tamsilan yang dikisahkan menerusi Mariam yang mengimpikan sebuah rumah tangga umpawa mawar syurga. “Mawar Syurga” menjentik minda pembaca agar berfikir bahawa, bagaimana sukarnya untuk menjadi dan mendapatkan sekuntum mawar, begitulah juga sukarnya untuk menjadikan mawar itu sebagai mawar syurga. Sebuah simbolik yang menarik hati kecil wanita untuk terus mengimpikan bingkisan hidup seindah mawar syurga.

DanauKalbu: Ulasan tertera di atas adalah cubaan menulis ulasan buku bersempena Peraduan Ulas Buku ITBM 2014.  :)

Di Sofa Kata: Cakna Anak Muda Dalam Usaha Melestarikan Bahasa Dan Sastera Melayu

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Mohd Haniff Mohammad Yusof sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. Buat pertama kalinya mengunjungi booth atau gerai Institut Terjemahan dan Bahasa Melayu (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC).



NASKHAH tulisan Nur Fatiha Fadila ini merupakan himpunan rencana tulisan beliau yang pernah disiarkan dalam majalah-majalah tempatan dan dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama diberi judul ‘Wacana Bahasa Melayu’dan bahagian kedua diberi judul ‘Esei dan Kritikan Sastera’. Penulis muda ini begitu cakna memerihalkan isu bahasa dan sastera Melayu dalam tulisan-tulisannya. Mengangkat bahasa ibunda dan sastera Melayu dalam penulisannya merupakan usaha murni dalam mendidik serta menyedarkan para pembaca akan keunggulan bahasa ibunda dan betapa signifikannya memelihara sastera Melayu.

Bahasa Melayu mempunyai susur galur perkembangannya yang tersendiri, malah perkembangannya juga turut dikaitkan dengan agama Islam. Nur Fatiha Fadila tidak terlepas daripada mengisahkan sejarah bahasa Melayu melalui eseinya yang berjudul ‘Bahasa dan Bangsa Melayu: Satu Penelitian Sejarah’.

Nur Fatiha Fadila merupakan penuntut program sarjana Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia memerihalkan keupayaan bahasa Melayu yang tidak boleh dipandang enteng. Sebagai warga yang menutur bahasa Melayu, kita sewajarnya menaruh rasa percaya dan bangga akan bahasa Melayu. Menerusi esei yang berjudul ‘Bahasa Tunjang Ketamadunan Negara dan Bangsa’, penulis menerangkan bahasa Melayu melalui zaman kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dan melalui zaman cabaran ketika zaman penjajahan. Walau bagaimanapun, keperihatinan para pemimpin dalam membentuk dasar selepas mencapai kemerdekaan memberikan kehidupan semula kepada bahasa Melayu seperti kewujudan Dasar Pendidikan Negara. Selain itu, ketamadunan negara dan bangsa dilangsungkan dengan usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sesebuah tamadun memerlukan bahasa sebagai imejan kepada peradaban dan negaranya. Begitulah juga dengan Malaysia. Walaupun diduduki oleh rakyat pelbagai kaum dan etnik dengan bangsa Melayu, Cina dan India sebagai kelompok terbesar, Malaysia tetap memerlukan satu bahasa sebagai identiti negara dan tamadunnya.” (halaman 25-26)
Penulis masih menekankan tentang kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam esei yang berjudul ‘Bahasa Tempatan Citra Jenama Tempatan’. Secara jujur penulis mengkritik sikap masyarakat kita yang tidak berbangga menggunakan bahasa Melayu sebagai label atau jenama sesuatu produk. Penulis turut membandingkan sikap rakyat di negara ini dengan rakyat negara lain seperti masyarakat Korea yang begitu berbangga dengan produk atau jenama keluaran mereka.

Isu bahasa dalam sektor pendidikan di Malaysia turut diberi perhatian oleh penulis. Kebelakangan ini, pelbagai isu yang diperdebatkan membabitkan bahasa dalam bidang pendidikan negara. Esei ‘Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Malaysia’ membawa pembaca menyoroti pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Tulisan yang diberi judul ‘Peranan Guru dalam Pelestarian Bahasa Melayu’ ada menyatakan bahawa peranan guru bukan sekadar memperkenalkan para pelajar dengan ilmu linguistik semata-mata tetapi harus juga memberi pendedahan terhadap aspek-aspek bahasa yang lain seperti kesantunan berbahasa dan keindahan bahasa.

Kecaknaan penulis turut dibuktikan dengan penulisannya yang berjudul ‘Perlestarian Bahasa Melalui Pembaharuan dan Pengembangan Nahu’.Melalui penulisan ini, penulis menjadikan naskhah Nahu Melayu Mutakhirsebagai rujukan utama. Penulisan ini pastinya akan lebih menarik jika dilakukan perbandingan terhadap naskhah-naskhah tatabahasa Melayu sedia ada. Perbezaan yang dilakukan mampu mencerminkan pendirian dan idea setiap ahli bahasa yang berbeza dalam mengemukakan rumus ataupun formula nahu bahasa Melayu.

Bahasa dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana bahasa menjadi medium yang penting dalam menjayakan sesebuah komunikasi.Esei ‘Bahasa Perbualan Baharu dalam Masyarakat’ secara keseluruhannya menggambarkan situasi semasa masyarakat yang ‘mencipta’ bahasa baharu dengan mewujudkan bahasa slanga, percampuran kod, penukaran kod dan bahasa singkatan. Situasi ini sewajarnya diberikan perhatian agar bahasa Melayu tidak mudah diperalatkan. Kesantunan berbahasa juga perlu diamalkan dalam komunikasi seharian agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan masyarakat di samping menyumbang kepada komunikasi atau interaksi yang berkesan.

Penulis juga mengaitkan bahasa Melayu dengan keindahan bahasa Melayu itu sendiri yang tiada tolok bandingnya. Fakta ini boleh dirujuk melalui esei yang bertajuk ‘Bahasa dalam Filem Melayu: Antara Dua Zaman’ dan ‘Manipulasi Kuasa Bahasa Kreatif’. Esei yang berjudul ‘Stilistik: Medium Penghasilan Karya Kreatif Imaginatif’ pula memberi pendedahan kepada pembaca tentang penulisan yang berkesan.

Melalui bahagian kedua, Nur Fatiha Fadila begitu tekun mengakrabi stilistik, bahasa dalam sastera serta pemikiran beberapa tokoh sastera dalam karya-karya yang dipilih untuk dikaji. Penulis yang mempunyai latar belakang sebagai pemegang Ijazah Sarjana Penulisan (Penulisan Kreatif) mengaplikasikan segala ilmu yang ada untuk menghasilkan penulisannya. Secara tidak langsung, penulisannya menjadi hidup dengan disokong beberapa rujukan yang berkaitan.

Penulisannya juga tampak kritis apabila mengaplikasikan beberapa teori di dalam penulisannya seperti Teori Psikoanalisis Lacan dalam esei ‘Konflik Kejiwaan Hikayat Qaziq dari Sudut Psikoanalisis Lacan’ dan mengaplikasikan Teori Hegemoni dalam esei yang berjudul ‘Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering”. Tuntasnya, teori-teori ini menjadi tunjang untuk dijadikan analisis dalam teks sastera yang dipilihnya.

Bukan mudah untuk melahirkan sebuah tulisan yang berbentuk akademik seperti yang dilakukan oleh Nur Fatiha Fadila. Pastinya rujukan yang sewajarnya perlu dilakukan agar fakta yang diperolehi tepat dan tidak menyimpang. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga segar dan teratur sekaligus mencerminkan penulisnya seorang yang cermat dan santun dalam berbahasa. Kumpulan Esei Bahasa & Sastera Di Sofa Kata ini sesuai untuk dijadikan bahan bacaan tanpa had peringkat umur memandangkan bahasa dan sastera Melayu adalah milik kita sebagai penutur aslinya!

Thursday, September 11, 2014

Rumus Di Hatinya: Romantika Hakase

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Farahanani 
sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.

Melewati karya seperti ‘A Beautiful Mind’ dan Rumus Di Hatinya, juga beberapa drama bersiri seperti ‘Numb3rs’ dan ‘Touch’, nombor bukanlah suatu topik  yang mudah untuk dikupas. Pembaca mudah ketinggalan sekiranya perhatian lebih tidak diberi kepada setiap rumus yang dibentangkan penulis. Ia berdiri di atas satu garis nipis; samada menjadi sebuah karya yang mengkagumkan, ataupun hanya sebuah karya syok sendiri kerana mesej yang hendak disampaikan tidak berjaya difahami khalayak.

Kata kuncinya apabila kita membaca karya sebegini ialah cabaran. Cabaran bermula jauh sebelum penulis merancang kerangka jalan cerita, seterusnya sewaktu beliau mulai menterjemah rumus yang telah dipilih, dan seterusnya untuk meyakinkan pembaca bahawa penyelesaian rumus itu benar-benar relevan. Cabaran tidak berakhir di situ. Sebaik sahaja pembaca menyelak halaman pertama, cabaran beralih kepada pembaca untuk mengaktifkan sel otak bagi memahami segala jalan kerja yang dibentangkan penulis.


Rumus Di Hatinya menyelami kisah seorang profesor matematik yang mempunyai masalah kerosakan otak akibat kemalangan. Ingatannya bagaikan pita rakaman yang hanya merakam memori selama 80 minit dan akan merakam semula di atas pita rakaman yang sama apabila genap tempoh itu. Oleh itu bukanlah suatu perkara yang mudah apabila suatu hari seorang wanita muda ditugaskan menjadi pembantu di rumah kecil yang didiami profesor.

Hubungan tegang antara profesor dan pembantu rumah menjadi dinamik dengan kehadiran ‘Root’, anak pembantu rumah yang berusia 10 tahun. Di sinilah plot cerita berkembang menjadi lebih menarik. Lazimnya profesor lebih selesa dengan nombor berbanding manusia. Ini berbeza sama sekali apabila kehadiran 'Root' dilihat begitu disenangi profesor. Sifat dingin, cuai, dan memencilkan diri profesor berubah 360 darjah sebaik sahaja mendengar suara ‘Root’ pulang dari sekolah.  

            Tajuk asal novel ini dalam Bahasa Jepun ialah Hakase No Aishita Sushiki dengan terjemahan secara langsung ke dalam Bahasa Inggeris iaitu “The Professor's Beloved Equoation”. Ia berformat seperti sebuah memoir yang terlekat dalam ingatan si pembantu rumah. Agak menghiburkan apabila pembantu rumah saban hari bakal dihujani dengan soalan yang sama apabila profesor tidak melihat dia melebihi 80 minit sehinggalah dia berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

“Berapa saiz kasut kamu?”
“Apa nombor telefon kamu?”
“Berapa berat kamu ketika dilahirkan?”

 Pernahkah terlintas di kepala, saiz kasut adalah sesuatu yang unik dan ada sebab tersendiri apabila kita memiliki saiz kasut tersebut? Soalan profesor kepada pembantu rumah buat saya tertanya-tanya sendirian. Saiz kasut saya adalah 6 dan ia adalah nombor sempurna kerana jumlah pembahagi bagi 6, ialah 6.

 6 = 1 + 2 + 3.

             Ini sangat menarik.

Saya sendiri baru sahaja menyedari kesempurnaan nombor 6 apabila diperkenalkan dengan keindahan nombor menerusi kacamata Profesor Hakase. Bagi beliau, nombor dan rumus umpama huruf dan tatabahasa dalam Bahasa Matematik. Rosak penggunaan rumus, rosaklah bahasa itu yang telah sedia wujud sebelum kejadian manusia lagi. Oleh itu beliau amat sopan menghargai keberadaan setiap nombor dan seringkali cuba menyelesaikan masalah matematik yang dibentangkan dihadapannya.

Watak utama dalam novel ini ialah Profesor Hakase dan kita hanya berkesempatan mengenali beliau menerusi sudut pandang dan rasa hati pembantu rumah yang bertindak sebagai narator keseluruhan cerita. Pembentukan watak Profesor Hakase adalah berdasarkan watak sebenar iaitu Paul Erdos, seorang pakar matematik ulung dari Hungary. Sebagaimana Paul Erdos, profesor sangat mahir melontarkan nombor sehingga 3 digit dan menganggap itu umpama irama yang terlahir dari lagu di hati.

“1 – 1 = 0. Indah bukan?” – Profesor Hakase.

Pembantu rumah memandang kebolehan profesor sebagai sesuatu yang luar biasa. Dia kagum dengan keperibadian profesor yang tidak mementingkan kebendaan. Bagi saya, orang yang patut diraikan di sini ialah pembantu rumah kerana sikap survival yang ditunjukkan. Dia tidak pernah berhenti berharap, malahan, otaknya tidak pernah berhenti mencari cara untuk memulihkan penyakit profesor. Sikap tabah pembantu rumah semasa membesarkan anaknya juga wajar diberi pujian. 

            Keghairahan pembantu rumah kadangkala diimbangkan dengan ‘Root’ si kecil yang matang lebih dari usianya. Walaupun pembantu rumah berasa kasihan melihat profesor kesepian, jauh di sudut hatinya pembantu rumah juga terasa sepi. Sambil dia cuba menjadi kawan terbaik kepada profesor, dia juga sebenarnya sedang mencari sahabat. Tindakannya memakan diri kerana dia melampaui batas antara majikan dan pekerja.

         Novel ini menganjurkan idea bahawa Sains dan Matematik itu adalah simbol kekuasaan Tuhan. Kemampuan manusia adalah terbatas dan Tuhan Maha Tahu mengapa sesuatu ilmu belum ditemui. Adalah mengejutkan apabila tema ketuhanan diterapkan dalam karya Jepun. Kajian pada 2001 mendapati 65% dari masyarakat Jepun tidak mempercayai Tuhan. Bahkan hampir 80% orang yang mengambil bahagian dalam pelbagai kajian yang lain seringkali memilih untuk tidak mengaitkan diri mereka kepada mana-mana agama. Ini buat saya terfikir bahawa novel ini adalah suatu bentuk dakwah yang cuba disampaikan oleh penulis.

Sejujurnya, terasa seperti perkembangan setiap watak seakan-akan pegun. Jalinan plot yang berbolak-balik antara imbasan babak lalu dan babak kini tidak memberi ruang secukupnya untuk watak berkembang dengan baik, ini kerana watak telah diadun sempurna menjadi diri mereka sejak awal cerita. Ini mengehadkan evolusi watak walaupun berlaku pertambahan pengalaman dan usia. Oleh itu kadangkala terasa bagai kekurangan sesuatu yang menambahkan perisa kepada novel ini.

           Rasa itu diimbangkan dengan beberapa rumus Matematik yang juga turut diwarnakan dengan karakter. Antaranya nombor ratu, nombor sempurna, nombor karib, nombor lebih, nombor kurang, dan banyak lagi rumus lain yang mampu buat hati ini terusik. Boleh juga disiapkan kalkulator di sebelah untuk menguji kesahihan rumus yang dipaparkan. Setakat ini, saya hanya mampu memahami 60% dari konsep matematik dan penyelesaian sahaja.  Nampaknya saya perlu mengulang bacaan untuk kefahaman yang lebih jelas.


Identiti Euler

Ayuh kita renung bersama Identiti Euler atau kadangkala dikenali dengan Rumus Euler yang cukup dekat di hati Profesor Hakase. Sedikit info mengenai Identiti Euler, ia merupakan rumus yang diperkenalkan Leonhard Euler pada abad ke-18. Rumus ini indah sekali bagi para pakar matematik kerana dalam satu rumus sahaja, Euler berjaya menggabungkan 3 operasi asas Aritmatik iaitu penambahan, penggandaan dan nombor indeks dengan 5 pekali tetap Matematik iaitu 0, 1, ะป , e, dan i. Lantas, ia dinobatkan sebagai Rumus Terbaik Dalam Matematik.

Identiti Euler seolah-olah sebuah metafora kitaran kehidupan Manusia (M) yang lengkap. Bermula dari kelahiran, kita menempuhi satu persatu Kejadian (K) . Kejadian di sini dianggap seperti operasi asas;  usia bertambah, rakan dan ahli keluarga berganda, dan sudahnya kita akhir sekali akan menjadi jasad yang Kosong (0) tanpa nyawa setelah meninggal dunia. Hidup ini akan diiringi dengan Pengalaman (P) iaitu pekali tetap yang pasti akan berlaku; kegagalan dalam percintaan , akademik, pengkhianatan, pengembaraan, penjelajahan, kejayaan, kerjaya dan kebahagiaan dalam mengecapi cinta Ilahi. 

MP + K = 0 

M= Manusia, P = Pengalaman, K= Kejadian, 0 = Kosong/Kematian

 Novel Rumus Di Hatinya sesuai dijadikan bacaan santai di waktu lapang. Satu perkara yang amat disenangi apabila membaca novel ini, ialah perincian yang dihidangkan oleh Yoko Ogawa. Kredit harus diberi kepada penterjemah kerana berjaya mengekalkan ciri-ciri unik ini. Sambil melayari helaian mukasurat, kita mudah membayangkan visual si pembantu rumah muda tentang situasi yang sedang berlaku. Ini menimbulkan keselesaan dan kesenangan bagi meneruskan pembacaan seolah-olah berada di tepi pantai sambil minum air kelapa dingin. Air kelapa yang penuh khasiat dan kebaikan tetapi juga sungguh enak dinikmati tekak yang dahaga. Ibarat air kelapa, novel ini tuntas dan penuh isi.  

“Hukum matematik ini sungguh indah kerana tiada sebarang kepentingan dalam kehidupan seharian kita”- Profesor Hakase.
Wallahua'lam.