Friday, July 25, 2014

Cakerawati Teluki; Pendidikan Alternatif dan Sosial dalam Arus Perdana

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Nur Asilah Jamil sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. 


Buah Persoalan


“Engkau hanya sempat melihat ilalang yang hangus terbakar, tersilau oleh matahari yang galak memancar – bayang-bayangmu tampak berpencar-pencar, tidakkah kulit gebumu mengelupas pijar?” –Tuah Sujana, Cakerawati Teluki.

Berulangkali saya membaca penyataan di atas. Merasakan ia begitu indah dengan susunan kata terpilih ditambah pula serinya apabila sebelum berhenti sejeda, punya rima bunyi yang hampir sama dengan penggunaan aksara ‘r’. Huruf ‘R’ bagi saya merupakan suatu huruf yang sakti apabila dapat menggetarkan lidah. Bukankah ia suatu nikmat? Ayat yang saya pilih ini juga memanfaatkan sepenuhnya deria, sebab dan akibat yang dimuatkan dalam satu ayat berkesinambungan. Entah, saya sendiri sudah bisu ingin mengungkapnya.

Penulis menggunakan prolog di awal penceritaannya yang menjadikan isinya sebagai suatu klu yang harus dikembur. Mukadimah (prolog) penulis sendiri juga telah memaparkan penggunaan deria di mana penulis menjadikan latar persekitaran lebih hidup dengan imaginasi penulis kepada pembacanya. Saya melihat pembacaan saya sebagai peristiwa di depan mata sekaligus menjadikan saya sebagai saksi kepada perkara yang berlaku dalam novel Cakerawati Teluki. Melalui mukadimah saja saya sudah tertanya, siapa sebenarnya watak pelanggan ini yang sepertinya begitu dihormati? Kenapa penulis memberikan persoalan yang watak di mukadimah ini mempunyai parut di kepala?

Apabila mengaitkan dengan tajuk novel juga, saya masih tidak menjumpai jawapan. Nah, itulah antara klu yang harus saya pegang di sepanjang pembacaan saya. Mukadimah juga seumpama terbahagi kepada dua, satu watak pelanggan yang berada di kedai gunting rambut dan satu lagi watak gadis yang bersemangat kental. Makanya, saya terus bertanya, siapakah gadis itu? Seolah pelanggan mempunyai kaitan dengan gadis itu apabila dia mengimbau kembali nostalgianya.


Bahasa

Berbicara soal bahasa, sangat diakui bahawa penulis mempunyai pemilihan bahasa yang begitu mengujakan. Penulis menjadikan penulisanya sebagai medan untuk melebarkan lagi sayap kekayaan bahasa Melayu itu sendiri. Dua kategori ingin saya katakan, penggunaan bahasa dan isu bahasa. Dari sudut penggunaan bahasa, rata-rata tulisannya membuatkan saya berhenti seketika itu berfikir dan mengaitkan dengan isu sekeliling yang melanda realiti hari ini. Lebih pasti, banyak penggunaan perkataan yang harus saya rujuk kamus. Bagi saya yang  memang gemar mendekati kamus dewan (amnya), saya tidak merasakan pembacaan saya terganggu tetapi membantu menambahkan kosa kata untuk saya kuasai dan pelajari penggunaannya. Saya fikir, penulis mahu pembaca mencari buku yang lebih saya ertikan sebagai pembaca memilih dan benar-benar mencari sebuah buku untuk dibaca, dan difikir segala intinya dengan mengaitkan persekitaran.

 Dari sudut isu bahasa sendiri, saya fikir sangat berkait dengan sosial kerana bahasa merupakan wadah ketamadunan sesuatu bangsa. Penulis mengetengahkan isu bahasa yang begitu jelas. Dalam pembacaan saya, isu bahasa ini seringkali menjadi persoalan dalam pendidikan. Bahasa Melayu itu sendiri khususnya merupakan bahasa rasmi di negara kita di bawah lembayung nusantara. Menjadi suatu kemegahan apabila dahulunya bahasa Melayu diangkat sebagai lingua franca.

 Penulis menjadikan isu bahasa ini dalam pergolakan antara fakulti sains dan fakulti sastera. Masing-masing memperjuangkan hak masing-masing dengan memikirkan maslahat buat masyarakat. Ya, dua fakulti yang seringkali menjadi stereotaip perbalahan soal bahasa kepenggunaan. Seolah ia sangat berkait dengan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Terutama pada watak Safura Hana (merupakan pensyarah di fakulti sastera, Kampus Teratai, dan anak kepada Syed Nafees juga kakak kepada Syed Adni) yang merupakan seorang berpelajaran secara formal dan memperjuangkan bahasa dan sastera ekoran peristiwa persiapan untuk teater pelajarnya dimusnahkan.

Diakui bahawa bahasa Inggeris memang penting dalam soal bahasa dunia tetapi pada masa yang sama, Bahasa Melayu juga harus ditekankan demi memelihara jati diri kita di negara nusantara yang penuh dengan adat dan budaya. Kini, penggubalan bahasa memantapkan lagi sistem yang sedia ada apabila perlaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) diperkenalkan. Memang realiti kehidupan, kita perlu bereksperimentasi. Yang menjadi persoalan bukan pada dasarnya, tetapi kepada sistem perlaksanaannya. Mengaitkan dengan penggunaan bahasa penulis, menunjukkan bahawa penulis juga begitu mencintai dan mendalami bahasa Melayu itu sendiri dalam masa yang sama, tahu kepenggunaan bahasa Inggeris.


Puisi

Lama saya membaca muka surat 134 yang memaparkan puisi Rendra soal pendidikan. Puisi sememangnya bukan dibaca sekali, puisi yang menusuk membuat saya terus tenggelam dalam apa yang ingin disampaikan. Penulis membentangkan puisi Rendra untuk dikaitkan dengan pendidikan kini. Penulis juga menjadikan puisi sebagai sebuah sastera yang diangkat untuk diperjuangkan. Dahulu, sejarah juga memaparkan kebangkitan rakyat dengan pembacaan puisi. Puisi bisa saja menjadi api menyemarakkan semangat.


Sistem dan Pendidikan

Penulis mengemukakan Kampus Teratai sebagai sebuah institusi perguruan untuk mahasiswanya. Di kampus berkenaan, penulis hanya mengungkap dua fakulti dan masing-masing membawa pilihan yang berbeza; fakulti sains dan fakulti sastera. Di akhir pergolakkan, penulis membawa pembacanya kepada suatu fahaman bahawa sains dan sastera itu saling melengkapi. Mahasiswa sains harus memahami mahasiswa sastera dan begitulah sebaliknya. Tidak semua yang boleh difahami mahasiswa sastera dalam soal sains dan tidak semua yang boleh memahami sastera oleh mahasiswa sains tetapi itulah keperluan.

Penulis juga menjadikan analogi kehidupan Archaeopteryx sebagai suatu analogi untuk menyindir sistem yang diamalkan di Kampus Teratai. Apabila menyebut soal Archaeopteryx tentu sekali dapat dikaitkan dengan evolusi terhadap haiwan (dinasaur) yang sudah pupus ini. Dapat dikaitkan bahawa penulis juga membuat kajian dan pembacaan sebelum merangka penulisannya. Itu antara yang menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk sesebuah penulisan. Dalam banyak-banyak dinasaur, saya masih tertanya-tanya mengapa penulis memilih Archaeopteryx sebagai medium analoginya. Seketika ia mengingatkan saya kepada filem Jurassic Park. Secara harfiahnya, archaeoptheryx yang mempunyai kaitan dengan evolusi burung yang mungkin ingin dikaitkan dengan ketamadunan. Cuma di sini, penulis tidak menjadikan Archaeopteryx sebagai simbolik dan analogi yang keterlaluan. Jadi, saya fikir, penulis mungkin sengaja menjadikan ia sebagai analogi.


(gambar dicuplik daripada laman sesawang:
http://dinosaurs.about.com/od/dinosaurpictures/ig/Archaeopteryx-Pictures/Archaeopteryx.-2Hz.htm)


Apabila bercakap soal evolusi yang dinayatakan penulis melalui Cakerawati Teluki, saya sebagai mahasiswa yang masih belajar sains (major biologi) dapat mengaitkan kembali teori Charles Darwin berkenaan evolusi. Dalam pembelajaran saya, silibus sains, kami harus belajar berkenaan teori Darwin yang bagi kami agak mengarut begitu juga yang dirasakan penulis melalui tulisannya. Tidak bermaksud saya mengambil bulat-bulat apa yang dihujahkan Darwin. Hal ini saya kesani apabila saya kembali kepada asas teorinya berkenaan proses endosimbiosis yang menjadi titik tolak kepada suatu hidupan.

Saya memegang kata-kata penulis di muka surat 153, “Kepalsuan tetap dipertahankan walaupun dengan kebenaran yang dipupuskan”. Archaeopteryx pada telahan saya apabila dapat dikaitkan dengan penulisan penulis bisa saja menjadi pertikaian idea yang berlaku dan Archaeopteryx sebagai suatu contoh kepada analogi sebuah sistem yang diteorikan manusia. Namun di sini, bukanlah sistem yang ditentang, tetapi sebuah sistem (yang dieksperimentasi) harus berpandang jauh untuk menampung segala kelompangan.

 “Hidup di dunia urban, engkau memerlukan kekotoran, sekurang-kurangnya untuk memastikan jasmani dan rohmu sama jeliknya dengan teman-teman yang lain.”-muka surat 35.

Pertandingan Bola Sepak sebagai Sebuah Ikatan Persefahaman

Penulis menjadikan pertandingan bola sepak sebagai suatu perlawanan dalam menentukan kejohanan sesuatu agenda dalam masa yang sama bola sepak menjadi wadah dalam membentuk persefahaman. Sedari awal, Syed Nafees sendiri telah bermatlamat untuk memberi homeschooling (ibu bapa yang membimbing pembelajaran anak) kepada Syed Adni dan seterusnya menjadikannya seorang penjaga gol yang berjaya. Syed Nafees percaya dengan homeschooling akan mengurangkan kesan faktor luaran yang membobrokkan pendidikan anaknya.

Permainan bola sepak  diadakan ekoran fakulti sastera dan fakulti sains memperjuangkan soal bahasa dan pembalahan yang berlaku antara dua fakulti. Perkaitan ini digunakan oleh penulis dalam perlawanan bola sepak antara Pasukan Bola Sepak Fakulti Sastera Kampus Teratai dan  Ultras Bitara. Dalam hal ini, apabila Syed Adni tahu bahawa pasukannya harus berdepan dengan pasukan lawan yang merupakan mahasiswa daripada fakulti tempat kakaknya mengajar. Sedar akan perlawanan ini seumpana satu perjudian yang hanya melibatkan kemenangan semata-mata, Syed Adni tidak dapat menumpukan perhatian menyebabkan kekalahan Ultras Bitara. Dengan kekalahan itu, Syed Adni dipukul oleh sekumpulan mahasiswa yang diketuai oleh Azmeer. Permainan bola sepak seharusnya menjadikan kedua belah pihak pemain membina sebuah hubungan persahabatan yang mempunyai persefahaman. Walaupun kalah dalam pertandingan ini, namun Syed Adni tetap menjadi insan yang tidak berdendam hasil didikan ayahnya sendiri. Kekalahan akan menjadikannya terus belajar.

Di sini, saya merasakan kesan didikan secara langsung antara didikan homeschooling dan sekolah arus perdana yang masing-masing mempunyai pro dan kontra. Watak Azmeer sendiri yang merupakan mahasiswa fakulti sains di Kampus Teratai dibayangkan sebagai watak yang terkesan daripada sistem pendidikan yang bobrok yang terlalu jumud dan mengagungkan kemenangan kerana kepuasan semata-mata. Namun, tidak semua masyarakat berupa seperti watak Azmeer. Homeschooling mungkin antara cara yang ingin penulis perkenalkan di dalam novelnya yang belum pernah lagi saya ketahui atas teori keberkesanan homeschooling.

Demokrasi

Di muka surat 47, sebuah kaizer ‘…bilik tahanan mahasiswa di universiti-universiti Jerman lewat 1931. Tempat pelajar dikurung dan dihukum. Manifestasinya daripada gema berontak dari hati’ membuat saya teringat pada sebuah filem yang berjudul Night Train To Lisbon. Pembacaan tentang kaizer di Jerman ini membuat saya ingin lebih mengetahui soal demokrasi. Mahasiswa dikurung kerana keberanian mempersoal dan menuntut hak yang telah dicerobohi iaitu hak dalam bersuara. Persoalan saya yang membuat saya berfikir, di mana demokrasi jika hak dicerobohi, jika janji hanya sekadar janji. Lebih terkesan dengan semangat watak Teluki, Zahlia dan Ahmad Kechana yang sangat berdedikasi memperjuangkan seni sastera itu sendiri.

Sekolah di rumah (homeschooling) dan Sekolah Arus Perdana

Sekolah di rumah (homeschooling)? Tanpa merujuk, saya hanya terbayang pembelajaran di rumah yang dididik oleh ibu bapa dan waktu persekolahan, mereka pergi sekolah. Rupanya, telahan saya meleset apabila saya meneruskan pembacaan bahawa homeschooling merupakan suatu teknik dan sistem yang digunakanpakai sebagai pembelajaran total di rumah. Penulis begitu berani mengetengahkan soal sekolah di rumah yang jarang sekali dapat kita  ketahui  melalui watak Syed Nafees dan Syed Adni (yang merupakan anak kepada Syed Nafees). Sekolah di rumah seolah tidak menjamin masa depan tetapi penulis menafikan pendapat sedemikian dengan syarat-syarat tertentu (di muka surat 176). Syed Nafees membuktikan bahawa dia mampu menjadikan Syed Adni sebagai seorang jaguh penjaga gol dalam bola sepak. Di sini saya melihat sekolah di rumah merupakan pendidikan alternatif yang jauh meninggalkan pengkelasan yang sedia ada dalam sistem.

Saya terkesan membaca syarat-syarat yang diperihalkan penulis untuk menyekolahkan anak di rumah. Dalam hal ini, ibu bapa sendiri harus tahu berkenaan pencapaian dan pelan pembelajaran yang begitu kukuh. Hal ini turut dikaitkan apabila penulis mengaitkan Akiko Yosano sebagai penulis journal berkenaan sekolah di rumah seterusnya menjadikan persekolahan di rumah sebagai suatu perkara yang harus diketengahkan. Penulis percaya bahawa sekolah membentuk hierarki sosial.

Ketegangan tidak memberikan jawapan

Kekalahan dalam perlawanan bola sepak oleh Bitara FC tidak menjanjikan sebarang keuntungan. Begitu juga dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) oleh fakulti sains yang diwakili oleh Aeron. Strateginya yang tidak telus dalam pemilihan dan mempermainkan perasaan pensyarah, Safura Hana menjadi Aeron rasa bersalah lantas menjadikan platform sebagai Ketua MPP untuk memperbaiki segala kesilapannya. Mencetuskan Minggu Ummah, Aeron membawakan tema Teater Demi Palestin. Perbalahan mengenai teater yang dirosakkan (pada awal konflik) segera pudar.

Cakerawati Teluki seterusnya dijadikan tajuk teater yang memberikan makna yang begitu mendalam. Sekali lagi, penulis membuat saya berfikir, mengapa Teluki? Sebuah teka-teki yang harus dikaitkan dengan puitisnya jiwa seni dalam memasyarakatkan masyarakat. Cakerawati sendiri bermaksud kerajaan, dan bunga teluki fikir saya adalah simbol kepada pemilik nama wataknya, Teluki dan sebuah tarikan takrifan cinta. Maka, Cakerawati Teluki saya simpulkan sebagai sebuah negara yang diduduki Teluki, Palestin; segala kegembiraannya telah diragut sekaligus judulnya saja menjadi suatu titik sebuah novel di dalam sebuah pementasan teater.

Sebuah Jawapan

Novel ini diakhiri dengan khatimah (epilog) daripada penulis. Melalui isinya, berdikit-dikit saya mulai mengerti dan klu-klu seolah memberikan jawapan kepada mukadimah novel ini. Salah seorang pelanggan merupakan Syed Adni yang digambarkan sudah mempunyai seorang cucu bernama Imani. Dan Imani pastinya mempunyai darah Jepun apabila Syed Adni menyebut, 'Imani-san'. Pastinya kita dapat menebak dengan siapa Syed Adni berkahwin. Mungkin ada pembaca lain yang gemar membaca prolog dan epilog dahulu bagi memudahkan mereka memahami apa yang ingin disampaikan penulis, tetapi saya lebih sukakan cabaran membaca tanpa menyelak epilognya.

Akhir kalam
Karya Tuah Sujana sekali lagi menjanjikan suatu kesegaran jika pembaca terus menekuni Cakerawati Teluki dengan persediaan ‘pensil’ terutamanya kerana ayat-ayatnya yang tersusun dan terpilih membawa saya terus menyelami setiap pergerakan ceriteranya yang tidak sekalipun mendatar. Kesegaran ini sesekali membuat saya terjentik untuk membuat pembacaan tambahan yang menjadi sumber rujukan penulis dalam penulisannya.


(membaca di Tasik Shah Alam, Seksyen 2)

0 comments:

Post a Comment