Friday, August 1, 2014

Muhamad Terdampar di Pantai



Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Wan Nor Azriq sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.


Ingatan adalah dulang dan kata-kata adalah air yang melimpah daripada dulang itu. Kalau diadakan acara mengimbangi dulang di atas tali, saya yakin, saya adalah orang pertama akan tersingkir. Ingatan saya sangat lemah. Tidak ada satu puisi pun saya pernah hafal dalam hidup saya. Seorang penyair, saya kira, bukan saja mempunyai ingatan yang bagus, tetapi sudah pasti dapat mengimbangi dulang dari hujung tali ke hujung tali sambil masih boleh melompat dan menari-nari di udara. 

Sejarah puisi adalah sejarah para pengimbang dulang. Berapa ramai yang telah memanjat tiang dan meniti tali itu? Berapa ramai yang telah jatuh? Berapa ramai yang masih bermain untuk mendapat secarik sorakan dan ketawa dari dunia di bawah?

Pasti saja ramai. Namun sedikit saja yang mampu bertahan daripada jatuh.

* * *

Robinson Crusoe jatuh ke laut dan terdampar di pantai. Di pantai itulah, menurut Chesterton, lahir puisi paling indah: iaitu barang-barang yang Robinson Crusoe selamatkan daripada bangkai kapalnya (antaranya adalah dua laras pistol, satu kapak, tiga bilah pedang, tiga keju Belanda, dan lima keping daging salai kambing). Manusia membuat senarai kerana manusia diciptakan untuk jatuh dan terdampar. Manusia menulis dan membaca senarai kerana dia ingin mengenang pengalaman sebelum mati.

Pengalaman ketika dia masih berjalan di udara.

* * *

Puisi mempunyai udara dan nafas sendiri. Puisi Muhammad Haji Salleh adalah puisi yang menyeru angin dari dalam kamar sepi. Angin di luar jendela sentiasa meluncur deras; sentiasa menukar musim dan sentiasa menukar usia. Sementara di dalam kamar waktu hanya berdiri kaku. Di penjuru dinding itu pernah ada suara; di atas meja itu pernah ada kenangan. Tetapi suara dan kenangan telah lama ditinggalkan: "bertahun sudah aku dipaksa/ hidup di luar diriku,/ lebih mengenal kawan dan lawan/ dari sepi/ yang kuperlukan."

Muhammad menyusun kata ibarat menyusun batu-batu kota Ithaca dan dia adalah sang Odysseus yang mencari jalan pulang. Namun puisi Muhammad adalah puisi yang meluaskan jarak antara kata dan makna; antara suara dan kesepian; antara siang dan malam; antara masa depan dan masa lalu. Dalam puisinya pulang si tenggang, Muhammad kata dia telah mengankut dirinya pulang "setelah diperbesarkan oleh rasa percaya,/ dilebarkan oleh tanah dan bahasa-bahasa." Tetapi Muhammad tidak pernah pulang.

Puisinya masih mencari kota Ithaca di tengah lautan.

* * *



Sebahagian daripada tipografi menarik dalam buku ini

Judul buku puisi Muhammad Haji Salleh yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia adalah jatuh ke laut menjadi pulau. Tiga jilid dan mengumpulkan semua sajaknya. Saya tertanya-tanya juga: kalau Muhammad  memang sudah menjadi pulau, sudah adakah kapal yang datang berlabuh di pantainya?

* * *

Di pantai itu ada seorang lelaki memeluk kanvas dan warna sebelum akhirnya ombak jatuh terhempas dan dia meraung sendiri tanpa sebab.

* * *

Puisi-puisi awal Muhammad meraung mengajak bicara. Mencari ruang tengah antara kata dan makna seperti yang tertulis dalam puisi tanpa kata:


tanpa kata
aku hanya merasa,m
meraba makna.
dengan kata
aku akan renangi
laut di antara kita.


Ternyata buku sajak-sajak pendatang adalah karangan pelaut yang belum mengenal jarak dan usia. Dia masih sedang belajar mengimbangi kedua-dua kakinya seperti tergambar dalam sebuah puisi: 


di sini tak ada pilihan,
hanya keterlibatan,
hanya kepedihan dan kejayaan,
selutan kata-kata
dan gagasan yang payah dikahwinkan.

Namun dari awal lagi nampaknya dia sudah percaya hanya "tuhan yang menjadikan keabadian" sementara di dalam kamar puisi dia hanya mampu berdiri kaku seperti tertulis dalam puisi lain pulak:


akal berhenti
pada suatu titik
di sini aku hidup
pada kematian detik.

* * * 

Detik adalah kefanaan. Hidup ini selama-lamanya mencipta kenangan daripada pandangan seperti yang ditulis oleh Sapardi Djoko Damono dalam Jarak:


dan Adam turun di hutan-hutan
mengabur dalam dongengan
dan kita tiba-tiba di sini
tengadah ke langit: kosong sepi...   

* * *

Tetapi kesepian juga yang memaksa Muhammad mengumpulkan kata kerana hanya melalui kata dia dapat menemui jalan pulang:


apakah tempat permulaan ini
juga hujung jalan
yang berbelok kembali,
dan diri yang melangkah
ke depan juga mundur ke belakang?


Kenapa manusia sering berundur ke belakang? Barangkali dia penat; barangkali dia terjatuh di tengah jalan. Tetapi selalunya kita berundur kerana ada sesuatu yang kita tinggal di belakang.

Ibarat barang-barang di dalam bangkai kapal Robinson Crusoe.

* * *

Robinson Crusoe mempunyai barang yang terhad. Sementara barang-barang dalam kehidupan harian kita tidak terhitung jumlahnya. Malah banyak saja yang kita sering terlepas pandang. Puisi, secara mudahnya, adalah melihat - sedekat yang mungkin. Bagi Georges Perec, di sebuah kafe pun boleh ditemui puisi; kita hanya perlu tahu cara untuk melihat:

"Kafe. Berapa kafe yang ada? Satu, dua, tiga, empat. Kenapa kafe ini kau pilih? Sebab kau sudah biasa, sebab ia dipayungi matahari, sebab ia menjual rokok. Kedai-kedai lain: kedai barang antik, kedai baju, kedai hi-fi, dll. Jangan kata, jangan tulis 'dll.' Usaha sungguh-sungguh untuk lesukan subjek kau pilih, walaupun ia akan nampak jengkel, atau sia-sia, atau bodoh. Kau belum melihat apa-apa, kau hanya memilih sesuatu yang sudah lama kau pilih."

* * *

Muhammad memilih dan mengumpulkan kata dalam buku sebutir zamrud di deru selat seperti seorang Darwin yang singgah di pulau-pulau berbeza mengikut musim. Namun benda-benda yang dilihat oleh Muhammad di pulau-pulau itu hampir sama saja. Sekejap di pantai, sekejap di atas batu, sekejap di bawah pokok, sekejap di tebing sungai, sekejap di depan bunga, sekejap di depan jendela, sekejap di atas batu, dan kemudian di atas batu lagi. Malah sederet batu besar di pantai itu sama saja dengan sederet puisi dalam buku ini:


apakah batu besar
yang berdiri di lereng
penghias bukit
atau saksi kepada
kesementaraan kita -
kejayaan yang kerdil
dan kuasa yang berasap di kepala.

tanpa gerak
tanpa pameran perasaan
batu ini meraung
dan mungkin tersenyum.


Puisi-puisi Muhammad dalam sebutir zamrud di deru selat juga adalah "tanpa gerak" dan "tanpa pameran perasaan." Muhammad datang kepada alam dengan mata dan tangan seorang pemikir Melayu. Bukan seorang penyair. Pokok kelapa tidak dilihat sebagai pokok kelapa, tetapi dilihat sebagai orang Melayu: "apakah yang kau lihat/ di alun selat,/ apakah kerenah manusia/ membunuh bangsamu?" Dan alam juga menjadi semacam istana kuno yang mengukuhkan sentimentaliti Muhammad kepada zaman keagungan bangsa Melayu: "hutan terdiam/ mendengar bisik/ ingatan purba."

Puisi Muhammad adalah puisi yang sentiasa ingin bebas daripada menjadi puisi. Ia adalah puisi yang meragui usianya sendiri.

* * *

Usia Muhammad Haji Salleh adalah usia yang panjang. Kita akan datang kepada konklusi itu apabila kita selesai mengharungi ketiga-tiga jilid buku puisinya. Kita akan terduduk diam mengubat lelah dan akan terlintas di fikiran kita imej lelaki tua yang telah berjalan jauh dan berenang jauh dan kini terdampar di pantai sebuah pulau terpencil bersama segelas air avokado di atas dadanya. Tidak ada penyair Malaysia yang telah pergi sejauh Muhammad Haji Salleh. Latiff Mohidin masih terperangkap dalam lumpur Sungai Mekong dan T. Alias Taib telah lama terlena di puncak rumah api. Hanya Muhammad Haji Salleh yang telah berjaya mengheret puisi Malaysia sampai ke pintu kota Troy dan menawannya.
Masalah Muhammad adalah dia tidak tahu bagaimana untuk pulang dan bagaimana hendak berhenti perang dengan kata.
Puisi Muhammad berhenti menjadi puisi dalam buku setitik darah di bilik bundar. Dia menemui makna dan dengan menemui makna dia mengorbankan kata.
Puisi Malaysia selepas Muhammad adalah puisi yang mesti kembali pulang ke dalam pelukan seorang perempuan.
* * *
Perempuan. Beberapa tahun lalu saya pernah cakap kepada Aidil Khalid yang sastera Malaysia itu adalah lelaki sementara sastera Indonesia itu adalah perempuan. Alasan saya adalah kita lebih mencintai makna daripada kata; kita lebih mencintai siang daripada malam.
(Indonesia sampai sekarang masih malam dan saya menanti juga hari ia akan menjadi siang.)
Dalam puisi Muhammad Haji Salleh tidak ada sisi seorang perempuan. Kecuali sekali saja. Dan pada masa itulah lahir buku terbaiknya: Salju Shibuya.
* * *


Salju Shibuya dibahagikan kepada empat musim: panas, gugur, sejuk, bunga. Di setiap musim ini, akhirnya, Muhammad melepaskan diri daripada beban fikiran dan ingatan dunia lama. Dia menyerahkan diri kepada kata untuk berbicara dan ada banyak kalimat indah yang boleh diturunkan di sini:


xii
petang bergantungan pada ampai awan,
waktu bertalu turun ke rumput,
dan menyambung hayat di tanah

iv
jam arik
melekap pada gelisah tembok,
dan membangunkanku
kepada keluhnya

xii
kubawa pulang matahari
dalam kantung ingatanku,

iv
bukalah pintu -
di belakang ada sepi
berdandan sendiri

xxviii
bersusun akar
turun ke air
matahari lebur di kolam

vii
seperti rontok
hujan membocorkan usia
kepada pergerakan air

* * *

Ibarat pusaran air: puisi mencipta kerusuhan dalam diri seorang penyair. Barangkali sebab itu saya tidak menulis puisi. Saya tidak mahu jatuh ke dalam pusaran itu.

Penyair adalah manusia yang berani. Mereka bersedia untuk mati demi mencari kata-kata di dasar jurang yang gelap dan sepi.

0 comments:

Post a Comment