Tuesday, July 22, 2014

Tentang Pertanyaan: Sebuah Kumpulan Puisi Kejujuran

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Hafizul Faiz sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.

Kumpulan Puisi Tentang Pertanyaan

Saya memilih Tentang Pertanyaan kerana; melihat unsur-unsur yang digarap cermat oleh penulisnya, dan inti-inti kejujuran yang disusun halus serta makna-makna yang tersirat di balik baris-baris pertanyaan yang disuarakan amat dekat dengan saya selaku seorang remaja.

Sinopsisnya yang ringkas menimbulkan gerabak pertanyaan, seperti judul buku kompilasinya. Tidak hairan dengan kemenangan hadiah saguhati, penulisnya, Hani Salwah bijak meramukan perasaan dengan puisi-puisi ringkas yang berlapis maksud. Seperti hati penulisnya yang barangkali sayu, saya fikir, kelahiran puisi-puisi seperti puisi Cinta (II) dan Cinta (III), serta puisi-puisi seperti puisi Seperti Kota, Khayalan Nakal Yang Ingin Berubah Menjadi Puisi dan Kembali (juga puisi-puisi yang lain yang akan saya huraikan) adalah rumusan bahawa unsur dekonstruksi adalah manual yang tepat, yang ingin saya aplikasikan di dalam meneropong jauh puisi-puisi Hani Salwah ini.

Penulisnya membahagikan buku ini kepada tiga bab menerusi Pertanyaan I, Pertanyaan II dan Pertanyaan III. Kalimah pertanyaan ini sebahagian daripada kalimah hipnotik yang menggambarkan kegelojakan yang kuat, atau kerontaan, atau dalam kata yang mudah penulis terlalu inginkan sesuatu yang tidak mampu diungkap tetapi mampu dijalin dan disulam indah dengan kata-kata yang disayapkan – ertinya menerusi pemilihan pertanyaan ini, penulis seakan bertanya kepada semua perkara dan pengakhirannya, penulis belum tentu menemui jawapannya.

Hal ini jelas ketika mukasurat 2, puisi pertama yang saya baca iaitu puisi Pertanyaan Kepada Engkau. Saya memikirkan “Engkau” dengan huruf besar E merujuk kepada Tuhan. Tetapi ia tidak semestinya begitu kerana format judul sesebuah puisi memang ditulis sedemikian. Tetapi “Engkau” yang ditujukan pertanyaan ini terlalu subjektif apabila empat baris puisi ini ditatap berulang kali. Misalnya, penulis memilih perkataan “menggantung mimpi” dan “jemari malam”. Perkataan-perkataan ini adalah hiperbola yang agak kuat.

menggantung mimpi 

di jemari malam?

Saya mula menyangka bahawa penulis barangkali mempunyai suatu cita-cita yang sukar digarapnya. Maksud bahasa “Jemari” memberitahu tentang kelemahan. Seperti mimpi yang digantung kepada kelemahan, ia seakan sukar diperolehi. Nada harapan ini jugalah yang terungkap di dalam puisi Surat Cinta menerusi bait;

bila dan bagaimana puisi cinta itu dibalas

dan jawapan itu

Hanya ada pada-Nya

Bait ini jelas akhirnya penulis memulangkan harapan itu kepada Yang Mencipta Harapan itu sendiri. Saya kagum apabila penulis seakan tahu tentang manusia normal yang inginkan pelbagai perkara dalam kesedaran bahawa segalanya telah ditentukan oleh Tuhan. Manusia seperti melemparkan harapan itu menjadi cinta yang bergentayangan di dada langit, Ada cinta yang bergentayangan dan penulis menyambungnya lagi, di dada langit. Penulis sedang mengumpamakan cinta itu seperti bintang di langit dan setiap satu bintang ada harapan (menerusi bait pada setiap satunya tertulis puisi) dan setiap harapan itu memuji Tuhannya juga (menerusi bait memuji setiap rasa penciptanya).

Harapan semakin perlahan diperhalusi oleh penulis di dalam puisi Yang Benar Terlambat apabila unsur kekecewaan digambarkan dengan jelas sekali;

Kebenarannya

aku tiba terlalu lewat

ketika kau sudah menjalin kelarai indah

dari jalur berwarna-warni yang kaulurut

melalui tirai masa dan kesabaran

Nada harapan dihembus dengan kebenaran yang tidak mampu diubah lagi. Perkataan kelarai indah dan yang kau lurut menguatkannya dan pengakhiran perenggan pertama puisi ini melukiskan bahawa penulis mengikuti setiap masa yang dilalui oleh insan yang dimaksudkan di dalam puisi ini; melalui tirai masa dan kesabaran.

Bab kedua, Pertanyaan II juga dimulakan dengan puisi empat baris, seperti Pertanyaan I. Nada pertanyaan yang jelas disimpulkan ini adalah tema yang kuat digarap penulis. Menerusi puisi Hakikat, penulis merasa ketidakpuasan hati apabila sebuah perasaan sukar dimengertikan dengan segumpal kata-kata;

Sebenarnya 

tidak cukup menulis perasaan

dengan kata-kata

Dan yang paling inspiratif apabila penulis bijak menggambarkan sekeping hati dengan seketul daging yang mempunyai sejuta gelombang. Penulis merasakan bahawa ketidakmampuan kata-kata menggambarkan perasaan yang penuh itulah yang menguatkan gelombang kata-kata, yang akhirnya bukan hanya seorang manusia mendapat kesannya, bahkan satu dunia. Mukasurat 25, puisi Tentang Kerinduan sekali lagi memotret indah sebuah kekecewaan tetapi kali ini berpakaiankan kerinduan.

Perlukah aku membenarkan

ingatan tentangmu

lena di ranjang hatiku

Kerinduan itu sakit; kata-kata yang digambarkan penulisnya membuktikannya. Pemilihan kalimah erotik seperti “ranjang” misalnya adalah gambaran sakitnya sebuah kerinduan. Pengakhiran puisi ini menimbulkan cliffhanger (suatu pertanyaan yang tergantung) iaitu benarkah penulis yang sakit merindui atau orang lain?

yang semestinya

bukan tentang diriku

Menoktahkan kekecewaan dengan puisi Yang Terbit Bersama Pagi adalah pilihan yang tepat dibuat oleh penulis. Penulis menyulam falsafah malam dan pagi dengan sangat halus. Malam itu akan berakhir, pagi akan tiba selepasnya. Kesakitan malam akan berakhir setelah pagi tiba. Penulis tahu malam yang penuh dengan kekecewaan akan hilang setelah pagi tiba (dan ia juga suatu harapan yang kurang pasti kerana di akhirnya penulis masih berteka-teki). Baris perenggan pertama (7 baris), kedua (5 baris) dan yang terakhir (4 baris) menunjukkan bahawa pengakhiran akan semakin ringkas dan padat biarpun kesakitan pada mulanya panjang. Penggunaan alam yang cukup sinonim, laras bahasa yang cukup jujur dan pengakhiran yang berteka-teki adalah simbol kepada sebuah puisi yang memotret penuh sebuah perasaan biarpun ia masih belum lengkap dan sempurna.

Pertanyaan III juga bermula dengan Pertanyaan Kepada Bintang Dan Langit dengan puisi yang pendek seperti permulaan Pertanyaan I dan II. Penulis mengembalikan pembaca kepada tema asalnya, iaitu pertanyaan. Puisi Cinta II (dan saya mencari di mana puisi Cinta I) adalah suatu kelangsungan yang menggambarkan betapa merontanya jiwa penulis.

ketika kau datang menegur dan memalingkan muka

ketika kau bertanya dan kemudian tidak berbuat apa-apa

Penulis kecewa dengan sikap acuh tak acuh kekasihnya apabila menegur sekadar syarat kemudian tidak berbuat apa-apa. Manusia perlukan cinta sebagai sebuah usaha, bukan hanya sebuah kata-kata. Kata Mata ialah pilihan penulis; iaitu diam dan sepi;

Berkata 

dengan mata

adalah memasuki

jendela yang kadang

jarang mahu diselak langsirnya

Setelah pada akhirnya penulis mengatakan sesuatu sebagai kejujuran dan harapan, menerusi puisi Ketika Kau Membaca Puisiku. Penulis tahu mungkin insan yang dimaksudkan tidak memahami bait bicaranya yang berselirat seribu.

adakah kau benar fahami

setiap hujan yang merintik

Penggunaan “hujan” sebagai perumpamaan kepada puisi ialah suatu metafora yang luar biasa. Kata seperti hujan yang merintik pada cinta di lopak rasa – kerana penulis ingin memberitahu bahawa kata-kata yang ditulis itulah sebenarnya cinta. Dan kata-kata yang dicipta adalah pertanyaan yang memerlukan jawapan. Namun sebelum jawapan itu tiba, penulis menyimpulkan, pertanyaan yang hadir itu dimulakan sendiri oleh insan yang ditujukan puisinya.

Membaca puisiku

aku ingin pelangi bersinar riang

dan kautemui jawapan

untuk setiap tanda tanya

yang kau mulakan

0 comments:

Post a Comment