Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Marsli N.O sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
PUISI tidak lain adalah wadah ekspresi bagi seorang penyair. Melaluinya penyair merakam, meluah dan menyatakan perasaan, sikap hidup, fikiran dan tanggapannya mengenai dunia serta masyarakatnya. Dalam meluah serta menyatakan ini, lantaran masing-masing penyair terbentuk oleh jalur pengalaman dan pengetahuan yang berbeza maka dari puisi-puisinya akan terserlahlah ciri-ciri yang khas milik peribadinya.
Justeru itu sekaligus juga membaca sebuah puisi seorang penyair dengan penyair yang lain akan dapat ditemui kelainan sama ada dalam bentuk pengucapan mahupun sikap serta cara bagaimana dia menanggapi fenomena hidup, dunia serta masyarakatnya. Dalam kata lain, di tangan seorang penyair puisi tidak lagi sekadar tembang melulu atau omongan kosong tetapi sekaligus juga telah berubah menjadi tanda keperibadian miliknya sendiri.
Tentu saja untuk dapat mencapai tahap ini, penyair tidak mungkin dapat membinanya dalam waktu sekejap. Tentu saja mahu tidak mahu perlu ditempuh terlebih dahulu segala cabar serta duga hidup, baik yang sifatnya fizikal mahupun metafizik.
Namun segala pergulatan ini, jika tidak segera dibarengi pula dengan sikap intelek dan keberanian untuk menyatakan sikap secara berterus terang, tentu saja hasrat untuk mencapai tahap ke suatu pengucapan yang menjadi tanda pengenal peribadinya sebagai penyair adalah mustahil.
Justeru untuk menyatakan keperibadiannya lewat puisilah maka pelbagai cara pula dilaksanakan oleh penyair. Ada segelintir penyair menyatakan keperibadiannya lewat pemilihan kata yang khas miliknya sementara bagi sebahagian penyair pula cukup dengan menyatakan sesuatu seperti apa adanya sahaja. Bagi kalangan penyair ini, yang dipentingkan adalah cukup menyatakan sesuatu menurut apa yang diinginkannya secara jujur, tanpa sebarang pretensi untuk menunjuk-nunjuk kehebatan diri atau puisinya atau mengada-ada. Segala sesuatu dinyatakannya secara polos dan langsung. Sehingga kadang-kadang sampai terkesan pula pendapat yang menyebutkan betapa puisi adalah kata-kata terbaik di dalam susunan yang terbaik itu telah pun dilanggar.
Fenomena ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru atau langka. Di Indonesia sekitar tahun 1970-an, Remy Sylado lewat majalah Aktuil telah mengepalai segerombolan penyair Indonesia dengan puisi-puisi bergaya memblingnya. Barangkali kerana sama terserap semangat membling ini jugalah sekitar tempoh waktu yang kurang lebih sama, salah seorang tokoh teater Indonesia, mendiang Ariffin C. Noer juga turut tampil dengan sebuah kumpulan puisinya berjudul "Kerana Jajang" yang mana menampilkan puisi-puisinya dengan bahasa yang seadanya dan lugu. Antara puisinya yang sering diperkatakan ialah puisi "Kerana Jajang": "Tuhan/ aku minta duit/ mahu beli Sugus/kerana Jajang/ lagi doyan Sugus.
Di tanah air kita roh membling dan lugu ini sebanyak sedikit dapat juga dikesani dalam puisi-puisi awal Ladin Nuawi yang dihasilkan sekitar tahun 1980-an seperti yang termuat di dalam kumpulannya "Luka", "Pemain Puisi" dan "Peta Puisi Malaysia".
Di samping Ladin, roh puisi yang sama kelihatan juga dalam puisi-puisi Sani Sudin yang termuat dalam antologinya "Di Dalam Dalam" yang sebelumnya telah diterbitkan oleh Penerbitan Tinta Etika, Kuala Lumpur pada tahun 1999 dan tahun 2014 ini diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan penambahan sebanyak 82 sketsa hasil coret Sani Sudin sendiri.
Memang, di peta sastera tanah air kita nama Sani Sudin jarang disebut secara jelas dan tegas sebagai salah seorang warganya. Namun bagi Sani Sudin ini kelihatannya tidak pernah meresahkan beliau. Dengan tekun dan yakin Sani Sudin tetap merenda serta merangkaikan kata, tanpa peduli apakah yang ditulisnya itu nanti akan dinobatkan sebagai puisi ataupun tidak dan kerana itu jugalah secara terbuka Sani hanya mengisytiharkan kumpulan puisinya ini sebagai "suatu catatan".
Apa pun, sama ada apa yang dihasilkan Sani ini layak atau tidak dinobatkan sebagai puisi, sikap dan keperibadiannya adalah jelas. Sani berbicara seadanya sahaja dan dalam kebersahajaannya itu, Sani mengambil kesempatan untuk menyindir dan menyatakan kesinisannya mengenai pelbagai isu.
Ini misalnya dapat dijengah di dalam puisinya "Dalam 14": kita ini/ sama saja/ tidak bodoh/ tidak pandai/ tidak punya/ apa-apa// dalam pandai/ ada bodoh yang/ tersembunyi/ dalam bodoh/ ada pandai yang/ tersendiri!.
Atau "Dalam 15" Sani menyatakan: kerana/ sebab/ alah malu// ingin/ ditegakkan/ benang yang telah// kau basahkan dengan wudukmu?/sedangkan jelas kau/ berdiri bertentangan/ dengan/ kiblat manusiamu!
Mengenai persengketaan yang bagaikan tidak kunjung usainya sesama manusia, Sani seakan menyindir kita melalui "Dalam 49": mari kita main perang-perang// aku tembak!/ kau mati// kau tembak/ aku tak mati!.
Memang tidak dinafikan dalam kumpulan ini kedapatan juga beberapa karya Sani Sudin yang dapat dipertanyakan kembali apakah ini layak dipanggil puisi atau hanya suatu catatan melulu.
Ini misalnya seperti yang terlihat dari karyanya dengan judul "Dalam 1", "Dalam 4", "Dalam 5" atau "Dalam 20" yang mencatatkan" aku bukan penyair/ saja tangan ini/ gatal-gatal ……/ ……meraba?
Namun di sebalik pertanyaan, rasanya wajar juga jika kita sama bertanya kembali kepada diri sendiri. "Dalam 12" Sani memang mengajak kita berbuat demikian bila menyatakan: MERDEKA!/ MERDEKA!!/ MERDEKA!!!/ Merdeka?
Karya pendek ini memang sekali imbas kelihatan bagaikan bermain-main dan tidak ada ertinya. Tetapi jika kita lanjut merenung, tentu kita akan tersentak menghadapi kenyataan betapa dalam keghairahan kita saban tahun melaungkan kata ini, kita sebenarnya sudah memerdekakan apa? Tentu saja jawabnya terserah kepada masing-masing peribadi.
Melalui bahasanya yang bersahaja dan lugu kesan sinis dan menyindir Sani sangat terasa. Di samping ciri bahasanya yang demikian, Sani Sudin kelihatannya juga memanfaatkan unsur-unsur viusla dan topografik. Ini misalnya dapat dijengah dari puisi-puisi beliau dengan judul "Dalam 51", "Dalam 52", "Dalam 55", "Dalam 56" dan "Dalam 58".
Memang dengan hanya sebuah kumpulan berjudul "Di Dalam Dalam" ini masih terlalu awal untuk menobatkan Sani Sudin sebagai penyair, apa lagi dalam kategori penyair tersohor. Malah Sani Sudin sendiri pun memang tidak pernah mengaku secara terbuka di depan teman-teman dekatnya bahawa beliau seorang penyair.
Tetapi, sebarang usaha untuk cuba menolak kehadiran Sani Sudin dengan dan di dalam kategorinya yang tersendiri di tengah peta perpuisian atau sastera tanah air kita secara khususnya, tetap merupakan suatu tragedi.
Kerana, Sani Sudin telahmembuktikan keberadaannya dengan buku yang sedang di tangan anda: Di DalamDalam !
Oleh MARSLI N.O
S E L E S A I
0 comments:
Post a Comment