Ulasan Buku Balai Maqamat di Berita Harian, 18 Julai 2014. |
Karya terbaru Mohd Affandi Hassan ini tidak syak lagi akan menambah koleksi ketegasan beliau mengenai gagasan Persuratan Baru yang dipeloporinya sejak beberapa dekad yang lalu. Balai Maqamat (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2014, 400 hal) adalah pengulangan kritikan dan pengabsahan beliau terhadap dunia filosofi dan kepengarangannya. Ia tidak jauh daripada hasil karyanya yang lalu, iaitu Matinya Seorang Pahlawan (1971), Le Masque (1974), Mimpi Rakyat (1985), dan Pura Bajungga (1990) yang merupakan kumpulan cerpen dan Aligupit (1993), Jejak Warisan (1994), Tampang Sasterawan (1994), Wajah Pendeta (1994), dan Pujangga Melayu (1997), iaitu kuartet novel-novelnya. Walaupun pendekatan gagasan Persuratan Baru tidak semaju Teori Takmilah yang digagas oleh Shafie Abu Bakar, gagasan Persuratan Baru begitu kuat didokong oleh Engku Maimunah Mohd Tahir, sarjana yang telah melakukan kajiannya terhadap teori tersebut. Antara karya yang disorot oleh Ungku Maimunah ialah Salam Maria karya Fatimah Busu. Namun kerana pendekatan yang kurang berhati-hati oleh Ungku Maimunah menyebabkan teori yang dijuruskannya itu telah memakan dirinya sendiri Natijahnya, gagasan Persuratan Baru semakin tidak popular.
Antara lain kelemahan gagasan ini ialah contoh karya yang dikatakan Persuratan Baru yang sebenarnya tidak ada. Gagasan ini timbul adalah kerana Affandi Hassan mencipta untuk melihat karyanya sendiri. Di peringkat awal gagasannya, karya Affandi sangat mirip kepada sosialisme sepertimana karya-karya Kassim Ahmad dan pendukung sosialisme yang lain. Namun, lama-kelamaan, karya Affandi menjurus kepada menyerang pemikiran dan ideologi penulis-penulis lain yang dikatakan tidak mendukung falsafah kemelayuan dan Islam yang sebenar. Balai Maqamat kali ini seolah-olah meletakkan semua pengarang sastera tanah air tanpa mengira generasi pada kotak pemikiran yang sama kecuali penulis yang bersedia menerima gagasan beliau secara menyeluruh. Sikap itu yang ditambah dengan kritikan keras Affandi juga menjadikan jurang antara beliau dengan orang yang dikritiknya secara pedas dan berlapik (Nazmi Yaakob, 2014) Jadilah karya-karya mutakhir Affandi terutamanya kuartet novelnya sebuah sodoran makian dan sindiran. Lantas kebanyakan karya seumpama ini tersisih daripada penelahan dan bacaan umum. Ini barangkali lebih menyakitkan hati Affandi untuk menyalahkan pihak-pihak tertentu terutamanya para sarjana sastera yang tidak berusaha mentrompetkan gagasan tersebut. Hal ini kelihatan dalam Balai Pertama, bab awal novel (atau kumpulan cerpennya kali ini) katanya;” saya mahu bacakan sajakku ini untuk saudara renungkan dengan objektif.
Sarjana Ciritan
Aduhai malang Pak Sarjana
cakapnya tinggi ilmunya ciritan
ada fakta dijeling saja
analisis awak berciritan
no argument only statements
umang-umang di kulit siput
bila ditegur melenting mencarut
perut kembung tak mahu barut
muncullah badut memakai jubah
menjerit-jerit di pentas ilmiah
suaranya besar hingus meleleh
cakapnya tinggi terkentut-kentut
wahai Pak Kaduk dan Lebai Malang
panggillah Pak Pandir serulah Si Luncai
mari bertepuk mari bersorak
anda semua sudah berteman
kini terjongol Sarjana Ciritan
darjat anda sudah dinaikkan!
Saya menulis bukan untuk sarjana ciritan ini. Saya tidak mahu karya dinilai oleh sarjana yang “cakapnya tinggi, ilmunya ciritan, ada fakta dijeling saja, analisis awak ciritan” (hal. 9) Saya sendiri tidak tahu apakah Balai Maqamat ini sebuah kumpulan cerpen atau novel atau sebuah persuratan baru yang dicanangkannya. Justeru, memasuki Balai Maqamat yang berada di antara genre novel dengan kumpulan cerpen ini bermakna membuka pintu untuk melihat kembali Gagasan Persuratan Baru yang diajukan dan dipertahankan oleh pengarang kelahiran Kelantan ini (Nazmi Yaakob, 2014) Balai Maqamat terbagi kepada empat balai, iaitu Balai Pertama, Balai Kedua, Balai Ketiga dan Balai Keempat. Di dalam balai-balai ini terkandung cerita-cerita kecil antaranya Pandai Tulis, Tenggelam Dalam Arus, Pertemuan Dua Rohani, Rumah Impian Polan Cupan, Peniaga Angin, Pandai Belit, Orang Berjasa, Kasut dan Hati Perempuan, Zaman Hanyut, Penyanyi Pujaan, Sampul Derma dan lain-lain. Judul cerpen-cerpen (atau bab) ini adalah judul-judul yang sinonim dengan karya-karya Affandi sebelum ini. Dalam Balai Pertama mengandungi enam cerita yang relatif panjang sepertimana karya-karya cerpen awal Affandi. Balai Kedua mengandungi lapan cerita yang lebih kontot seakan anekdot yang jarang kita lihat dalam cerpen Affandi. Balai Ketiga mengandungi juga lapan cerita dan begitu juga lapan cerita di Balai Keempat. Cerita dalam Balai Ketiga menyorot kebobrokan orang Melayu terutamanya orang politik dan penguasa Melayu. Balai Keempat lebih menumpukan kepada dunia antarabangsa. Sebuah puisi yang menekankan kebobrokan antarabangsa ialah Aib Abu Gharib (hal. 315).
Iraq sejak dulu medan pertempuran
Syiah menipu Hussein dengan sokongan
ketika cucu nabi sampai ke Karbala
mereka membiarkan pembunuh memenggal kepala
baginda
penyesalan abadi tidak tertebus dengan seksa diri.
Syiah muncul sebagai duri dalam daging Sunni
kini mereka menjaga kekuatan Amerika
sahabat kaum Yahudi pengkhianat Islam sejati
meneruskan pembohongan dan penipuan sejarah
memberi perlindungan kepada penjajah
Kekejaman berganti kezaliman
menyerlah warna sebenar satu kebiadaban
Abu Gharib lambang kebiadaban pencerobohan.
Di atas runtuhan bangunan dan mayat pejuang
dalam senyuman para pengkhianat
para penjual maruah dan kemerdekaan
demokrasi dan kebebasan berlumuran darah.
Kebebasan hanya untuk menjadi hamba
demokrasi untuk memilih pengkhianat negara
Abu Gharib bukan satu keaiban
bukan hanya gambar memalukan para tahanan
atau senyuman puas para penindas
wajah sebenar daripada semua itu
ialah kebiadaban yang dipaksakan ke atas Islam
Atas nama kebebasan dan demokrasi
Arab nasionalis menyerahkan maruahnya untuk
ditelanjangi
telah menghina sejarah dan peradaban sendiri
hanya untuk menguasai kerajaan
dan menjadi abdi sebuah kebiadaban.
Menerima budak suruhan CIA sebagai ketua
menjadi kedaulatan hanya seberkas bunga
hadiah istimewa mengkhianati negara
membenarkan penjajahan berkuasa semula
...
Jangan kaumimpi lahirnya Salahuddin Ayyubi
kaum Kurdish kini peminum arak
penzina dan pemaju maksiat
mereka bukan pewaris Ayyubi
mereka kini hamba dan pengikut kaum Kitabi
mereka inginkan daerah mereka untuk Amerika
membekal minyak untuk berjuta-juta tong arak
Kurdish dan Arab nasionalis memalukan Salahuddin
Ayyubi
mereka mengkhianati jihad para syuhada
mereka najiskan semua syiar Islam
merekalah yang pertama harus dijahanamkan.
Jika kau, umat Islam, percaya Islam akan bangkit
kau perlukan seribu Usamah bin Zaid, panglima
pilihan nabi
seluruh perjuanganmu namanya hanya Usamah
dengan seorang Khalid al-Walid yang berani
seluruh penjajahan di tanah silam ditebus kembali
Islam hanya selamat di tangan al-Rasyidun
Islam hanya kuat di tangan mujahidun
Puisi panjang ini mengisi empat halaman muka surat (315-318) yang dijadikan satu bab. Melihat puisi ini, jelas sekali pengaruh sosialisme Kassim Ahmad dalam Lulumba Mati (Kemarau di Lembah, 1984) Demikian juga puisi Amerika Pejagal Dunia pengganas Antarabangsa (hal. 370-372)
Carl Sandburgh sang penyair pemuja Lincoln
sombong memuji: Chicago, Pejagal Babi bagi dunia
sarang pengganas pembunuh jalanan
pelaris pelacuran pusat maksiat negara
kini pasti bertambah bangga
kerana Amerika sudah ditakhtakan
sebagai penjagal Dunia pembunuhan umat Islam
pengganas antarabangsa pemusnah keamanan
di mana Amerika berada, wajahnya berubah-ubah
tetapi tetap asli sebagai pembunuh angkuh
megah memperaga kekuatan, tapi gagal
menyekat keruntuhan Pusat Dagangannya
Corak hidup jahiliahnya diberi nama demokrasi
sesiapa bebas untuk memihaknya, demokrasi yang
dikerasi:
" Kamu bersama kami, atau bersama pengganas!”
Kata dua itu bukan pilihan, kerana salah satunya
Tetap memihak kepada pengganas yang bernama
Amerika
Keagungan kemajuannya dalam pembunuhan
di negara sendiri, di sekolah, di seluruh dunia
pejagal manusia sejagat, pengganas antarabangsa
...
jika Carl Sandburgh masih hidup dan melihat debu-debu itu
dia tetap memuji: Chicago, Pejagal Babi bagi dunia
[pusat kejahatan sejagat sumber keganasan manusia
pusat semua kejahatan dan kezaliman
Amerika yang jahiliah, pejagal manusia sejagat
pengganas antarabangsa pengamal demokrasi yang
bejat
(7 Oktober 2001, sempena serangan Amerika ke atas Afghanistan)
Inilah bentuk penulisan Gagasan Persuratan Baru Affandi Hassan. Affandi dalam usia 74 tahun sekarang (Affandi lahir pada 9 Mac 1940, di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor, Kota Bharu, Kelantan) masih mempunyai stamina yang tinggi dalam penulisannya. Menurut Nazmi, membaca Balai Maqamat bakal menemukan kritikan daripada ranah kesusasteraan dan kebudayaan sehinggalah medan politik, pemikiran serta kesarjanaan yang sememangnya masih menimbulkan permasalahan dalam konteks tanah air. Kritikan yang kemudian menimbulkan wacana dalam pemikiran pembaca sudah tentu sentiasa berulang selagi akar permasalahan yang dihadapi oleh bangsa ini tidak diselesaikan secara ilmiah. Dan selagi tidak diselesaikan di medan ilmu, Affandi akan terus mengkritik melalui “gagasan persuratan baru” atau karya-karyanya berbentuk cerpen atau novel. Ini tidak syak lagi akan dilakukan oleh Affandi.
0 comments:
Post a Comment