Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Hafizul Osman sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.
Seni halus ataupun dalam perkataan bahasa Inggerisnya disebut sebagai fine arts merupakan salah satu cabang dalam lapangan seni di dunia. Seni halus merangkumi pelbagai genre seperti lukisan, arca, persembahan seni badan dan sebagainya. Cabang seni ini sudah pun wujud sejak beribu-ribu tahun yang lalu walaupun dijadikan sebagai satu konsep perhubungan iaitu tulisan sewaktu zaman batu dahulu.
Daripada seni halus juga, manusia dapat mengekspresikan kekagumannya kepada pencipta-Nya melalui penghasilan lukisan, arca dan persembahan seninya. Ini juga merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh Allah Taala dalam al-Quran melalui surah al-Imran, ayat 191 yang bermaksud:
Seni halus ataupun dalam perkataan bahasa Inggerisnya disebut sebagai fine arts merupakan salah satu cabang dalam lapangan seni di dunia. Seni halus merangkumi pelbagai genre seperti lukisan, arca, persembahan seni badan dan sebagainya. Cabang seni ini sudah pun wujud sejak beribu-ribu tahun yang lalu walaupun dijadikan sebagai satu konsep perhubungan iaitu tulisan sewaktu zaman batu dahulu.
Daripada seni halus juga, manusia dapat mengekspresikan kekagumannya kepada pencipta-Nya melalui penghasilan lukisan, arca dan persembahan seninya. Ini juga merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh Allah Taala dalam al-Quran melalui surah al-Imran, ayat 191 yang bermaksud:
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
Namun begitu, dengan sifat seni yang luwes itu membolehkan ramai penggiat seni di dunia memaparkan hasil seni mereka dalam pelbagai cara sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar norma manusia; atas tiket seni. Perbezaan itu dapat dilihat melalui pengaruh budaya dan agama sesuatu bangsa yang mempengaruhi bagaimana dan subjek sesuatu karya itu dilhasilkan.
Semua perbezaan itu dapat dilihat melalui pembacaan novel pemenang tempat kedua, kategori novel, Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-BERITA HARIAN 2013, iaitu novel Qalam Kalbu. Novel setebal 235 muka surat ini ditulis oleh salah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan Melayu Malaysia iaitu Sri Rahayu Mohd Yusop.
Novel ini mengisahkan seorang anak muda bernama Muhammad Azim untuk mencari jawapan kepada surat-surat lama tinggalan bapanya bagi membongkar akar leluhurnya. Surat-surat itu merupakan surat perempuan suruhan bernama Branwynn Gwill yang hidup pada tahun 1881 di salah sebuah rumah sakit jiwa di London. Perempuan itu telah berutus surat dengan seorang pemuda bangsawan dari Pahang, iaitu Tun Ahmad Basil ibnu Tun Hassan Perwira.
Maka, berkelanalah pemuda bernama Muhammad Azim ini dengan gurunya Haji Mus’ab ke kota London atas pelawaan seorang wanita bernama Treasa Munro.
Jika Muhammad Azim memiliki surat yang dikirimkan Branwynn Gwill, Treasa Munro pula memiliki surat yang dikirimkan dari Tanah Melayu, hasil kiriman Tun Ahmad Basil. Melalui surat-surat itu, ketiga-tiganya; termasuk Haji Mus’ab dapat mengetahui insan-insan yang terlibat dalam konflik dua benua, dua budaya dan dua agama, konflik yang berlaku di antara bonda Tun Ahmad Basil; Katherine Emilia Cavenagh dan juga seorang pelukis bernama Dante Nathaniel Carstairs.
Dante Nathaniel Carstairs merupakan seorang pelukis yang menjadikan salah seorang ahli gerakan Persaudaraan Pre-Raphaelite sebagai idolanya iaitu William Holman Hunt. Persaudaraan Pre-Raphaelite merupakan satu gerakan revolusi seni di England yang diasaskan oleh tiga orang seniman ketika itu iaitu William sendiri, John Everett Milais dan Dante Gabriel Rossetti. Gerakan yang ditubuhkan pada tahun 1848 ini meniru teknik catan pelukis dan arkitek Itali iaitu Raphael atau Raffaello Sanzio da Urbino yang hidup pada abad ke-16.
Walaupun hampir semua lukisan Raphael memaparkan peniruan kepada alam semulajadi atau persekitaran ketika membuat catan, tidak pula diikuti oleh ahli gerakan ini. Mereka memilih untuk membuat catan dengan tema yang tiada kaitan langsung dengan kehidupan masyarakat semasa yang mana masyarakat England pada ketika itu sedang bergelut dengan zaman Revolusi Industri dalam konteks hak pekerja dan keadaan sosial yang semakin terancam dengan opium dan pelacuran.
Gerakan Pre-Raphaelite bertindak melukis apa yang dikatakan sebagai imaginasi mereka ke atas sesuatu manusia yang dijadikan subjek lukisan. Mereka begitu terpengaruh dengan watak-watak karya Shakespeare, Hamlet dan Measure for Measure dan menjadikannya hidup.
Dan, dengan tiada siapa yang memahami dan mencari kerelevanan hasil kerja mereka dengan kehidupan realiti, gerakan ini terus berkubur untuk beberapa tahun kemudian.
Maka, Carstairs bertekad untuk menghidupkan kembali roh gerakan itu dengan satu projek perintis yang diberi nama Ophelia Lament’s. Katherine pula pernah menjadi muse kepada Carstairs, sebagai inspirasi dalam menghasilkan karyanya. Muse merupakan seseorang yang sumber semangat yang mendorong atau memberikan ilham kepada seorang penyair untuk menulis puisi atau seorang pelukis untuk melukis. Di dalam budaya artis di Eropah, biasanya pelukis ini akan memuja perempuan jelita itu dengan segala cara memuja yang terbayangkan dek pemikiran, dari segi jasmani dan batin, dengan kekayaan dan belaian jasad.
Carstairs kehilangan seorang muse di saat Katherine semakin dimamah usia selain sel-sel badannya telah dimakan oleh ‘racun’ buatan manusia yang dikenali sebagai candu. Carstairs menyalahkan Katherine sebagai punca kejatuhannya.
Sebagai galang ganti, anak Katherine yang juga adik kandung kepada Ahmad Basil, bakal dijadikan sebagai muse yang baharu dalam misi menghidupkan semula era Pre-Raphaelite. Bagi Carstairs, kecantikan Sophy Cavenagh lebih hebat daripada Katherine sendiri ditambah dengan wajah kacukan yang dimilikinya dan telah menjadi pujaan di Royal Academy of Arts, London.
Dengan ketidakupayaan yang dimiliki oleh Katherine, dia memohon bantuan Branwynn Gwill untuk membantunya menulis dan mengutus surat kepada anaknya di Tanah Melayu. Diharapkanya anak terunanya itu akan mampir ke London untuk menyelamatkan adiknya daripada terus diheret ke dalam dunia kegelapan seni di London.
Ahmad Basil datang ke London dan dengan bantuan sepupu bondanya, Harold Eskine Cavenagh, Katherine berjaya dikeluarkan dari rumah sakit jiwa itu dan memburu Carstairs dan Sophy. Kedua-duanya bakal beraksi di Rumah Panggung Ichabod dengan Sophy bakal direndamkan di dalam satu akuarium besar berisi air sambil Carstairs sendiri akan berimaginasi dan melukis di atas kanvas secara langsung.
Proses ini seperti memperingati proses melukis Ophelia yang dilukis oleh John Everett Milais, di mana muse dirinya iaitu Elizabeth Siddal direndamkan dalam tab mandi yang penuh dengan air. Gadis itu mati kesejukan dalam suasana musim sejuk mencengkam England ketika itu disebabkan berendam terlalu lama di dalam tab mandi.
Ahmad Basil berusaha untuk menyelamatkan adiknya daripada kegilaan seni Carstairs walaupun terpaksa mengorbankan dirinya sendiri.
Daripada novel ini, penulis berjaya menonjolkan perbezaan yang ketara di antara seni halus bawaan masyarakat Eropah dan juga seni halus Islam. Seni halus Eropah lebih bersifat keterujaan melampau sehinggakan menghilangkan norma-norma manusia itu sendiri dalam disiplin seni mereka. Contoh yang dapat kita lihat adalah seperti Carstairs itu sendiri.
Namun, seni halus Islam lebih menjurus kepada memuji keesaan Allah Taala sebagai asas dalam menghasilkan karya mereka. Salah satu cabang seni halus Islam adalah seni kaligrafi. Dalam bab 6 di dalam novel ini, penulis membawa pembaca menyelami seni kaligrafi Islam yang menggunakan huruf-huruf hijaiyah bagi membentuk satu perkataan untuk memperingati rakyat Palestin. Dengan satu disiplin yang baik, seorang penulis kaligrafi dapat menghasilkan satu karya yang indah dan bermakna. Ini dapat dilihat melalui petikan dalam muka surat 113;
“Seorang penulis kaligrafi hanya boleh mengertikan amalan seninya sebagai satu amalan yang berdisplin. Seorang penulis khat dihormati, mengamalkan seninya setiap hari dan mensucikan dirinya dengan amalan berpuasa, bersolat dan berzikir. Dia melatih pernafasannya dan menulis di atas kertas latihan. Pernafasannya dipindahkan oleh tangan kepada tulisan sebagaimana serunai batang rumput dimainkan dan nafas menjadi irama.”
Perbezaan teknik dan disiplin inilah menjadikan seni halus Islam lebih bersifat manusiawi dan tidak menjauhkan diri daripada memperingati Maha Pencipta manusia serta seluruh alam.
Ini bertepatan juga dengan pandangan seorang seniman terkemuka dunia Pablo Picasso. Dia ada menyatakan dalam bahasa Inggeris iaitu;
If I had known there was such a thing as Islamic Calligraphy, I would never have started to paint. I have strived to reach the highest levels of artistic mastery, but I found that Islamic Calligraphy was there ages before I was.
Dan ini dinyatakan melalui novel ini pada muka surat 59, ketika Dr. Munro melakukan ‘kemusnahan’ dalam bilik ayahnya ketika dia kecil. Dia telah menjumpai satu gumpalan kertas yang tertulis;
“Jika aku mengetahui wujud kaligrafi Islam sedari awal lagi, aku takkan mula membuat catan.” – P.P.
Demikianlah, perbezaan yang ketara di antara seni halus Barat dan seni halus Islam. Walaupun kedua-duanya membawa asas yang sama, tetapi visi dan tujuan bertentangan sama sekali.
Namun begitu, setidak-tidaknya idea dan pemikiran dalam seni halus Barat dapat memberikan satu inspirasi baharu kepada seni halus Islam moden dalam menghasilkan karya mereka. Beberapa idea yang baik dari Barat, dapat disadurkan ke dalam seni halus moden sekarang bagi menjadikan seni halus Islam lebih berevolusi dan berdaya saing agar terus berada dalam keadaan malar hijau.
Jika kita perhatikan di Malaysia, beberapa seniman mapan seperti Ahmad Khalil Yusof dan Seniman Negara Syed Ahmad Jamal menggunakan konsep kaligrafi dalam catan mereka sambil menggabungkan dengan warna dan bentuk pepenjuru. Ini sekaligus menjadikan seni halus Islam itu lebih moden tanpa meninggalkan tujuan asal sesuatu lukisan itu dilukis, bagi memuji kebesaran Illahi.
Diharapkan dengan bacaan novel Sri Rahayu Mohd Yusop ini setidak-tidaknya dapat membuka minda pembaca untuk menggali dan mengembangkan lagi seni halus Islam agar tidak terus dibayangi oleh seni halus Barat yang bersifat duniawi semata-mata. Seperti mana yang dipaparkan dalam novel-novel hasil nukilannya yang lain, kedinamikan antara unsur Melayu dan unsur Islam itu tidak akan pernah lari dan kedua-duanya saling berkait rapat antara satu sama lain. Sri Rahayu tidak pernah lupa untuk memaparkan ‘kerjasama’ yang wujud di antara Islam dan alam Melayu di dalam novelnya ini dan berharap legasi ini akan diteruskan juga dalam karya-karyanya akan datang.
Disediakan oleh:
Hafizul Osman
0 comments:
Post a Comment