Wednesday, September 24, 2014

Ulasan Novel Orang-orang Perang

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Xiao Hong Syidah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.



Novel ini mengisahkan perjalanan hidup seorang anak Melayu beragama Islam iaitu Awang Tepoh, anak yatim piatu yang memperteguhkan jati diri untuk membantu saudara seagama di tempat asalnya, memajukan diri berlandaskan syiar Islam. Melalui watak utama Awang Tepoh atau Dampo, penulis menggunakan sudut pandangan pertama. Penceritaan secara kronologi dengan gaya bahasa yang mudah difahami. 

Penceritaan bermula dengan ujian yang menimpa Awang Tepoh apabila ayahnya meninggal dunia. Awang Tepoh menyandarkan nasibnya kepada ayah angkat dan juga sahabat kepada arwah ayahnya, Pak Cik Ibrahim dengan merantau ke China. Latar tempat novel berubah dari Terengganu ke China. Perancangan awal Pak Cik Ibrahim adalah memastikan Awang Tepoh mempelajari bahasa Arab sebelum meneruskan pengajian di Makkah.

Awang Tepoh atau kemudiannya dikenali sebagai Dampo turut mempelajari bahasa tempatan iaitu Mandarin di bawah jagaan keluarga adik Pak Cik Ibrahim iaitu Pak Cik. Namun halangan mula timbul takkala Dinasti Ming mula memegang tampuk pemeritahan dan hendak memperkuatkannya dengan menawan anak-anak muda termasuk Dampo. Kekuatan diri dan keteguhan akidah Dampo teruji dengan pelbagai rintingan sewaktu menjadi tawanan Raja. 

Terpilih sebagai penjaga kuda, Dampo turut dilatih menjadi tentera oleh Ang Long. Dampo yang bijaksana, menghidu segala tindakan dan strategi Ang Long. Dampo berpegang pada prinsip biar apapun terjadi, beliau mesti mempertahankan nyawanya untuk mengotakan amanat arwah ayahnya. 

Secara tersiratnya Dampo dilihat telah berjaya menunaikan amanat arwahnya untuk menangkat maruah orang Islam dengan menjadi orang kepercayaan Laksamana Zheng Di khususnya dan Raja Zhu Di secara amnya. Pandangannya diguna pakai. Acap kali diamanahkan dengan rahsia negara. Dampo dikatakan mirip pahlawan terkenal itu dari segi rupa paras serta susuk tubuh. Malah watak Dampo digarap penulis mempunyai martabat lebih tinggi daripada Laksamana Zheng Di apabila beliau mengimamkan solat subuh. Laksamana Zheng Di tidak boleh menjadi imam disebabkan telah dikasi. Jelas diperlihatkan kejayaan Dinasti Ming adalah hasil daripada kebijaksanaan orang Islam yang membantu dan setia bersamanya. 

Misinya diteruskan bagi membuka mata orang-orang di tempat kelahirannya dengan diiringi keluarga dan dua sahabat yang setia. Awang Tepoh anak kelahiran Terengganu, mengangkat martabat orang Melayu beragama Islam. Tahniah kepada penulis dan warga kerja ITBM sehingga buku ini berjaya dipasarkan. 

0 comments:

Post a Comment