Friday, July 25, 2014

Ulasan Buku ITBM: Ibnu Khaldun (Riwayat Hidup & Karyanya)

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh CT Nurza sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.

Bismillahirrahmanirrahiim...
Assalamualaikum...
Terlebih dahulu mohon maaf sekiranya ulasan ini tidak begitu sempurna dan terbaik kerana saya sekadar mencuba demi memberikan sokongan kepada pihak ITBM yang menganjurkan pertandingan ini. Terima kasih kerana membuka ruang untuk kami belajar dan mencuba.

Buku ini merupakan sebuah buku yang sangat menarik untuk dibaca dan dimiliki. Ia adalah karya terjemahan daripada sebuah buku yang telah diterbitkan oleh The Others Press Sdn. Bhd. dengan judul asalnya ‘IBN KHALDUN’: His Life and  Works.

Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Mohd Puzhi Usop dan juga Nik Haslina Nik Ibrahim. Menurut penerbit buku ini,  Ibnu Khaldun adalah seorang ahli historiografi dan sejarawan Arab pada abad ke-14. Beliau dianggap sebagai pengasas sejarah, sosiologi dan ekonomi moden. Ibnu Khaldun dikatakan hidup pada zaman berlakunya pergolakan dalam sejarah, dan melalui pengalamannya, beliau telah “memikirkan dan menggagaskan falsafah sejarah yang diyakini paling hebat pernah dihasilkan oleh seorang yang bijak dan pintar...”.

Mengikut prakata dalam buku ini juga, warisan Intelektual Ibnu Khaldun begitu unik dalam kalangan karya pemikiran Islam. Meskipun telah berabad-abad berlalu, namun ia tetap memelihara nilai semangat dan kemodenan serta menduduki suatu tempat  yang tinggi dalam monumen pemikiran dunia. Beliau merupakan seorang ahli fikir yang terunggul dalam kalangan ahli fikir Islam. Keunggulannya terserlah dalam bidang sejarah. Selain itu, beliau juga seorang ahli falsafah yang sangat agung dan amat dikagumi oleh negara Barat sehinggakan pelbagai buku dan kajian kritis beliau tentang manusia telah dikaji dan begitu dihargai di Barat.

Di dalam bab satu buku ini, penulis ada menceritakan serba sedikit tentang kehidupan awal tokoh agung ini iaitu Ibnu Khaldun. Ia bermula pada tahun 1932 di mana beliau menjadi inspirasi kepada suatu kenangan yang abadi dalam pemikiran Islam. Dimaklumkan pada tahun ini juga iaitu tahun 1932, ia adalah merupakan ulang tahun yang ke-600 kelahiran Ibnu Khaldun sebagai seorang ahli sejarah, ahli politik dan ahli falsafah sosial.

Walaupun Ibnu Khaldun dikatakan seorang yang sangat masyhur, namun kehidupan mahupun karyanya  yang sangat berharga dan asli itu tidak begitu  mendapat perhatian dan penilaian yang sewajarnya daripada pemikiran kontemporari kita khususnya di Timur sendiri berbanding di Barat.
Namun demikian, Ibnu Khaldun telah meninggalkan kepada kita semua Biografi dirinya di mana beliau sendiri telah merakamkannya dengan titisan mata penanya setiap peristiwa yang ditempuhi dalam hidupnya bermula sejak zaman kanak-kanak sehinggalah ke penghujung hayatnya.

Ibnu Khaldun dikatakan berasal daripada keluarga Andalusia yang terkenal dan berpengaruh dalam era penaklukan. Beliau lahir daripada keturunan yang masyhur dan terpelajar. Ibnu Khaldun telah dididik oleh bapanya sendiri yang merupakan guru pertama kepadanya. Beliau  turut membaca al-Quran dan menghafalnya serta mengkaji bentuk qiraat yang berbeza terjemahannya serta hadis dan sistem perundangan. Beliau juga telah di ajar tentang nahu dan retorik oleh pujangga Tunisia yang amat terkenal.

Untuk mengetahui lebih lanjut perjalanan hidup tokoh Islam yang unggul ini, anda boleh mendapatkan buku ini secara online atau belian secara terus daripada ITBN. Cetakan pertama buku ini adalah pada tahun 2012 manakala cetakan keduanya pula ialah pada tahun 2014. Buku ini mengandungi 140 muka surat termasuk ‘Bibliografi’ dan juga ‘Indeks.’ Isi Kandungan dalam  buku ini juga telah dibahagikan kepada Tiga Belas Bab serta turut dilmpirkan dengan ulasan Bibliografi tentang ‘Karya Sejarah Ibnu Khaldun Kitab al-‘Ibar.

Sebenarnya, selain daripada Kitab al-‘Ibar, di antara karya-karya lain Ibnu Khaldun adalah wa Diwan al-Mubtada’ wal al-khabar, Fi ayyam al-Arab wa Al-Ajam wa Al-Barbar, wa man Asarahum min dhawi al-Sultan Al-Akbar. Beliau telah membahagikan kepada tiga buku besar seperti berikut:

1. Masyarakat dan fenomena yang wujud di dalamnya, seperti kedaulatan, kuasa, mata pencarian seseorang, perniagaan, ilmu, dan punca serta sebab berkait dengannya. Inilah buku yang bertajuk Prolegomena.

2. Sejarah orang Arab, generasi dan dinasti mereka, daripada permulaan ciptaan hinggalah ke zaman penulis, mengandungi catatan sejarah tentang beberapa negara kontemporari dan orang yang hebat dan dinasti mereka, seperti orang Pontian, Syria, Parsi, Yahudi, Copt, Yunani, Rom, Turki dan Frank.

3. Sejarah kaum Berber dan puak yang berkaitan mereka, seperti Zanata, Asal usul dan generasi mereka, kerajaan dan dinasti mereka di Afrika Utara.

Dimaklumkan bahawa Karya Ibnu Khaldun mengisi tujuh jilid yang besar dan beliau dikatakan mengakhiri karyanya dengan bercakap tentang dirinya dalam beberapa bab yang panjang.

Demikianlah Ibnu Khaldun yang merupakan seorang tokoh pemikiran Islam yang begitu diakui keistimewaan dan kehebatannya oleh guru-guru yang mengajar beliau.

Semoga dengan ulasan ringkas yang saya berikan di sini, kita semua akan lebih mengetahui dan mengenali tokoh besar ini yang mana karya-karyanya serta pemikirannya begitu dikagumi dan mendapat tempat yang paling teratas dalam sejarah pemikiran Islam di dunia lantaran beliau merupakan pakar dalam bidangnya dan merupakan pengasas dalam bidang ilmunya.

PENGULAS,
-CT Nurza-
21 Mei 2014
04:55pg.

0 comments:

Post a Comment