Wednesday, September 24, 2014

Ulasan Novel Orang-orang Perang

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Xiao Hong Syidah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.



Novel ini mengisahkan perjalanan hidup seorang anak Melayu beragama Islam iaitu Awang Tepoh, anak yatim piatu yang memperteguhkan jati diri untuk membantu saudara seagama di tempat asalnya, memajukan diri berlandaskan syiar Islam. Melalui watak utama Awang Tepoh atau Dampo, penulis menggunakan sudut pandangan pertama. Penceritaan secara kronologi dengan gaya bahasa yang mudah difahami. 

Penceritaan bermula dengan ujian yang menimpa Awang Tepoh apabila ayahnya meninggal dunia. Awang Tepoh menyandarkan nasibnya kepada ayah angkat dan juga sahabat kepada arwah ayahnya, Pak Cik Ibrahim dengan merantau ke China. Latar tempat novel berubah dari Terengganu ke China. Perancangan awal Pak Cik Ibrahim adalah memastikan Awang Tepoh mempelajari bahasa Arab sebelum meneruskan pengajian di Makkah.

Awang Tepoh atau kemudiannya dikenali sebagai Dampo turut mempelajari bahasa tempatan iaitu Mandarin di bawah jagaan keluarga adik Pak Cik Ibrahim iaitu Pak Cik. Namun halangan mula timbul takkala Dinasti Ming mula memegang tampuk pemeritahan dan hendak memperkuatkannya dengan menawan anak-anak muda termasuk Dampo. Kekuatan diri dan keteguhan akidah Dampo teruji dengan pelbagai rintingan sewaktu menjadi tawanan Raja. 

Terpilih sebagai penjaga kuda, Dampo turut dilatih menjadi tentera oleh Ang Long. Dampo yang bijaksana, menghidu segala tindakan dan strategi Ang Long. Dampo berpegang pada prinsip biar apapun terjadi, beliau mesti mempertahankan nyawanya untuk mengotakan amanat arwah ayahnya. 

Secara tersiratnya Dampo dilihat telah berjaya menunaikan amanat arwahnya untuk menangkat maruah orang Islam dengan menjadi orang kepercayaan Laksamana Zheng Di khususnya dan Raja Zhu Di secara amnya. Pandangannya diguna pakai. Acap kali diamanahkan dengan rahsia negara. Dampo dikatakan mirip pahlawan terkenal itu dari segi rupa paras serta susuk tubuh. Malah watak Dampo digarap penulis mempunyai martabat lebih tinggi daripada Laksamana Zheng Di apabila beliau mengimamkan solat subuh. Laksamana Zheng Di tidak boleh menjadi imam disebabkan telah dikasi. Jelas diperlihatkan kejayaan Dinasti Ming adalah hasil daripada kebijaksanaan orang Islam yang membantu dan setia bersamanya. 

Misinya diteruskan bagi membuka mata orang-orang di tempat kelahirannya dengan diiringi keluarga dan dua sahabat yang setia. Awang Tepoh anak kelahiran Terengganu, mengangkat martabat orang Melayu beragama Islam. Tahniah kepada penulis dan warga kerja ITBM sehingga buku ini berjaya dipasarkan. 

Ulasan Novel Selendang Sukma

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Xiao Hong Syidah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. 


Sekalung tahniah kepada penulis, Isa Kamari. Tahniah juga kepada penerbit, ITBM dan seluruh tenaga kerja sehingga novel ini sampai ke tangan pembaca. Ini bukan sekadar bacaan untuk pelepas lelah. Ada ilmu yang boleh dikutip bersamanya. Penulis menggunakan teknik imbas muka dan imbas kembali, menjadikan jalan ceritanya, begitu menarik.

Bermula dengan pertemuannya yang memekarkan bibit cinta dengan gadis tempatan bernama, Dewi. Ilham hadir di Bali atas tawaran pembinaan hotel oleh Pak Lempad, yang kemudiannya disusuli syarat. Syarat yang meletakkan dirinya di dalam dilema antara untung dan rugi dalam perniagaan yang diusahakannya. Rentetan daripada itu, pembaca dibawa menyelusuri sisa gelap hidupnya yang berpaksikan duniawi. Pembaca diperkenalkan dengan watak antagonis novel ini, Jennifer selaku pengurus perniagaan, Simon merupakan pekerja Ilham Architects dan Zaman pula adalah pesaing sejak dari universiti dan pemilik Zaman Architects, yang tanpa Ilham sedari bersekongkol untuk menjatuhkannya. Usaha mereka hampir mengorbankan nyawa Syamsiah dan mengakbitkan Ilham kehilangan kontrak projek pembinaan hotel di Ungasan.

Kehadiran Ilham di Bali juga tidak disenangi oleh Ketut Riharja. Cuba memenangi hati Dewi tetapi gagal. Ketut Riharja bukan sahaja cuba menodai Dewi tetapi juga telah mengenakan ilmu hitam ke atas ayah Dewi, Pak Riwayat. Salah faham telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan Ilham dan Pak Riwayat kerana menyangka Ilham merupakan punca sakit kaki yang dideritainya. Sementelah kuatnya pengaruh dukun bagi penganut agama Hindu di Bali. Atas dasar itu juga, penulis memperlihatkan sikap berhati-hati masyarakat Bali dengan menghadkan ruang di dalam rumah yang boleh dikunjungi tetamu. 

Konflik hubungan keluarga Ilham juga berpunca daripada salah faham menyebabkan ikatan keluarga yang longgar, sehingga Ilham tidak mengetahui hubungan baik antara ayahnya, Pak Sadikin dengan Pak Lempad. Rahsia dan konflik keluarga juga semakin rumit, apabila pembaca didedahkan hubungan Pak Lempad dengan Zaman. Ada apa dengan arkitek muda ini?


Sekiranya anda penggemar sastera sejarah, novel ini mesti anda baca. Penulis menyelongkar bukan hanya sejarah pura di Gunung Kawi, Pura Bekaseh, Pura Luhur Uluwatu tetapi juga sejarah agama awal yang bertapak di Bali. Bagaimana berbezanya anutan agama Hindu di Bali dengan anutan agama Hindu di India? Tidak ketinggalan sejarah kedatangan Islam di Bali. Sejarah asal penduduk di pulau Bali. Penulis banyak menggunakan bahasa asal penduduk Bali dalam menerangkan tentang sesuatu adat dan kepercayaan yang diamalkan oleh orang Hindu di Bali. Pembaca dibekalkan dengan glosari bagi memahaminya. 

Selain sejarah. Politik adalah aspek yang memang selalu jadi persoalan pilihan penulis. Cuma kali ini bukan keutamaan pada sejarah dan politik Singapura. Isu penggunaan kalimah Allah, penglibatan segelitir umat Islam dalam siri serangan bom, umat Islam dilabel sebagai pengganas, antara yang diutarakan. Penulis cuba memberi jawapan yang bukan sahaja asbab yang masih kabur malah di kalangan umat Islam sendiri. Mengapa ada keganasan kerana Islam tidak pernah menganjurkan keganasan? Penulis menggunakan rujukan Allah's Torch tulisan Tracy Dahlby untuk menjawab persoalan itu. (Rujuk halaman 214). Keganasan tidak dianjurkan dalam Islam. Keganasan juga tidak dianjurkan agama-agama lain tetapi tetap ada yang terlibat dalam keganasan. Penulis menggambarkannya dalam tragedi pengeboman yang berlaku untuk kali ketiga di Bali. Bersandarkan tidak ada agama yang menggalakkan permusuhan, penulis memperlihatakan kerjasama boleh terjalin antara pelbagai penganut agama dengan pembinaan yayasan anak-anak yatim. 


Saranan saya juga pada pencinta budaya, jangan abaikan novel ini. Sebagai seorang arkitek, penulis tidak lari dari berkongsi pengalaman serta perincian seni bina di Pulau Bali. Pemerhatian dan pengalamannya banyak dituangkan di dalam novel ini seperti bagaimana pengukir di Bali menurutkan ilmu itu kepada bangsa mereka. (Rujuk halaman 106) 


Menerima kekurangan pasangan dan melengkapi adalah cinta ideal yang diimpikan setiap pasangan. Itu yang dilakukan Dewi. Ilustrasi muka depan, sekuntum bunga mekar mencerminkan Dewi, putih warnanya menggambarkan kemurnian hati dan selendang mewakili kelembutan keperibadiannya. Dewi tidak menyeret Ilham yang longgar pegangan agamanya untuk menganuti kepercayaan agama Hindu. Sedangkan Dewi adalah penganut tegar agama Hindu. Dewi berpendapat mereka perlu memahami agama masing-masing untuk mendekatkan lagi hubungan mereka. Ilham terpukul oleh rasa malu, mula lebih mendalami Islam. Lebih menarik, penulis meletakkan teka-teki kepada pembaca, apakah Dewi kemudiaannya memeluk agama Islam berdasarkan tudung yang dikenakannya di pengakhiran cerita? Sekalipun bukan, adalah tidak keterlaluan dikatakan bahawa penulis sendiri meletakkan harapan dengan tidak mematikan watak Dewi. Supaya Dewi lebih mendalami.

Penamat cerita yang sedih pada zahirnya dengan kematian Ilham. Cinta Ilham dan Dewi tidak bersatu di pelaminan. Namun lebih besar daripada itu, Ilham kembali ke rahmatullah di atas jalan yang benar dan menemukan ketenangan jiwa yang didambakan sekian lama. Penyudah yang lebih manis.

Ulasan Buku "Ralat"

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Muhammad Zaki Ramli sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. 


Pada awalnya saya menyasarkan untuk mengulas buku yang mendapat tempat dalam pertandingan anjuran ITBM. Namun, entah kenapa, buku-buku berkenaan kurang dekat dengan hati saya. Mungkin kerana, contohnya, buku D.U.B.L.I.N lebih memeningkan saya berbanding memberi ketenangan. Faktor masa yang terhad yang saya peruntukkan khas untuk mendapatkan ketenangan selepas bergelut dengan kerja dan tarikh akhir tugas menuntut saya mengkemudiankan buku-buku yang sedemikian, lalu saya memilih untuk mengulas buku lain.

Ketenangan. Itulah yang saya peroleh ketika menyelusuri setiap satu cerpen dalam kumpulan cerpen remaja berjudul "Ralat" tulisan Alias Ismail. Pada usia saya 29 tahun kini, saya dapati setiap satu cerpen mendatangkan kepuasan, dan menjentik pemikiran dewasa saya. Namun sebaik menyemak semula bahawa koleksi cerpen ini dipakejkan sebagai cerpen remaja, saya kurang setuju jika dikatakan semua cerpen tersebut sebaik-baiknya disasarkan kepada golongan tersebut.

Cerpen remaja pada definisi asas yang saya fahami perlu (1) memberi fokus kepada remaja dari segi jalan cerita dan pengajaran, (2) mudah difahami oleh remaja agar pantas mereka mengambil iktibar. Jika yang membacanya bukan pun orang dalam golongan remaja, mereka sudah tentu dapat mengenal pasti dengan jelas dan setuju bahawa kumpulan cerpen remaja mempunyai kelas dan pendekatannya yang tersendiri.

Saya tidak pasti jika remaja dapat rasakan apa yang saya rasa sebaik tamat membaca setiap satu cerpen. Atau, jiwa saya yang sebenarnya masih remaja walhal sudah beranak dua? Pada hemat saya, sebaik-baiknya kumpulan cerpen ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen umum, tanpa perkataan "remaja" yang cuba ditetapkan pada kumpulan cerpen nukilan Alias Ismail ini.

Namun, kumpulan cerpen ini bukanlah gagal sepenuhnya dalam menyampaikan aura keremajaan yang sepatutnya ada pada cerpen remaja. "Servis Gelanggang Pasir" merupakan contoh terbaik bagi mewakili cerpen remaja. Berkisar tentang bapa yang mengajar anak-anaknya bermain badminton, cerpen ini secara halus memasukkan sudut-sudut teknikal tentang gelanggang dan permainan badminton. Bagi remaja, maklumat teknikal yang disulam dengan teliti di dalam cerpen sebegini sudah pasti mendorong mereka untuk berfikir dan membayangkan kaedah badminton dimainkan. Bukan sekadar bermain, tetapi bermain untuk mencapai sasaran, iaitu kemenangan dan kemajuan diri. Pengajaran seperti inilah yang perlu diterapkan kepada pembaca dalam cerpen remaja.

Tidak adil jika ulasan ini tidak turut menghuraikan contoh cerpen yang kurang sesuai bagi bacaan remaja. Seawal cerpen pertama berjudul "Impian Tak Sudah", saya fikir ia lebih sesuai untuk bacaan golongan yang lebih tua daripada remaja. Kisah tentang kejujuran dan kecurangan dalam percintaan digarap pendek selepas jalan cerita melewah-lewah tentang hal yang tiada kaitan sangat pun dengan isi sebenar cerpen itu. Kumpulan cerpen remaja yang baik perlu menarik perhatian remaja untuk terus membaca cerpen-cerpen seterusnya seawal pada cerpen pertama. Inilah faktor penolak yang mungkin akan menjejaskan kemungkinan buku ini akan digemari remaja dan penggemar karya remaja yang tidak semestinya masih remaja.

Saya turut tertarik untuk mengulas berkenaan cerpen yang dijadikan judul buku kumpulan cerpen ini. "Ralat" adalah antara 10 cerpen yang terkandung di dalam buku ini. Cerpen itu membawa gagasan yang mendalam berkenaan nasib bahasa Melayu kini dan pada masa depan dengan wujudnya dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sekiranya watak Kamaruzzaman diubah kepada watak yang lebih muda, iaitu yang lebih sesuai dengan selera pembaca dalam kalangan remaja, pasti lebih jelas sebab bagi kumpulan cerpen ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen remaja, malah dijudulkan sebagai "Ralat".

Dari sudut persembahan buku, saya sememangnya tertarik dengan falsafah tersorok yang cuba disampaikan pada kulit depan buku ini. Penyumbat sinki yang bersambung pada buku sudah pastinya membuat kita tertanya-tanya maksud di sebaliknya. Bagi orang yang mahu berfikir, pasti mahu mencari jawapannya di dalam buku ini. Selain itu, yang uniknya tentang karya Alias Ismail ini ialah beliau kerap menggunakan tanda baca semikolon (;). Saya tidak pasti sama ada beliau mahu menjadikan cara penggunaan yang sedemikian sebagai gaya tulisan beliau, atau beliau sengaja melanggar konvensyen penggunaan tanda baca itu. Seterusnya, kesilapan teknikal dari sudut ejaan dan atur huruf yang amat sukar ditemukan dalam buku ini terus mengangkat mutu penerbitan ITBM; oleh itu, tahniah saya ucapkan.

Turut terkandung dalam buku ini ialah cerpen "Donat Besar", "Amanat", "Tuan Imam", "Tetamu Subuh Limun", "Nila Nan Setitik", "Kail Batang Salak", dan "Nafas Cinta Kekasih". Tanpa niat mahu terus mengulas kesesuaian buku ini dipakejkan sebagai kumpulan cerpen remaja, saya sebenarnya dapat menikmati setiap satu cerpen yang dimuatkan di dalamnya. Sepertimana yang tertulis pada kulit belakang buku ini bahawa pengarang "berjaya menghidangkan segugus buah fikiran yang ranum dan bermanfaat untuk dinikmati pembaca." Saya setuju dengan petikan ini, malah, seperti yang saya sebutkan awal tadi, saya mendapat ketenangan yang sukar saya ungkapkan selepas tamat membaca kesemua sepuluh cerpen.

Tahniah ITBM kerana menerbitkan "Ralat" sebagai satu lagi bukti kematangan dan kesungguhan dalam memartabatkan bahasa Melayu dan sastera bahasa Melayu melalui penerbitan kumpulan cerpen sebegini. Moga segala usaha demi memastikan kelangsungan bahasa kebangsaan Malaysia ini terus berkekalan dan akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan.

Ulasan Buku ITBM 2014: D.U.B.L.I.N.

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Pija Zangi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. 

Blurb buku ini mempunyai pesonanya tersendiri yang menyebabkan minda saya selaku pembaca serta-merta bekerja mencari maknanya. Tidak dinafikan tarikan karya ini terserlah apabila karya ini telah diangkat sebagai Hadiah Tempat Pertama bagi Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH bagi kategori kumpulan novel.

Sejujurnya, saya sebagai pembaca masih lagi dalam usaha menghadam karya ini. Metafora yang digunakan oleh penulis Wan Nor Azriq bagi saya terlalu mendalam maksudnya sehinggakan saya perlu membaca sesetengah bahagian berulang-ulang kali. Watak utama yang dikenali sebagai Encik H seorang yang sangat misteri dan kadang kala mahu sahaja saya melabel Encik H sebagai seorang yang kurang waras berjaya membuatkan neuron minda saya bekerja dengan lebih keras untuk memahami makna di sebalik tingkah laku beliau. Muncul pula watak Anita, pembantu penyelidik Encik H sekaligus menjadi editor bagi karya Encik H yang sedang dalam pembikinan. Watak Anita dan suaminya (kadang kala saya sangsi tentang hubungan suami isteri ini) bukan hadir untuk merungkaikan watak Encik H malah menambahkan lagi konflik dalam novel ini.

Metafora kambing biri-biri yang muncul di penghujung jalan cerita ini sungguh membuatkan saya semakin berfikir apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Tanpa perlu menyangkal bakat penulis dalam menghasilkan karya di luar kotak pemikiran, saya berpendapat karya ini harus dibedah siasat dengan lebih terperinci. Malah, jika ada satu program untuk diadakan bedah siasat bagi novel ini, saya merupakan pembaca pertama yang sudi menghadirinya.

Novel ini juga istimewa kerana penulis meletakkan kata-kata beberapa tokoh (saya perlu mencari nama tokoh-tokoh ini di Google). Tidak seperti novel biasa yang sering mendedikasikan novel karya mereka kepada insan-insan tertentu. Banyak juga nama-nama asing yang dipetik oleh penulis dalam usaha mengetengahkan tradisi berjalan kaki sebagai suatu seni penulisan. Ini sekaligus memberi gambaran kepada saya bahawa penulis merupakan seorang pembaca tegar dan universal. Saya sekali lagi perlu membuat rujukan di Google untuk mengenali tokoh-tokoh yang dinyatakan.

Karya ini sangat merupakan karya yang penuh dengan misteri dan menggunakan kemahiran bersastera yang tinggi untuk dihasilkan. Bukan calang-calang pembaca yang boleh menghadam karya ini. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa karya ini sememangnya layak untuk diangkat menjadi pemenang Hadiah Tempat Pertama dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH. Tahniah kepada penulis Wan Nor Azriq! Semoga dapat menghasilkan banyak lagi karya yang mencabar minda pada masa akan datang.

Ada Apa Di Dalam Dalam?

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Shamsudin Othman sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. 


LELAKI 6P (Penyair, Penyanyi, Pengubah lagu, Penulis lirik, Pelukis dan Pelakon) ini mendapat pendidikan sepenuhnnya di universiti alamiah, Malaysia. Sejak dilahirkan di Kuala Lumpur, lelaki ini tegar melengkapkan diri sebagai seniman dengan belajar mematangkan diri daripada perenungan dan pemerhatian alam di kaki lima kedai mahupun pusat beli belah terkenal di kota-kota besar di Malaysia. Dari kota ke kota,lelaki ini membawa dan menjaja bakat alamiahnya demi sesuap nasi dan seteguk air buat mengalas nafsu seni yang membara di dalam gelodak rasanya. Dialah Sani Sudin, lelaki yang biasa-biasa, istilah sombong tiada di dalam kamus mesranya dan sering memahami kesetiaan seorang sahabat. 

Kumpulan puisi berjudul 'Di Dalam Dalam'nya menghadirkan satu bentuk baru dalam sejarah buku puisi di Malaysia. Saiznya yang luar biasa, iaitu berukuran 14cm X 30cm dengan lakaran kartun benar-benar mengundang kelainan sifat fizikalnya. 

Tanpa ingin memuji kerana buku ini dimulakan dengan prakata oleh Mohd Khair Ngadiron (Pengarah Urusan ITBM), diikuti bahagian Pengenalan oleh penyair sufi tanah air Syeikh Rahimidin Zahari, seterusnya catatan ikhlas seregunya Ladin Nuawi berjudul ‘Di Jalan Sejarah Ada Sani Sudin’, maka amat memadai kita mengenali sosoknya. Ketiga-tiga tulisan itu pula sudah cukup menjadi latar pengkisahan hidup Sani Sudin. Apatah lagi Sani Sudin bukanlah manusia yang makan dek puji atau tidak luak dek herdik juga maki. Sani Sudin adalah manusia biasa yang punya kudrat dan fitrah merenung tetapi renungannya kadang menjadi luar biasa kerana dia boleh memukau khalayak di depannya ketika dirinya adalah jargon di pentas sama ada sebagai pelakon atau penyanyi. 

Kumpulan puisi ini menghadirkan 81 buah puisi yang dijudulkan dengan “Dalam 1” hinggalah “Dalam 81”. Judul puisi yang ringkas dengan sihir lakaran berselang-seli antara lelaki yang setia dengan gitar atau lelaki berbaju belang. Lakaran ini adalah citra kepada imej banduan (tahanan) penjara cinta yang mendendami rindu seni. Justeru kerana ‘keterpenjaraan’ itu maka sajak-sajak yang hadir dalam buku ini terdiri daripada bait-bait yang pendek dalam rangkap yang kecil tetapi memukau isi fikirnya. Dalam sajak berjudul ‘Dalam 8’, Sani Sudin melukis imej seorang lelaki berpakaian jalur (hlm,18) - banduan yang berdiri sambil menundukkan kepala. Pada bahagian dada banduan ini tertulis perkataan ‘aku’ (berhuruf kecil) dan di sisi kaki kirinya tertulis perkataan ‘AKU’ (berhuruf besar). Penggunaan perkataan ‘aku’ dengan dua bentuk yang berbeza ini memperlihatkan bagaimana seorang manusia yang kerdil mampu keluar daripada suratan ketentuan takdir. Perkataan yang terbit daripada rasa keinsafan ini jujur mengalir seperti yang boleh difahamkan dalam keseluruhan puisi yang tertera pada halaman sebelahnya (hlm. 19), iaitu ditulisnya;

Kau datangkan aku
Untuk mencarimu
Yang berselindung 
Di sebalik aku 

Sani Sudin adalah watak seorang manusia yang resah tetapi ingin menakhluki impian. Lakaran banduan yang duduk di kerusi (hlm. 5) dan kerusi itu pula berada di atas kelarai-kelarai mimpi membuktikan bahawa dirinya adalah manusia bebas pemburu cita-cita. Sama ada Sani Sudin suka atau tidak, bait-bait ‘duduk di sini/ duduk di sana/ berdiri di sini/ berdiri di sana/ berlari tak kejar apa-apa’ jelas memperlihatkan bahawa dirinya manusia ‘rare’ yang unik penampilannya ketika mencari rezeki di lorong takdir. 

Merenung permainan garis, titik dan kata-kata Sani Sudin, pembaca sebenarnya bukan sahaja dapat memahami gerak gelodak rasa yang terbit daripada akalnya tetapi lebih daripada itu adalah pembaca dapat memiliki lakaran-lakaran halusnya yang mencecah nilai ribuan ringgit Malaysia dalam pasaran dunia seni lukis Malaysia. Inilah harga senaskah lakaran Sani Sudin - daripada tiada apa-apa kepada ada apa-apa sentuhannya.

Demikianlah 'Di Dalam Dalam' sebuah kumpulan puisi Sani Sudin yang hadir dengan penuh makam bias sinis. Sani Sudin adalah sang narapidana yang terhukum oleh kata-kata tetapi tidak sesat di dalam garis dan titik. Lelaki berbaju belang, menari di pentas kaki lima, mengendong gitar sambil bernyanyi di bawah tiang lampu adalah imej-imej yang amat sukar ditemui kini. 

Pantang anak Melayu dimakan sanjung, maka Sani Sudin adalah sebahagian daripada watak-watak pascamerdeka luar biasa yang difitrahkan dengan bakat alami tetapi masih bersahaja di mana-mana seperti kata;

Aku masih
Anu menganu di tepi
di tengah melihat saja …

Para badut hilang …
terhilang cerita
pentas pun terkedu
di dalam persembahan 
berjudul, “Ke arah Mana…?”

(‘Sajak 81’, hlm: 166) 

Demikianlah 'Di Dalam Dalam' - tanpa teori dan agenda tetapi 'Di Dalam Dalam' adalah pengalaman jujur yang penuh apa-apa.

SHAMSUDIN OTHMAN
1 Syaaban 1435H

Manusia, Lingkungan dan Perasaan: Pulau Kepunyaan Muhammad Haji Salleh

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Hani Salwah Yaakup sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.



“Granted, in daily speech, where we don't stop to consider every word, we all use phrases like "the ordinary world," "ordinary life," "the ordinary course of events" ... But in the language of poetry, where every word is weighed, nothing is usual or normal. Not a single stone and not a single cloud above it. Not a single day and not a single night after it. And above all, not a single existence, not anyone's existence in this world.
It looks like poets will always have their work cut out for them.”
Wislawa Szymbroska, syarahan bertajuk “The Poet and The World” sempena penganugerahan Hadiah Nobel Kesusasteraan 1996.


PUISI. Tidaklah semudah menyebutnya pada khalayak. Malah mencipta sesebuah kata dalam hanya sebaris ayat sahaja memerlukan ketajaman bukan hanya dari sudut bahasa yang baik tetapi mainan ‘rasa’ yang dimainkan puisi itu sendiri. Menulis puisi adalah seperti menulis hati. Menyirat segala kemarahan, ketidak pedulian, cinta, sayang dan penghargaan dalam bentuk paling padat tetapi cukup menyampaikan segala pesanan yang hendak diperkatakan kepada pembacanya. Oleh itu, puisi tidak sesekali mudah dituliskan dan dinikmat jika sekadar curahan hati sembarangan yang cuba dihidangkan penyairnya. Hilang segala kemanisan puisi dan namanya sendiri.

            Hal ini sekaligus menyetujui pandangan yang diutarakan penerima anugerah Nobel bagi kesusasteraan, Wislawa Szymborska. Bagi penyair, sesuatu yang barangkali dipandang biasa oleh mereka yang lain, bukanlah sesuatu yang biasa bagi penyair. Setiap perkara, peristiwa dan manusia yang melingkungi persekitarannya seringkali menjentik emosi dan rasa yang dimiliki seseorang penyair. Dalam kata lain, penyair mempunyai magis memberi ‘kehidupan’ pada hal-hal ini. Di tangan penyair, angin mampu berkata-kata, hujan tahu apa yang dikatakan sebagai rajukan dan dingin bukan hanya membeku tetapi memberi ketenangan. Penyair, selalu dan tidak akan pernah lepas dari tanggung jawabnya memeri, ‘menghidupkan’ lalu menelurkan bait-bait kata bernama puisi.

            Lalu untuk memperhaluskan rasa dan tajamnya penulisan, seseorang penyair dituntut untuk menjadi perenung dan sensitif pada setiap sesuatu yang berada di persekitarannya. Malah, hal berkenaan hendaklah selalu berdamping dengan penyair. Namun, bukanlah sesuatu yang menghairankan bila keghairahan dan imbangan sensitif mula diterjah muak serta bosan. Disaat ini, mengembara membawa sebuah nuansa lain kepada seseorang penyair dalam penulisannya. Menjadi penulis apa lagi seorang penyair, mengembara sudah menjadi kewajiban. Begitu juga apa yang dilakukan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh dalam jilid pertama kumpulan sajak-sajak lengkapnya,Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau.

            Kumpulan sajak-sajak lengkap yang di datangkan dalam tiga jilid ini merupakan buku yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Menerusinya sebenarnya pembaca dibawa untuk mengikut penyairnya mencari, menyelami dan merasai musim dingin, semi, kering dan indahnya Amerika Syarikat. Baik di siring tangga perpustakaan Universiti Cambridge, melihat koleksi manuskrip lama yang tersimpan baiknya dan perasaan seperti mendakapnya sendiri, bersahabat dengan imigran di tengah kesibukan New York, melihat budaya dan generasi pewarisnya di Hawaii, mengejar kenangan di Mass Avenue, menyuarakan kemarahan terhadap setiap tindakan kapitalis kepada masyarakat terpinggir dan yang terpenting adalah mencari diri di antaranya.

            Jilid pertama dimulakan dengan kumpulan puisi terbaharu (2013) iaitu Kuntum Biru Kembang Lestari yang terdiri daripada dua seksyen “berkata-katalah” dan “di pantai asal”. Kumpulan puisi ini terdiri daripada puisi-puisi pendek. Namun jangan kita hanya memandang kepada panjang-pendek puisi yang disampaikan. Penyair menerusi kata-kata ringkas dan padat ini membawa kita menyelami silang pangkah hidup dalam falsafahnya. Puisi “Tidak Mengapa” sebagai contoh begitu membujuk pembacanya untuk bangkit dari sebuah kekalahan dengan kata-kata paling melegakan, mendalam meskipun pendek:

pilihlah perlahan,
tidak mengapa.

bukan semua jaya
hadiah buat mereka
yang memburu.

yang duduk
memerhati laku
dan laluan
juga belajar,
kerana di luar
terkelip lorong setapak
ke hujung setapak

            Sementara puisi “Memikul Cerita” mengajak kita melihat lingkungan alam persekitaran kita sebagai tamsil ibarat yang mengajar dan memperindah pengalaman diri:

setiap jadian
memikul ceritanya
ke sini.

di alir suaranya
berkicak kisah.

burung berkicau
cerita diri,
unggas
menjeritkan riwayatnya.

biarlah mereka berhikayat
dan terus berwujud.

            Penyair gemar akan tema ini. Beberapa kali ia diulang terutama di bahagian “Andes Di Awan” menerusi puisi berjudul “Sebuah Wujud Dalam Lima Unsur” (halaman 171). Menerusi puisi ini, penyair merincikan peranan batu, air, api, bintang dan tanah . Ataupun melalui puisi “Batu Dingin” (halaman 334):

empat ketul batu
berdiri di tengah sejuk sungai,
dari pagi tebingnya
basah berteman hari.

setiap ketul berwatak diri
seginya melakar besar
tebalnya mengukur gempal
setiapnya menyapa jiran

            Kemudian, jilid ini diteruskan dengan kumpulan puisi yang diterbitkan pada tahun (2008), Setitik Darah Di Bilik Bundar. Kumpulan di dibahagikan kepada 18 bahagia. Nah disini, kembara pembaca akan bermula di Hawaii dengan melintas garis tarikh antarabangsa, bau nenas, melihat warisan kebudayaan masyarakat tempatan menari tongga mahupun duka seorang pelancong yang mencari negara baharu:

walau di depan waikiki
yang seharusnya
tak pandai membaca duka,
julie yamada juga manusia,
rapuh di depan riang pelancong
dan merasa dihempas pasifik

(Hawaii, Negara Baru; 47)

            Beranjak ke bahagian “di depan perpustakaan tua” membawa kita berenang dalam nostalgia yang sempat dicatatkan berkenaan kehidupan penyair yang merupakan sarjana, penggemar buku, pencari akar umbi sejarah, dunia akademik dan dingin Cambridge sebagai sesuatu yang membahagiakan. Mengenali seseorang biblioholik, menikmati secangkir minuman panas (biasanya kopi) sambil membaca merupakan salah satu kesenangan yang tidak dapat diperincikan. Penyair memimpin lengan kita berjalan ke “Di Kedai Kopi”:

ya, bahagia
tak sering berhenti
di mana dia meneguk kopi
bersama buku

dan setelah itu jalan beriringan ke perpustakaan melihat “Penjaga Buku” (halaman 57):

dia menjaga
supaya ilmu selalu tersedia
dan buku akan terbuka
bila keperluan meminta-minta

            Mengenali sosok seorang Marquez menerusi karyanya yang sinonim menggambarkan akan ‘bau’, penyair mengangkat hal yang sama lewat “Selama Tiga Tahun” dan nanti sekali lagi penyair menyentuh tentang ‘bau’ di bahagian ‘new york, new york, new york’ menerusi puisi berjudul “Mencari Bau Busuk New York” (halaman 280). Lalu tangan pembaca ditarik kembali untuk sama-sama teruja berdiri “Di Depan Perpustakaan Tua” (halaman 69) berkongsi kisah tentang dunia luar yang hingar-bingar dengan flora dan fauna tetapi, tidak mengetahui kehadirannya di hadapan perpustakaan.

            Bergerak melihat manusia di lingkungannya, penyair menyuara kekesalan, nasib, perenungan dan kemarahan mengenai nasib para imigran yang terpaksa datang ke Amerika untuk meneruskan langkah hidup. Meski seperti gambaran penyair tidak semuanya berjaya, mendapat hasil yang lumayan dan kerap kali menjadi mangsa ekonomi ataupun penjarah. Seperti dirinya yang juga seorang pendatang ke dunia serba moden yang laju, hal ini seperti sebati dan lancar mengalir ke gelas kata-katanya. Penyair seperti menulis sebuah memoir lara nasib kaum pendatang ini. Pembaca ditarik untuk membaca nasib pendatang yang ada di Cambridge, Florida, New York (apatah lagi), Vancouver, California sehingga ke Montana. Melihat dan mengenai “Abdulla” pelajar dari Pakistan yang berada di perpustakaan (halaman 240):

reseki jatuh dari aksara
terbuka pada majalah
yang setiap hari bersusun.
pakistan disimpan
dalam harian peribadi,
kerana sekarang
dia abdulla yang
bertali leher dan bersarung tangan,
dan bersweter warna rusuh dan bangga.

            Mahupun membeli kebab si “Rafiqi Kebab” di  3rd Avenue, New York:

dia tidak gembira
di sudut jalan lain
walau lesennya membenarkannya
menjual falafel dan kebab
yang berbau sampai central station

anak dan isteri menangis dalam mimpinya
dan bom yang meletup
memecahkan hari dan minggunya

apakah dia akan kekal di sini
dalam konkrit kesepian
atau pun pulang ke longgokan bata
dan lubang bom –
apakah yang akan dipilihnya?


            Selain nasib pendatang, penyair juga menyentuh nasib rakyat Amerika sendiri. Ini termasuklah penindasan kapitalis yang mencekik seperti dalam puisi “Diapung Anggur” yang berkisah mengenai pengemis yang tinggal di jalanan (halaman 79):

di mass. ave.yang lebar kecamuk
dekat central square yang berjiran m.i.t
mereka menadah pagi
buat nafkah bir
atau anggur tengah hari,
rokok dan roti mungkin bonusnya.

Juga menerusi puisi berjudul “Mimpi Murah”(halaman 125):

kami tidak punya akaun bank
atau tanah bersungai
untuk dibentang ladang,
ragut kambing
dan juga rumah mudah
dipinggir kota.

            Di Amerika juga, penyair mencitrakan tokoh kecil di tempatnya. Puisi “Mrs Nick” berkisah tentang perjuangan seorang guru matematik yang bahagia meneruskan kerjayanya sebagai seorang guru.

dia membaca jiwa kecil
seperti membaca teorem,
ada aturan dan ada juga jentik perasaan
di bawah bumbung atau di celah rhodendoron

(halaman 194)

            Kembara pada akhirnya adalah pencarian diri sendiri ataupun memberi wajah baharu tentang sesuatu yang biasa dan ditinggalkan. Begitu juga puisi-puisi dalam kumpulan ini. Puisi pada halaman 104 berjudul “Berapa Jauhkah?” membawa kenangan bernostalgia di laman ingatan penyairnya:

“berapa jauhkah
ann arbor
     dari cambridge yang berpaut
  pada tebing hitam charles?
aku ingin kembali
ke kedai bukunya
dan tasik air batu
serta sungai bermusim gugur.

di sana aku pernah muda
dan belajar hidup
dari kerut dunia.”

            Juga perenungan mengenai diri dan pengalaman yang dilalui sejauh ini:

pulang ke malaysia aku lega sedikit
kerana sekurang-kurangnya nama salahku
tidak diulang petang dan pagi
aku dikenal seperti sebelum berangkat

(Ada Apa Pada Nama?, halaman 341-344)

            juga coretan peralihan usia:

pada usia tua
jawapan tidak lagi
berdiri tunggal dan tegak


soalan pun, walau betapa jelas
membaur samar samping
di tengah belantara kenyataan.


(Pada Usia Tua, halaman 340)

            Inilah pulau milik Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh. Padat dengan lingkungan flora dan fauna kehidupan, disentuh ombak perasaan yang cukup rasa manis, masin, pahit dan tawar, sesekali bertukar musim semi, dingin dan bunga di peralihan usia. Segala-galanya saling lengkap-melengkapi di pulau puisinya. Kerana semua segalanya mungkin.

semuanya yang mungkin
sudah menjadi harus.
            apakah yang mungkin berlaku
            di jalan samping yang tak dilalui
ke mana akan aku dibawa
kalau aku tidak memilihnya?

kakiku tidak memijak sekarang.

dan kasih tak jadi
kerana malu atau lambat menyerbu?

dan siapakah orang ketiga
yang mencelah dan merubah?

ke manakah rumahku
dan siapakah isteri,
dan anak kami bagaimana?

Semuanya Yang Mungkin, halaman 143.

*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Peraduan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014.

Tuesday, September 23, 2014

Ulas Buku ITBM 2014 - Ke Pulau Sebatik

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Intan Safirah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014.

Novel Ke Pulau Sebatik

Ketika baru membaca naskhah ini dalam jangkaan lima halaman, saya bertuah kerana dipertemukan oleh seorang sahabat di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan penulisnya. Sambil mendapatkan tandatangannya, saya meneliti raut penulis, Nur Mustika yang putih dan manis itu. Dengan bahasa Melayunya yang sedikit bunyi ‘kesabahan’, hati saya berbisik, tidak syak lagi bahawa Nur yang dimaksudkan di dalam naskhah ini ialah Nur Mustika sendiri. Oleh itu, dalam imaginasi, saya telah meletakkan wajah penulis sebagai watak utama di dalam naskhah ini.

            Apabila mengetahui bahawa pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 ini merupakan senior di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dulu, perasaan untuk menggali naskhah ini ternyata terasa lebih dalam. Sebagai anak perantauan, saya berpendapat bahawa saya ‘sekapal’ dengan watak Nur di dalam naskhah ini. Mungkin sama juga perasaannya untuk pembaca-pembaca lain yang bertualang sama ada untuk mencari rezeki, atau menuntut ilmu.

Jika dilihat dari sudut pengolahan cerita, sudah terang lagi bersuluh bahawa Nur Mustika menggunakan teknik imbas kembali (flashback) untuk menjayakan naskhah Ke Pulau Sebatik ini. Nur Mustika mengimbas kembali segala peristiwa yang pernah dialami oleh Nur saat berada di kampung halamannya. Semua peristiwa imbas kembali itu dijelmakan melalui khayalan Nur. Tujuannya agar pembaca dapat dibawa menyelami zaman kanak-kanak Nur yang sarat dengan kisah lucu dan pilu.

Khayalan Nur itu menunjukkan kuatnya gelojak keinginannya yang tidak sabar-sabar mahu kembali menjejaki ke Pulau Sebatik. Apa yang uniknya, semua khayalan Nur itu berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya; bermula dengan menaiki teksi dari varsiti, menaiki LRT ke KL Sentral, menaiki bas ke LCCT, sepanjang di LCCT dan juga di dalam pesawat, menghampiri Pulau Sebatik yang dirinduinya.  Hakikatnya, latar tempat di dalam dunia realiti hanyalah di Kuala Lumpur (jika ditolak saat sampainya Nur ke Tawau di bahagian peleraian) dan khayalan imbas kembali sepenuhnya di Pulau Sebatik. Hakikatnya lagi, latar masa di dalam dunia realiti juga hanya beberapa jam, sedangkan latar masa dalam pemikiran Nur menjangkau bertahun-tahun. Hal ini membuktikan bahawa khayalan dan imbas kembali Nur itu lebih kuat mendominasi novel.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa karya yang terlalu banyak unsur imbas kembali ini boleh terdorong menjadi naskhah yang lemah. Jalan cerita mungkin boleh menjadi tidak jelas dan tiada konflik serta emosi yang mampu ‘dihidangkan’ kepada pembaca. Namun, filem Slumdog Millionaire yang juga telah menggunakan teknik imbas kembali sebagai ‘pendukung’ jalan cerita filem itu berjaya menjadi sebuah karya yang baik.
Andai Nur Mustika meletakkan perkaitan antara dunia realiti dan khayalan Nur, mungkin naskhah ini akan menjadi lebih kuat. Contoh yang boleh diambil adalah apabila ingatan Nur terarah kepada kisah hantu di pulau kesayangannya itu. Ingatannya itu datang secara tiba-tiba dan tidak ada insiden yang boleh mengingatkannya kepada kisah hantu di kampung halamannya. Penulis hanya menyatakan, “… tiba-tiba terbentang pelbagai kisah indah berkenaan hantu di pulauku.” Lalu, kisah hantu itu diceritakan dalam khayalannya. Penggunaan perkataan 'tiba-tiba' itu dilihat agak mudah dan kurang mencabar. 

Berbalik kepada filem Slumdog Millionaire, terdapat jalinan yang indah antara dunia realiti dan khayalan watak utama. Apabila watak utama diajukan soalan dalam Who Wants To Be A Millionaire, segera ingatannya terarah pada kisah hidupnya yang terdahulu kerana soalan itu ada kaitan dengan kisah hidupnya. Oleh itu, dapat dilihat bahawa kedua-dua latar sama-sama dominan meskipun kisah dalam khayalan watak utama merupakan ‘inti’ kepada jalan cerita.

Kekuatan yang dapat dilihat di dalam naskhah ini antaranya ialah unsur regresi. Unsur regresi merupakan salah satu daripada helah bela diri; dari konteks teori psikologi. Menurut definisi yang lebih umum, iaitu Kamus Dewan, regresi merupakan gerakan mundur.
Gerakan mundur yang dimaksudkan dalam konteks psikologi adalah tindakan penulis mengimbau kembali peristiwa yang menggembirakan yang pernah dilalui sepanjang hidupnya untuk melegakan emosi. Ia bukan sekadar melegakan emosi penulis, malah melegakan jiwa pembaca yang pernah melalui pengalaman yang sama dengan penulis. Secara peribadi bagi saya yang bersekolah pada tahun 90-an, contoh yang memikat hati ialah peletakkan subjek biskut kelapa jenama Kingkong. Bagi sesiapa yang pernah menjadikan biskut kelapa ini sebagai kudapan ketika zaman persekolahan dahulu, pasti akan terkenang dan tersenyum sendiri. Hal ini membawa kepada suatu perasaan yang disebut; nostalgia. Penulis dilihat berjaya memberi citra yang jelas kepada pembaca dengan pelakaran imej-imej suasana kampung, dengan membayangkaKetika baru membaca naskhah ini dalam jangkaan lima halaman, saya bertuah kerana dipertemukan oleh seorang sahabat di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan penulisnya. Sambil mendapatkan tandatangannya, saya meneliti raut penulis, Nur Mustika yang putih dan manis itu. Dengan bahasa Melayunya yang sedikit bunyi ‘kesabahan’, hati saya berbisik, tidak syak lagi bahawa Nur yang dimaksudkan di dalam naskhah ini ialah Nur Mustika sendiri. Oleh itu, dalam imaginasi, saya telah meletakkan wajah penulis sebagai watak utama di dalam naskhah ini.

            Apabila mengetahui bahawa pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 ini merupakan senior di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dulu, perasaan untuk menggali naskhah ini ternyata terasa lebih dalam. Sebagai anak perantauan, saya berpendapat bahawa saya ‘sekapal’ dengan watak Nur di dalam naskhah ini. Mungkin sama juga perasaannya untuk pembaca-pembaca lain yang bertualang sama ada untuk mencari rezeki, atau menuntut ilmu.

Jika dilihat dari sudut pengolahan cerita, sudah terang lagi bersuluh bahawa Nur Mustika menggunakan teknik imbas kembali (flashback) untuk menjayakan naskhah Ke Pulau Sebatik ini. Nur Mustika mengimbas kembali segala peristiwa yang pernah dialami oleh Nur saat berada di kampung halamannya. Semua peristiwa imbas kembali itu dijelmakan melalui khayalan Nur. Tujuannya agar pembaca dapat dibawa menyelami zaman kanak-kanak Nur yang sarat dengan kisah lucu dan pilu.

Khayalan Nur itu menunjukkan kuatnya gelojak keinginannya yang tidak sabar-sabar mahu kembali menjejaki ke Pulau Sebatik. Apa yang uniknya, semua khayalan Nur itu berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya; bermula dengan menaiki teksi dari varsiti, menaiki LRT ke KL Sentral, menaiki bas ke LCCT, sepanjang di LCCT dan juga di dalam pesawat, menghampiri Pulau Sebatik yang dirinduinya.  Hakikatnya, latar tempat di dalam dunia realiti hanyalah di Kuala Lumpur (jika ditolak saat sampainya Nur ke Tawau di bahagian peleraian) dan khayalan imbas kembali sepenuhnya di Pulau Sebatik. Hakikatnya lagi, latar masa di dalam dunia realiti juga hanya beberapa jam, sedangkan latar masa dalam pemikiran Nur menjangkau bertahun-tahun. Hal ini membuktikan bahawa khayalan dan imbas kembali Nur itu lebih kuat mendominasi novel.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa karya yang terlalu banyak unsur imbas kembali ini boleh terdorong menjadi naskhah yang lemah. Jalan cerita mungkin boleh menjadi tidak jelas dan tiada konflik serta emosi yang mampu ‘dihidangkan’ kepada pembaca. Namun, filem Slumdog Millionaire yang juga telah menggunakan teknik imbas kembali sebagai ‘pendukung’ jalan cerita filem itu berjaya menjadi sebuah karya yang baik.
Andai Nur Mustika meletakkan perkaitan antara dunia realiti dan khayalan Nur, mungkin naskhah ini akan menjadi lebih kuat. Contoh yang boleh diambil adalah apabila ingatan Nur terarah kepada kisah hantu di pulau kesayangannya itu. Ingatannya itu datang secara tiba-tiba dan tidak ada insiden yang boleh mengingatkannya kepada kisah hantu di kampung halamannya. Penulis hanya menyatakan, “… tiba-tiba terbentang pelbagai kisah indah berkenaan hantu di pulauku.” Lalu, kisah hantu itu diceritakan dalam khayalannya. Penggunaan perkataan 'tiba-tiba' itu dilihat agak mudah dan kurang mencabar. 

Berbalik kepada filem Slumdog Millionaire, terdapat jalinan yang indah antara dunia realiti dan khayalan watak utama. Apabila watak utama diajukan soalan dalam Who Wants To Be A Millionaire, segera ingatannya terarah pada kisah hidupnya yang terdahulu kerana soalan itu ada kaitan dengan kisah hidupnya. Oleh itu, dapat dilihat bahawa kedua-dua latar sama-sama dominan meskipun kisah dalam khayalan watak utama merupakan ‘inti’ kepada jalan cerita.

Kekuatan yang dapat dilihat di dalam naskhah ini antaranya ialah unsur regresi. Unsur regresi merupakan salah satu daripada helah bela diri; dari konteks teori psikologi. Menurut definisi yang lebih umum, iaitu Kamus Dewan, regresi merupakan gerakan mundur.
Gerakan mundur yang dimaksudkan dalam konteks psikologi adalah tindakan penulis mengimbau kembali peristiwa yang menggembirakan yang pernah dilalui sepanjang hidupnya untuk melegakan emosi. Ia bukan sekadar melegakan emosi penulis, malah melegakan jiwa pembaca yang pernah melalui pengalaman yang sama dengan penulis. Secara peribadi bagi saya yang bersekolah pada tahun 90-an, contoh yang memikat hati ialah peletakkan subjek biskut kelapa jenama Kingkong. Bagi sesiapa yang pernah menjadikan biskut kelapa ini sebagai kudapan ketika zaman persekolahan dahulu, pasti akan terkenang dan tersenyum sendiri. Hal ini membawa kepada suatu perasaan yang disebut; nostalgia. Penulis dilihat berjaya memberi citra yang jelas kepada pembaca dengan pelakaran imej-imej suasana kampung, dengan membayangkan sebuah rumah kayu, pelantaran yang dijadikan tempat mandi, bermain-main di kolong, dan sistem saluran air melalui limbahan. 

Selain mengenang rasa nostalgia Nur, elemen intertekstualiti yang dapat dikesan dilakukan oleh Nur Mustika ialah dengan memasukkan kisah budaya masyarakat Tidung ke dalam naskhah ini. Kisah tembuni yang dikatakan sebagai ‘saudara dalam kandungan’ juga merupakan unsur budaya yang dapat dipelajari oleh pembaca secara tidak langsung. Lebih menarik, terdapat kisah sotong gergasi yang kekal sebagai mitos sehingga kini. Kegigihan penulis meletakkan unsur-unsur ini menggambarkan jiwa penulis yang patriotik dan berusaha mempromosi kisah indah ini kepada masyarakat luar selain di Pulau Sebatik.

Walau bagaimanapun, kaedah Nur Mustika memasukkan fakta di dalam naskhah ini adakalanya dilihat agak mahu ‘mendidik’ pembaca malah diceritakan dengan sudut pandang ‘aku’ sahaja. Andai ada watak lain yang menjadi objek untuk watak Nur bercerita, pada pandangan saya, ia akan kelihatan lebih menarik sementelahan pula novel ini berada dalam kategori novel remaja. Ia harus lebih santai (tidak semestinya santai itu akan menghasilkan karya picisan) namun masih padat dengan didaktik dan ilmu.

Saya sedia maklum bahawa novel ini ada kesinambungannya. Sungguh saya kurang sabar untuk melihat perkaitan yang ada dengan Pulau Sebatik 1 dengan Pulau Sebatik 2. Apa yang dapat disimpulkan dengan Pulau Sebatik 1 ini, ia adalah jalinan yang indah antara emosi Nur dengan kampungnya. Naskhah ini merupakan tanda cinta seorang anak muda dengan tanah airnya. Tidak  mustahil rasanya jika suatu hari nanti novel ini menjadi novel KOMSAS dan dikaji oleh pelajar-pelajar sekolah agar pelajar-pelajar juga sedar akan betapa pentingnya menghargai asal usul diri.n sebuah rumah kayu, pelantaran yang dijadikan tempat mandi, bermain-main di kolong, dan sistem saluran air melalui limbahan. 

Selain mengenang rasa nostalgia Nur, elemen intertekstualiti yang dapat dikesan dilakukan oleh Nur Mustika ialah dengan memasukkan kisah budaya masyarakat Tidung ke dalam naskhah ini. Kisah tembuni yang dikatakan sebagai ‘saudara dalam kandungan’ juga merupakan unsur budaya yang dapat dipelajari oleh pembaca secara tidak langsung. Lebih menarik, terdapat kisah sotong gergasi yang kekal sebagai mitos sehingga kini. Kegigihan penulis meletakkan unsur-unsur ini menggambarkan jiwa penulis yang patriotik dan berusaha mempromosi kisah indah ini kepada masyarakat luar selain di Pulau Sebatik.

Walau bagaimanapun, kaedah Nur Mustika memasukkan fakta di dalam naskhah ini adakalanya dilihat agak mahu ‘mendidik’ pembaca malah diceritakan dengan sudut pandang ‘aku’ sahaja. Andai ada watak lain yang menjadi objek untuk watak Nur bercerita, pada pandangan saya, ia akan kelihatan lebih menarik sementelahan pula novel ini berada dalam kategori novel remaja. Ia harus lebih santai (tidak semestinya santai itu akan menghasilkan karya picisan) namun masih padat dengan didaktik dan ilmu.

Saya sedia maklum bahawa novel ini ada kesinambungannya. Sungguh saya kurang sabar untuk melihat perkaitan yang ada dengan Pulau Sebatik 1 dengan Pulau Sebatik 2. Apa yang dapat disimpulkan dengan Pulau Sebatik 1 ini, ia adalah jalinan yang indah antara emosi Nur dengan kampungnya. Naskhah ini merupakan tanda cinta seorang anak muda dengan tanah airnya. Tidak  mustahil rasanya jika suatu hari nanti novel ini menjadi novel KOMSAS dan dikaji oleh pelajar-pelajar sekolah agar pelajar-pelajar juga sedar akan betapa pentingnya menghargai asal usul diri.