Thursday, August 7, 2014

Langit Runtuh: Kematangan Watak-watak

Penyertaan "Peraduan Ulas Buku ITBM di Facebook/Blog" anjuran ITBM oleh Wan Muhammad Hanif sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014. Buat pertama kalinya mengunjungi booth atau gerai Institut Terjemahan dan Bahasa Melayu (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Putra World Trade Centre (PWTC).



Percikan warna merah seolah-olah darah dengan kesan cakaran sudah cukup untuk menggambarkan tragisnya kisah yang dibawa dalam buku ini. Pemenang hadiah saguhati Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH kategori kumpulan cerpen ini memilih Langit Runtuh sebagai judul bukunya. Maka, langit yang seluruh mahkluk tahu berwarna biru muda cair telah digambarkan dengan sesuatu yang cukup kontra, mengatasi had pemikiran kita yang sepatutnya. Juga, frasa "Langit Runtuh" sendiri memperlihatkan satu keadaan yang berada di luar jangkaan kita. Langit, tanda kebesaran Ilahi berada di ruangan angkasa tanpa tiang dan sokongan. Namun, akhirnya langit itu runtuh!

Buku ini memuatkan sepuluh buah cerpen yang diadun sebati, dekat dengan diri penulis yang berasal dari Negeri di Bawah Bayu. Kisah-kisah yang dibawakan menuntut pembaca untuk berfikir berkali-kali tentang mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan. Terdapat dua keistimewaan yang penulis tonjolkan dalam buku ini. Pertama, memandangkan hampir keseluruhan cerpen menggunakan latar di kepulauan Borneo, penulis banyak menggunakan istilah, loghat atau lebih tepat dialek warga Sabah dan Sarawak dalam penulisannya. Di akhir cerita, glosari disediakan bagi memberi kefahaman kepada para pembaca. Kedua, penulis dengan cukup bijaksana dan begitu teliti telah mencanai unsur-unsur alam yang cukup indah bagi digubah dan dikarang sebuah cerpen yang cukup bermakna.  Penulis cukup mahir memanfaatkan unsur alam yang ada, sehinggakan empat buah cerpennya dijudulkan menggunakan unsur alam iaituGerhana, Kelekatu, Langit Runtuh dan Tanah dan Air.

Kebanyakan cerita yang disampaikan juga, mendesak pembaca untuk membacanya dengan emosi dan penuh perasaan. Rasanya, tiada satu pun cerpen yang diakhiri dengan kegembiraan. Semuanya membawa pengakhiran yang sedih, diulit penyesalan dan penutup yang tidak diduga. Jadi, saya kira buku ini cukup berat untuk dihadami setiap satu cerpen yang ada. Saya cukup tertarik dan menggemari cara penulis mengolah bahasanya, dikaitkan dengan alam semula jadi, dan disimbolikkan pula kepada kehidupan manusia. Secara keseluruhan, buku ini memperkenalkan watak-watak yang diuji kematangan diri mereka. Watak dewasa yang digugah dengan kegoyahan nilai jati diri serta pegangan sehingga menjadikan kematangan mereka tertimbus oleh perasaan, nafsu dan gelora hati yang tidak menentu. Penulis berjaya menghimpunkan sepuluh buah cerita kehidupan dengan satu tapak yang kukuh, iaitu budaya.

Cerpen Asun menjadi pembuka tirai yang cukup baik. Sebuah cerita yang pada saya, paling mudah difahami dan dihadami sebelum meneruskan layar pembacaan cerpen-cerpen berikutnya yang mendesak sanubari untuk turut menyelami watak sedalam-dalamnya. Plot penceritaan biasa yang membawa konflik antara seorang guru dengan muridnya.  Namun, keistimewaan cerpen Asun ialah pada latar kehidupan seorang guru yang bukan  seperti guru-guru biasa. Kematangan Ain sebagai seorang guru mula tergugat apabila dia ditempatkan ke sebuah sekolah yang jauh di pedalaman. Melihatkan keadaan yang serba daif, Ain didesak perasaan sendiri untuk melihat anak muridnya sempurna, dalam aspek pembelajaran mahupun pemakaian. Namun, keadaan dan situasi di tempat tersebut bukanlah seperti yang diharapkan. Cerpen ini cukup sarat mesej berdasarkan polemik penempatan para pendidik baharu ataupun lama yang sering menjadi masalah pada masa kini. Penulis cuba untuk memperlihatkan pengorbanan seorang guru yang sanggup ke lembah mana sekalipun demi ilmu yang mahu dicurahkan. Juga, penulis memberi peringatan kepada para pendidik supaya kembali sedar dan celik tentang maksud dan peranan guru sebenar, serta tanggungjawab yang digalas di atas bahu.

Cerpen Gerhana dan cerpen Hanya Sebaris Ayat, dua kisah berbeza namun dengan tonggak yang sama-manusia mudah hilang pegangan diri lalu bertindak seperti kebudak-budakan. Watak-watak yang diperkenalkan turut menonjolkan sifat kematangan diri yang goyah apabila wujudnya medium luar yang cuba mempengaruhi fikiran. Cerpen Gerhanamenuntut pembaca untuk bersifat terbuka dan bersyukur dengan segala rezeki yang telah diperolehi. Cerpen Gerhanadiolah dengan latar masa kurang 24jam. Seorang peraih ikan yang mahu hidupnya berubah telah membuat keputusan untuk sama-sama mengikut jejak masyarakat yang mudah hilang pedoman akibat tawaran wang yang beribu-ribu ringgit. Watak 'Dia' digambarkan sebagai seorang lelaki yang penat dengan kehidupan miskinnya dan mahukan perubahan yang serta-merta. Maka, dia turut serta mencari cicak Tokek yang menjadi kegilaan masyarakat untuk masa dan ketika itu. Mudahnya pegangan diri seorang manusia berubah, apabila didesak oleh persekitaran. 'Dia' akhirnya berjaya menjumpai seekor cicak Tokek, namun menerima padah yang cukup mengerikan.

Hanya Sebaris Ayat sekali lagi menonjolkan watak 'Dia' tetapi kali ini sebagai seorang bilal yang lalai dan alpa terhadap tanggungjawabnya. Kegilaan dan percambahan rasa cinta terhadap Cikgu Aliza yang dilihat selalu melalui kawasan tersebut tidak dapat dibendung. Cinta bertepuk sebelah tangan, dengan perasaan yang membuak-buak. Cerpen ini memperlihatkan sikap manusia yang juga mudah berubah apabila pegangan jati diri itu lemah. Tidak kira siapapun orang itu, pangkat apapun dia, apabila lemah jati dirinya, maka segala-galanya akan mudah goyang dan terumbang-ambing. 'Dia' yang dikaburi perasaan cinta, kuat pegangan agamanya, akhirnya tewas dengan hasutan kawannya, juga syaitan yang tidak jemu-jemu menyesatkan manusia. 'Dia' dengan pemikiran kontot akhirnya memilih untuk mensyirikkan Allah demi cinta yang cuba dicari dan diraih daripada Cikgu Aliza.

Cerpen Kayuhan Kasih mengangkat tema pengorbanan, kasih sayang dan juga kesetiaan yang begitu utuh dalam jiwa seorang manusia. Seorang atuk yang berkorban jiwa dan raganya, demi seorang cucu yang bakal memulakan alam persekolahan. Hanya dengan rezeki daripada kayuhan beca usang, dia terus gigih dan tabah demi cucu tercinta. Dia yang mewarisi pekerjaan mengayuh beca, cukup kuat dan cuba mempertahankan pekerjaan yang menjadikan dia dan keluarganya mampu membesar dan mempunyai kehidupan yang sempurna di atas muka bumi ini. Peritnya kayuhan demi sesuap nasi dengan pendapatan yang tidak seberapa, melawan kemodenan yang semakin menghakis rezeki hasil daripada kayuhan, diceritakan satu persatu dalam cerpen ini. Cerpen yang mengangkat kenderaan warisan ini sebenarnya cuba memperkenalkan dan cuba menceritakan perihal beca yang entah dikenali atau tidak oleh generasi kini. Dunia yang mengejar masa, mungkin melupakan beca. Lambat dan lembap. Namun, tanpanya tidak mungkin wujud inovasi kenderaan seperti yang kita  miliki hari ini.

Cerpen Kelekatu, Langit Runtuh dan Rasung dan Royang pula berkisah tentang adat dan budaya oleh penduduk warga Borneo yang semakin pupus dan tidak lagi diamalkan. Kedua-dua cerpen ini  cukup unik dan penuh ilmu baharu buat pembaca yang sememangnya anak jati di semenanjung Malaysia. Cerpen Kelekatu menggambarkan suasana bermukun iaitu suatu adat yang diamalkan untuk bersuka ria. Pembaca dapat merasai kemeriahan dan keseronokan pesta mukun  apabila penulis dengan cukup teliti memahami dan berjaya mengolah cerpen tersebut sehingga membuatkan pembaca mampu berimaginasi tentang apa yang sedang berlaku. Kelekatu disimbolikkan sebagai kebergantungan manusia terhadap sesuatu. Watak 'Dia' seorang pengamal adat dan budaya ini, memperoleh jodohnya melalui adat ini, akhirnya berdendam dan memusuhi adat ini. Semuanya angkara kematian anak dan menantunya yang kemalangan semasa hendak menghadiri cara bermukun. Lebih perit, cucunya kini menabur hasrat untuk menyertai kumpulan mukun yang baginya sesuatu yang amat merisaukan. Kerana sumpahan mukun sudah menguasai keluarganya.



Sumber gambar: kampungtellian.blogspot.com
Baca selanjutnya di sini: Adat Bermukun

Cerpen Langit Runtuh pula mengisahkan Antom yang cuba mempertahankan adat dalam memulakan sebuah mahligai perkahwinan oleh masyarakat Iban. Cinta terhadap manusia yang bersulam adat, membuatkan dia sanggup menunggu Gina menghabiskan pengajiannya, dalam masa yang sama dia mengumpulkan barang hantaran untuk proses peminangan Gina nanti. Istilah barian digunakan bermaksud hantaran kahwin. Dalam adat yang diceritakan, hantaran kahwin yang digunakan bukanlah hantaran kahwin  moden, iaitu wang dan barang-barang berjenama sebagai hadiah. Namun mereka menggunakan tajau lama  (seperti dalam gambar di bawah) iaitu binungkul dan tiluan. Kedua-dua jenis tajau ini ialah tajau lama yang semakin sukar dicari dan sudah semakin sedikit bilangan keluarga yang memiliki dan menyimpannya. Pemberian tajau sebagai hantaran kahwin melambangkan kekayaan adat mereka yang dipegang, seterusnya menunjukkan betapa sukarnya menjaga dan mempertahankan adat. Pinangan wakil Antom, Ampal terhadap Gina ditolak, menyebabkan Antom dikuasai dan kerasukan jiwa yang gila. Dia hilang kewarasan sehingga cuba meracuni seluruh ahli keluarga Gina. Namun, berita daripada Ampal tentang keluarga Gina yang mahu berunding semula tentang pinangan tersebut meragut jiwa Antom yang sedang bersuka ria dengan dendam yang baru sahaja dilunaskan.



Sumber gambar: www.utusan.com.my
Baca selanjutnya di sini: Tajau Lambang Kekayaan Iban

Cerpen Rasung dan Royang melalui judulnya sahaja sudah diketahui, bahawa rasung dan royang merupakan sejenis alatan dalam adat dan budaya. Rasung ialah lingkaran logam yang dipakai di betis dan royang ialah lingkaran logam yang dipakai di tangan. Adat ini diamalkan oleh gadis Bidayuh sebagai lambang kedewasaan dan keberanian. Penulis turut mengangkat tema warisan, adat dan budaya yang semakin dilupakan lagi. Pemakaian rasung dan royang dianggap kolot dan adat lapuk ini menyakitkan serta menyeksa diri sendiri. Watak seorang tua yang kecewa dengan anaknya yang tidak mahu meneruskan adat ini sedari kecil cukup menghibakan. Adat dan budaya yang begitu berharga ini ditinggalkan, malah dia yang masih memakai rasung dan royang juga diketepikan oleh anaknya sendiri. Turut diselitkan suasana kemeriahan si tua semasa tinggal di rumah panjang. Keakraban, kemesraan dan kesatuan yang diamalkan juga hilang apabila dia dibawa oleh anaknya untuk tinggal di rumah moden. Barangan logam, merupakan lambang kekayaan masyarakat ini dahulu. Namun, apabila adat dan budaya merentasi kemodenan, semuanya menjadi karut, tetapi masih ada yang setia mempertahankan budaya dan adat tersebut. Cerpen ini mengangkat watak golongan muda yang tidak tahu dan tidak mahu menghargai warisan adat dan tradisi peninggalan nenek moyang. Tanpa adat dan tradisi, pasti masyarakat itu tidak bernama manusia.


Sumber gambar: myhomeniaga.blogspot.com
Baca selanjutnya di sini: Tradisi Yang Bakal Pupus

Cerpen Merangkul Rindu dan cerpen Tanah dan Air, dua buah cerpen yang diserikan dengan aktiviti-aktiviti masyarakat setempat. Kedua-dua cerpen ini memperlihatkan kepada pembaca tentang cara, peralatan yang digunakan dan hasilnya sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat di sana. Aktiviti-aktiviti yang merupakan sumber kepada pendapatan dan sumber kehidupan yang dilakukan atas tuntutan kemiskinan dan warisan yang mesti dilaksanakan. Cerpen Merangkul Rindu, tentang penuaian sarang burung-layang di Gua Gomatong. 'Dia' telah melepaskan tanggungjawab sebagai ketua penuai kepada anaknya Usin setelah kematian isterinya. 'Dia' terus menerus menabur rindu pada sebatang pokok mangga yang ditanam oleh isterinya suatu ketika lalu. Detik masa bergerak seiring dengan usianya menjadikan dia semakin tua. Namun, keegoan yang ada dalam dirinya, membuatkan dia ingin kembali melakukan aktiviti tersebut. Alatan seperti piattau dan sesungkit digunakan untuk menuai sarang burung layang-layang. Cerpen ini cukup berat dan sangat sukar untuk saya hadami. Namun, mesejnya sangat penting. Kita perlu sentiasa ingat akan keterbatasan kudrat dan tenaga kita sebagai manusia. Kadang-kala, keegoaan itu mampu membinasakan diri dan merendahkan keegoan itu merupakan sesuatu yang mampu memberi kebahagiaan.

Cerpen Tanah dan Air pula, tentang warisan pusaka membuat tajau. Sekali lagi watak pemuda ditonjolkan sebagai pemuda yang tidak menghargai warisan itu. Nilai kesyukuran terhadap perjuangan ayahnya yang mempertahankan warisan tersebut turut dipersoalkan. Dia tidak mahu mewarisi kepandaian membuat tajau, dia mahukan kehidupan yang lebih baik. Kehidupan yang tidak dilumuri tanah lumpur sehingga mengotori tangannya yang mulus. Sekali lagi latar masyarakat yang tinggal di rumah panjang diselitkan dalam cerpen ini. Cerpen Tanah dan Air ini sebenarnya mengingatkan kita sebagai manusia supaya ingat akan asal usul kita. Bersyukur dengan apa yang kita punya seadanya. Juga, peringatan sebagai manusia yang berasal dari tanah dan akhirnya tetap kembali kepada tanah, asal usul abadi manusia.

Akhir sekali cerpen Sampah. Saya cukup menggemari cerpen ini kerana sindirannya yang cukup kena kepada seluruh masyarakat kini. Olahan cerpen ini menggunakan sudut pandangan roh yang melihat jasadnya  terbujur kaku, namun kelu tidak dapat membuat apa-apa atas tindakan golongan yang menziarahinya asbab putusnya hubungan manusia dengan dunia sebaik sahaja nyawa dicabutkan daripada jasad. Jasad 'dia' seorang tukang sapu sampah, dibiarkan sendirian tanpa ada yang sudi menguruskannya. Bukan kerana jijik terhadap dia dan pekerjaannya, tetapi kerana dirinya sendiri yang penting diri. Dia penting diri dalam beribadat, tidak pernah diajak rakannya untuk turut serta beribadat bersama-sama. Dia tidak menyertai jemaah di masjid, semata-mata kerana kekurangan pada diri yang dirasakan miskin dan tidak berharta. Padahal, keihklasan itu penting dalam setiap apa yang dilakukan. Akhirnya, ada yang sudi membantu. Namun kehidupan di dunia, walau dah mati sekalipun, memerlukan wang untuk urusan itu dan ini. Amalan jariah pun berbayar. Kemiskinan, membuatkan dia sekali lagi ditinggalkan golongan tersebut. Akhirnya, hanya harapan kepada kasih Rahman dan Rahim-Nya yang dinanti. Maka, kata penulis, kerana hati manusia yang tidak bersih, manusia dan sampah tidak jauh bezanya.

Selesai kesepuluh-sepuluh cerpen diulas. Keseluruhan cerpen dengan mesej berat untuk kita semua. Penulis lebih menggemari penggunaan watak utama dengan sudut pandangan kata ganti nama diri ketiga "dia", tanpa menamakan watak tersebut. Saya kira, walaupun penulis tidak menggunakan sudut pandangan diri pertama, penulis sudah berjaya membuatkan setiap cerita itu dekat dengan diri pembaca. Gambaran suasana, olahan elemen alam semula jadi, ditulis penuh teliti dengan keindahan bahasa yang cermat dan padat.

Latar tempat dan masyarakat di kepulauan Borneo menjadi signifikan untuk hampir keseluruhan cerpen dalam buku ini. Juga deskripsi aktiviti, adat dan budaya yang sangat terperinci, memberikan ilmu baharu buat pembaca seperti saya yang berasal dari semenanjung. Banyak perkara masih belum saya faham tentang adat dan budaya di sana. Jadi, untuk pemahaman dan pandangan yang lebih jelas, telahpun saya cari maklumatnya di internet. Sesuatu yang unik dan luar biasa bagi saya. Pembaca didedahkan dengan cara kehidupan masyarakat di sana yang terlalu berharga dan tidak ternilai. Warisan budaya yang ditonjolkan dirasakan cukup dekat diri penulis. Langit Runtuh, sebuah buku tentang tradisi yang dicemari pemikiran moden masyarakat kini. Syabas dan tahniah buat Dayangku Mastura!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhM1ZaE-A8mgZ70TcY9hFXXzDk0nnA4LDtPGJx8pMCqymfSmDJtWjalG2eWMj12hfyxT6rlIQooMBk7mDpxJIdL9KoeCksyeeWdBiJgnXhnYH4zBGvQmlgBXeVyODTDHCi9mvyC_jokQDfz/s1600/Untitled_2.png
Wanariahamiza

0 comments:

Post a Comment